Membuat sebuah sistem ‘juke box’ bergerak bukanlah semata-mata tentang berapa banyak sub woofer yang boleh anda sumbat pada sesebuah kenderaan. Ia adalah berkenaan berapa bagus setting yang boleh dibuat dengan pemilihan produk yang betul. Corak pemasangan dan pemilihan kenderaan juga tidak kurang pentingnya dalam menghasilkan sistem bunyi yang sempurna. Maksud saya, bunyi yang boleh dijangka dengan apa yang anda pasangkan. Banyak berlaku dalam sistem audio kenderaan di mana sub woofernya sahaja nampak gempak, berbelas-belas biji, tapi bunyinya macam radio transistor kehabisan bateri.
Sistem yang baik lazimnya datang dengan spesifikasi yang betul. Samada dari kombinasi saluran elektrikal yang serupa atau mungkin dari susunan satu jenama. Seperti yang dilihat pada Satria ini, ia adalah binaan sistem buatan Kennon sepenuhnya.
Pemadanan sistem pada Satria ini adalah contoh kejuruteraan bunyi yang boleh dibuat pada sebuah kereta hatchback kompak. Kennon memilih kereta Satria untuk dijadikan demonstrasi audio memandangkan saiznya yang sempurna dan kombinasi sistem yang mereka rancangkan sesuai dengan dimensi kereta ini.
Sebuah kereta demo SPL yang bagus, tidak dapat tidak, memerlukan set bunyi bass yang padu. Bagi tujuan tersebut enam buah woofer telah dipasangkan dalam enclosure custom di bahagian but belakang. Bermakna, kerusi belakang dikeluarkan dan satu set perumah baru dibuat khas untuk memuatkan keenam-enam woofer tersebut. Kayu khas dipilih untuk membuat semula perumah dan konsol berkaitan. Ia perlulah kukuh kerana setiap kali muzik dimainkan, papan tersebut perlu menahan beban yang tinggi kerana dentuman udara bass yang dihasilkan.
Keenam-enam biji Woofer Kennon KW-128D menerima signal kuasa daripada power amplifier monoblock Kennon KN-D1500 sebanyak empat unit. Setiap unit memandu tiga set woofer dan menerima talaan daripada pre amp Kennon KPE-528 yang dikatakan mampu memotong frekuensi gelombang rendah dengan cukup halus.
Unit pre amp yang sama turut digunakan untuk melaras gelombang mid bass. Pre amp tersebut disambungkan kepada dua buah amplifier 4 channel Kennon KN-1204. Satu laluan merangkumi ekstrak kuasa untuk set speaker komponen midbass 6” Kennon sebanyak 6 unit. Set ini dipasangkan di bahagian tailgate belakang. Ia dipasang dalam perumah binaan khas bersama dengan set horn tweeter dari jenama yang sama.
Set kedua juga meliputi speaker yang sama, KN-699 sebanyak empat unit yang dipasangkan di dalam but dengan sedikit lokasi yang tinggal. Ia dipasangkan di bahagian kiri dan kanan but dengan kekotak yang dibuat khusus menempatkan dua buah speaker di setiap sudut. Kotak tersebut juga menampung satu amplifier setiap satu. Jadi di mana power amplifier selebihnya?
4 buah amplifier yang menjana sistem Satria ini dipasangkan di dalam kereta, di belakang pemandu yang dilekatkan terus kepada kotak woofer besar itu. Memastikan amplifier dapat hilang haba kepanasannya, kipas luaran kecil yang biasanya menyejukkan sistem komputer rumah telah dipasangkan.
Pertama kali mendengar kualiti bunyi Kennon ini saya agak kagum dengan kepadatan bunyi bass yang dihasilkan. Vokal dan midbass tajam dan jelas. Ia sesuatu yang sukar untuk dibuat pada sistem SPL secara teorinya. Oleh itu, bila mendengar sistem sebegini, saya lebih menumpukan kepada kekuatan bass sahaja. Dentuman bunyinya yang padat terhasil bukan hanya daripada corak pemasangan yang betul, ia adalah kombinasi bekalan kuasa amplifier yang betul dan juga isyarat yang bagus.
Saya dimaklumkan bahawa woofer ini memiliki kon yang nipis dan ‘diikat’ dengan voice coil berkembar (dual voice coil). Ia adalah kombinasi bass padu yang menghentam bunyi secara maksimum. Dual voice coil ini memberi kelebihan dari segi corak pemasangan dan mampu ‘menarik’ kuasa dari amplifier dengan lebih berkesan. Kebiasaannya woofer direka dengan 4ohm. Dengan voice coile berkembar, pendawaian boleh dipisahkan kepada 2ohm berasingan dan menghasilkan kuasa yang optimum daripada amplifier yang betul.
Pada satu tahap, terdetik hati saya untuk melihat pemain yang digunakan. Pioneer DEH-2150U? Biar betul? Ini adalah pemain yang paling basic! Saya tidak dapat bayangkan jikalau sistem bunyi ini digabungkan dengan pemain Pioneer P80!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 9