PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenal pasti beberapa penambahbaikan sebagai respons kepada kesesakan yang berlaku di plaza tol semasa pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor pada 15 Januari lepas.
PLUS memaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah meluahkan kebimbangan berikutan rungutan orang ramai berhubung pelaksanaan awal projek rintis RFID dan penutupan lorong SmartTAG di plaza tol tertentu. PLUS juga akan membuka semula lorong SmartTAG untuk meningkatkan sistem dan menempatkan petugas di plaza tol.
Selain itu, PLUS juga akan menempatkan halangan bagi lorong bertindih yang lebih pantas di plaza tol yang sesak bagi memastikan lalu lintas dapat diurus dan disuraikan dengan cepat. Bukan itu sahaja, zon pengesanan visual RFID akan dicat pada lorong terbabit bagi membantu memposisikan kenderaan mereka bagi pengesanan optimum.
Bagi makluman, RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch ‘n Go di kebanyakan rangkaian tol lebuh raya sejak 2018 untuk memberi perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta pelanggan sedia ada. Pada 15 Januari lepas, PLUS memperkenalkan pelaksanaan RFID di sepanjang lebuh rayanya sebagai tambahan kepada pilihan pembayaran tol.
Sumber : Bernama