“Mesin yang hebat bukan jaminan kepada sesuatu kejayaan, sebaliknya bakat yang ada pada tangan pengendalinya.” Mungkin ada benarnya kata-kata yang menghiasi salah satu filem yang pernah saya tonton satu ketika dahulu. Lupa pula pada tajuk filem, tapi yang penting dialognya meninggalkan kesan. Sama bukan? Tajuk filem (mesin) mungkin tidak sehebat mana, tetapi isinya (bakat) sentiasa diingati.

Kehebatan yang dimaksudkan di sini, biarpun kereta eksklusif seperti Lamborghini mahupun Maybach, kalau pemandu yang memegang stereng tidak tahu menghargai kehebatannya tak berguna juga. Silap haribulan, kereta sehebat itu nampak seperti kereta lembu. Perkara yang penting terletak kepada bakat seseorang dan mesin yang hebat pula sebagai bonus seperti yang dapat dilihat pada saudara Sam Yew Keat.

Sam adalah bukti bahawa bakat amat penting dalam melahirkan kereta yang hebat. Ditambah pula dengan 10 tahun pengalaman dalam dunia I.C.E, membantu beliau mewujudkan Sam Audio Car Accessories. Manakala kehadiran kereta Myvi ini sedikit sebanyak membantu dalam perniagaan Sam. Apa tidaknya, Myvi ini sudah cukup membuktikan bakat yang ada pada pemilikya bukan calang-calang.

Sebagai pecinta I.C.E tegar, Sam tidak menumpukan perhatiannya terhadap pembinaan modifikasi di bahagian luar badan kereta. Sebaliknya, tumpuan beliau 100% ditumpahkan kepada binaan sistem I.C.E yang menghuni Myvi ini, sekaligus mendahulukan prestasi bunyi yang dihasilkan. Malah, gabungan pelbagai jenama digunakan adalah kunci kecemerlangan yang dipegang Myvi keluaran tahun 2008 ini.

Bermula dengan pemain utama yang menjadi kemudi sistem I.C.E talaan SPL ini, Sam memberikan kepercayaannya terhadap jenama Pioneer. Jenama ini seringkali muncul dengan variasi pemain utama mengikut kesukaan pecinta I.C.E. Selain memainkan pelbagai format media, model DEH-3150UB ini digunakan beliau untuk memacu set speaker komponen yang terletak di bahagian depan, sekaligus menggantikan tugas amplifier. Set komponen ini pula terdiri daripada 2 unit mid bass dan 2 unit tweeter,

Setelah membaca format yang dimainkan, pemain utama Pioneer tadi menghasilkan isyarat yang mana akan dipancarkan untuk diproses terlebih dahulu sebelum sampai ke penghuni jentera I.C.E yang lainnya. Bagi menjamin kualiti isyarat yang dipancarkan pemain utama tadi, Sam telah menggunakan seunit pre-amp dengan 7 band parametrik. Di sini, beliau mengawal jumlah yang bakal dipersembahkan barisan woofer mengikut citarasanya. Sama ada perlu jumlah ditambah atau pun dikurangkan.

Isyarat tadi kemudiannya akan singgah ke stesen berikutnya, untuk diperbesarkan pula bagi tujuan memacu barisan speaker. Stesen yang dimaksudkan ialah amplifier. Dalam sistem I.C.E kepunyaan Sam ini, dua unit amplifier telah digunakan. Amplifier ini pula akan memacu sejumlah speaker yang telah dibahagikan mengikut kemampuan pacuan setiap unit amplifier. Seunit amplifier Bluestorm 4 channel telah digunakan untuk memacu 2 unit horn tweeter dan 3 unit mid bass berukuran 6” dari jenama Alfa Linear.

Benar, jenama Alfa Linear ini tidak perlu menjalani proses pengenalan kerana memang dikenali di kalangan para peminat I.C.E di Malaysia. Bersesuaian dengan namanya, jenama ini sentiasa mendahulukan kualiti bagi memenuhi kepuasan para peminatnya. Ini juga dapat dilihat pada kereta milik Sam yang mengutamakan jenama sama.

Bagi meneruskan kecemerlangan yang dibawa oleh isyarat tadi, Sam menutup jentera sistem I.C.E ini dengan 4 unit woofer 12” yang juga dari jenama Alfa Linear. Kesemua woofer ini pula telah dipacu oleh seunit amplifier 1 channel jenama Next Zero NZ-2500.1. Dalam memastikan gabungan sistem I.C.E Myvi ini tidak semput di pertengahan, Sam menggunakan 2 unit kapasitor. Kapasitor tersebut ialah Intersys 1.0 farad dan juga kapasitor kuasa digital Lanzar Vibe Pro 1.5 farad.

Jika anda fikir kuasa yang disediakan Sam berakhir di sini, tanggapan itu salah. Hal ini kerana, Sam telah menambahkan lagi bekalan kuasa dengan menggunakan dua unit bateri, Niko SMF dan juga EFX. Wah! Kalau begini, hentam bass 24 jam pun tidak akan ada masalah. Betul tak?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 15




























