Sebagaimana cinta penggemar kereta terhadap versi asal Beetle keluaran Volkswagen tidak akan pudar, begitu juga halnya yang bakal terjadi kepada Kancil keluaran Perodua. Sehingga ke saat ini, pasti anda boleh melihat Beetle model lama berada di atas jalanraya. Bukan sahaja klasik, ia masih berfungsi dengan cukup baik. Kena pula dengan cara penjagaan pemiliknya. Saya ada seorang pakcik yang sanggup berbelanja semata-mata untuk memiliki Beetle dan memenuhi impian remajanya. Hampir setiap petang, dia pasti memandu Beetle di sekitar kawasan perumahan yang kebetulan berhampiran tempat saya tinggal.
Kegilaan yang sama dapat dilihat pada kereta Kancil, malah ianya bermula sejak ia diperkenalkan pada tahun 1994 yang mana di ketika itu saya masih lagi di bangku sekolah rendah. Keghairahan dan kegilaan yang sama tidak pudar terhadap kereta kompak pertama Malaysia ini. Hampir di setiap penjuru, pasti ada lagi kereta Kancil versi awal yang gagah meredah jalanraya. Kehadiran Kancil ini juga sekaligus mengubah pola permintaan kereta di pasaran yang mana selama ini dikuasai Proton. Ekoran permintaan yang tinggi dan persaingan yang sengit ini juga membuatkan Proton muncul dengan beberapa model untuk kembali ke posisi kemuncaknya.
Walaupun pengeluarannya telah tamat sekitar tahun 2009, Kancil masih lagi mendapat tempat di kalangan para pencinta kereta khususnya yang menggilai kereta kompak. Walaupun dengan kehadiran Kelisa, Myvi, Viva (pengganti Kancil) dan terbaru Axia, tiada antara model ini dapat memenuhi kehendak pencinta Kancil yang kebanyakannya merupakan penggemar Daihatsu Mira. Kenapakah Kancil ini terlalu diminati dan menjadi pilihan ramai?
Kompak dan fleksibel serta jimat petrol. Rata-ratanya, inilah jawapan yang diberikan setiap kali soalan sama diajukan kepada para pencinta tegar Kancil. Sebagai editor yang sudah pun bertugas hampir sedekad dalam bidang berkaitan kereta, boleh dikatakan yang saya setuju dengan ketiga-tiganya terutama sekali fleksibel. Saiznya yang kecil dan kompak, membuatkan ia fleksibel dari segi pengubahsuaian dan tidak hairanlah, di mana-mana tapak autoshow pasti Kancil mendominasi. Disebabkan fleksibel, pemiliknya bebas mengubah dan melakukan modifikasi dan ini dapat dilihat menerusi kereta Kancil Kole Audio talaan Successful Auto Accessories.
Kebanyakan Kancil dimodifikasi untuk pembinaan sistem audio selalunya dipasangkan dengan talaan SPL. Jarang sebuah kereta Kancil ditala dengan sistem talaan SQ. Kenapa? Bukankah lebih mudah untuk sebuah sistem talaan SQ dipasangkan pada Kancil yang kompak? Tidak cukup sekadar itu, lebih menakjubkan bilangan speaker yang memenuhi ruang dalam Kancil ini. Pernah dahulu, sebuah Kancil dipasangkan 12 unit woofer dan kali ini, hanya 4 unit digunakan tetapi ia sudah pun cukup membebankan. Pasti sekarang anda sudah faham segala persoalan di awal tadi. Ya, sifatnya yang fleksibel membuatkan ramai pencinta audio rela memilihnya berbanding kereta lain. Malah, Kancil sangat popular di kalangan installer sebagai kereta demo.
Kecil tidak bermaksud mustahil kerana segala-galanya terpulang kepada installer dan pemiliknya sendiri. Dibina untuk menyertai pertandingan yang seringkali diadakan, pembinaan sistem audio Kancil ini dirancang dengan teliti. Dimulakan dengan pemain JVC KD-R456, data-data yang dibaca kemudiannya dipancar kepada seunit line driver dari Kole Audio, QX-D4. Ia berfungsi untuk menambahbaik isyarat yang diterimanya sebelum dipancarkan semula ke bahagian lain dalam sistem audio ini. Adakah penggunaannya perlu? Perlu atau tidak, terserah kepada anda yang mengeluarkan duit tetapi demi untuk memastikan isyarat yang dihasilkan cemerlang, penggunaan line driver disyorkan.
Seterusnya, isyarat dibahagikan kepada dua laluan sebelum dipecahkan lagi kepada 4 laluan pula. Pembahagian peringkat awal ini, laluan dibahagikan mengikut dua unit pre-amp; pre-amp 7 Band Kole Audio QX1-90EQ dan pre-amp Kole Audio KEQ-7. Penambahan pre-amp ini sekaligus memperlihatkan bahawa installer benar-benar serius dalam menghasilkan isyarat yang cukup halus dan lancar sebelum diserahkan kepada bahagian lain dalam sistem audio ini. Sangat berhati-hati!
Isyarat dari pre-amp 7 band tadi kemudiannya dialirkan dan dipecahkan kepada 3 laluan baru yang mana setiap satunya diketuai seunit amplifier 2 channel Kole Audio KSQ-1202. Unit pertama ini memacu 4 unit tweeter Kole Audio QD-TW100, diikuti unit amplifier kedua yang berfungsi untuk memacu mid bass 6.5” Kole Audio KSQ-600BM. Manakala unit terakhir pula memacu 4 unit mid bass 6.5” Kole Audio KPS-PA65. Kesemua speaker dipasangkan dalam perumah khas yang diletakkan di bahagian bonet.
Bersama-sama gugusan speaker ini, sebuah perumah khas dibina untuk menempatkan 4 unit woofer 12” Kole Audio QB12DD’D. Woofer ini pula dipacu oleh seunit amplifier monoblock Kole Audio KPS-8000D yang awalnya menerima pancaran isyarat dari pre-amp Kole Audio KEQ-7.
Bagi memuatkan kesemua aksesori audio selebihnya yang terdiri dari line driver dan amplifier, installer telah mencabut tempat duduk penumpang di bahagian belakang. Sekiranya anda bertanya lagi, adakah berbaloi berbuat demikian? Mungkin barisan trofi kemenangan yang disusun rapi bersama Kancil ini adalah jawapannya. Bukan saiz tetapi keyakinan dan usaha yang dilakukan penentu kejayaan. Untuk itu, Kancil ini sudah cukup berjaya. Setuju atau boleh dibahaskan di lain hari?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 65