Persoalan ini sering bermain di fikiran saya. Bagaimana seorang pemilik kereta seperti Vios dan Myvi sanggup menghabiskan sejumlah besar wang untuk sistem audio kereta mereka? Kita bercakap tentang kos puluhan ribu ringgit yang kadangkala melebihi harga kereta itu sendiri. Sistem yang dimaksudkan sudah tentulah SQ cemerlang dengan alatan kelas pertama dan eksotik. Bila bicara tentang kualiti, ia bukan sahaja tentang set speaker dan amplifier. Kadangkala unit kapasitor, pemproses, malah kabel penyalurnya boleh berharga ribuan ringgit.
Susah untuk mengelak perbelanjaan besar bila anda mula menceburkan diri dalam dunia Sound Quality. Kerja untuk menyiapkan sebuah sistem SQ yang benar-benar cemerlang memerlukan ketekunan yang tinggi. Pelarasan, pemasangan dan pemilihan setiap peralatan menjadi detik kritikal dalam menentukan hasil akhir yang bakal diperolehi. Keputusan akhirnya terletak pada penalaan yang betul oleh mereka yang berkemahiran.
Senarai peralatan yang dipasangkan pada kereta ini bermula dengan unit pemain 1-din dengan indash motorized Alpine IVA-D800E. Ia bukanlah pemain pelbagai fungsi tetapi bila digabungkan dengan pemproses Alpine PXA-H800, gandingan ini menjadi Raja! Jika anda mahukan sistem dengan keupayaan audio dan paparan visual, mana-mana pemain Alpine dengan pemproses PXA-H800 adalah gandingan yang ideal.
Pemproses ini dipasangkan dengan tiga unit amplifier Mercury. Satu saja sudah berapa harganya? Inikan pula tiga! Amplifier tersebut terdiri daripada 2 unit amplifier tiub 4 channel Mercury MCR-T4080 dan seunit amplifier kelas D monoblock Dominations Mercury MCR-800.1. Unit-unit ini dipasangkan dengan cukup bergaya di bahagian but bersama kotak fius dan pemproses PXA-H800 tadi. Jika anda ada sesuatu yang mahal untuk dipasang, kenapa perlu disembunyikan? Ya tak?
Perumah bagi komponen ini dibuat bukan sahaja bergaya. Menurut pihak RS Pro, kesemua kereta mereka dibina dengan konsep terbuka yang hampir sama. Mereka sedaya upaya memaksimumkan penggunaan ruang but tanpa mencacatkan penampilan peralatan tersebut dan sudah pasti tayar ganti masih berada di tempatnya. Jika anda melihat fakta ini sebagai sesuatu yang penting, saya secara peribadi memberi ‘thumbs up’ kepada pemasang begini. Ini sebuah sedan yang kecil, jika barang sudah tidak boleh diisi dalam hud dan bila kereta pancit tiada tayar ganti bukankah itu menyusahkan?
Kombinasi unggul sistem SQ 3 hala kereta ini kesemuanya datang dari set hadapan. Di bahagian pillar, 2 unit mid 3” Dominations D-53Neo dipadankan bersama 2 unit tweeter Dominations R50. Melihat kepada pemasangannya seperti perumah yang sedia dari kilang, hakikatnya, semuanya dibuat dengan tangan secara in-house menggunakan kayu yang memakan masa berjam-jam lamanya. Kedua-dua mid dan tweeter ini mendapat bekalan kuasa daripada amplifier Mercury MCR-T4080 tadi.
Amplifier dari model yang sama digunakan untuk memacu mid 6” Dominations pada panel pintu. Kelebihan pada Vios ini ia memiliki ruang yang cukup untuk dipasangkan dengan mid tersebut, bagaimanapun kerja-kerja minor tetap dilakukan untuk tujuan tebatan bunyi supaya output dari speaker tadi dapat mencapai apa yang disarankan dari kilang. Sekali lagi. Speaker yang bagus dengan pemasangan sembrono akan memusnahkan prestasinya!
Kriteria sebuah SQ antara lain memerlukan sokongan dari bunyi woofer. Apa yang dibuat pada kereta ini agak di luar kebiasaan di mana woofer dipasangkan di bahagian kick panel penumpang depan. Woofer 10” Dominations ES ini mendapat bekalan kuasa daripada amplifier kelas D monoblock Mercury MCR-800.1. Sistem begini mendapat kesinambungan gelombang bunyi yang seimbang, namun ia memakan ruang. Menebat keseluruhan bunyinya juga bukanlah kerja mudah kerana sedikit kesilapan bermakna keseluruhan panel kotak ini perlu dibuka dari awal.
Membina sebuah kereta SQ pada tahap ini memerlukan ketelitian, kesabaran dan kemahiran yang jitu. Semua mesti disatukan dalam masa yang sama untuk memudahkan penalaan akhir yang ‘precise’. Gelombang SQ didengari berbeza mengikut kesesuaian individu. Asas kepada penalaan bunyi berlapis, lebar (wide) atau staging pentas hanya dapat difahami di kalangan mereka yang ‘gila’ sahaja. Mungkin saya salah seorang daripadanya!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 33