Kancil Kecil Moleq Custom Fit
Ia kecil tetapi sangat praktikal. Kancil. Saiz yang kecil tidak menjadi masalah kepada pemilik kereta jenis ini untuk bereksperimentasi. Baik dari segi modifikasi prestasi, bodykit mahupun sistem audio, Kancil sangat ideal dan fleksibel untuk dibentuk. Salah satunya, Kancil biru yang terpampang di halaman ini. Dipenuhi kelengkapan audio berjenama Autotek, si kecil ini tampil bergaya. Bergaya untuk dihormati!

Menjadikan sebuah Kancil sebagai kereta demo bukanlah sesuatu yang asing. Ada pelbagai faktor yang mendorong para installer memilih kereta kompak ini. Sepertimana Kancil diminati kerana saiz yang kecil dan mudah dikendali terutamanya pemandu yang baru dapat lesen. Begitu jugalah dengan installer yang mudah melakukan kerja-kerja pemasangan, khususnya capaian kabel dan wayar serta penyusunan kemas dan sempurna. Tambahan pula, tidak banyak kos terlibat dalam menjaga sebuah kereta Kancil standard. Benar, bukan?

Bukan jemu dengan modifikasi Kancil tetapi fobia kerana ditemukan modifikasi yang acuh tak acuh. Sepatutnya modifikasi yang dilaksanakan mentransformasi Kancil tampak hebat sebaliknya, lebih banyak yang memburukan kereta kompak ini. Rosak, hancur, binasa!

Peluang diberikan pada diri sendiri untuk menilai, apa yang mampu dihasilkan Kancil yang menerima sentuhan Custom Fit Accessories, sebuah installer yang amat dikenali di Terengganu. Setelah halwa telinga dipuaskan, kepala diangguk tanpa sebarang kata dikeluarkan. Bukan tanda bagus, tetapi ia adalah signifikasi kepada kekaguman. Kalau tak percaya, cuba dengar sendiri.

Sebagai kereta demo, tempat duduk penumpang di bahagian belakang memang kerap menjadi mangsa untuk dikorbankan. Ini untuk memberi ruang kepada penempatan aksesori berkaitan supaya bunyi yang diingini dan perlaksanaan ‘staging’ adalah tepat. Seperti yang dapat dilihat di bahagian belakang, sejumlah 6 unit woofer 12” disemadikan. Jikalau perkiraan segala ruang tidak dilakukan dengan betul, maka ia akan mencacatkan kualiti bunyi yang dihasilkan. Tiada ruang untuk sebarang kesalahan khususnya pada kereta demo!

Sistem audio dengan talaan SPL ini dimulakan dengan pemain utama yang membaca data menerusi CD. Lazimnya, apabila tiba tentang pemilihan pemain utama, ramai installer cenderung memilih jenama Pioneer tetapi untuk Custom Fit, Kenwood menjadi keutamaan. Pemain Cd ini pula dari model KDC-XBT8013U, tidak kurang hebatnya dengan barisan pemain utama keluaran Pioneer. Boleh dikatakan, sejajar dan seiring!

Dari sini, segala data yang diproses akan disalurkan pula kepada alat line driver dengan kuasa 8 – voltan dari Alphasonik, PLD300. Bertindak menggantikan pre-amp dalam sistem Kancil ini, line driver memastikan jangkauan frekuensi yang tepat dibahagikan, secara lebih lebar dan lebih tajam. Isyarat kemudiannya dipecahkan kepada 7 unit amplifier yang berbeza mengikut jumlah yang diperlukan. Sebelum itu, 2 unit speaker Autotek yang bertugas menyebarkan bunyi dibahagian kokpit hadapan dipacu terus pemain Kenwood tadi. Kedua-dua unit speaker ini pula dipasangkan di panel pintu custom made berwarna biru.

Baiklah, kembali kepada 7 unit amplifier tadi. Tumpuan harus diberikan kepada bahagian belakang Kancil yang dimuatkan sebanyak 20 unit speaker, terdiri daripada 6 unit woofer, 8 unit mid dan 6 unit horn tweeter. Setiap speaker disusun rapi dan mempunyai ruang di antara satu sama lain. Bagi memacu 8 unit mid 6.5” Autotek SS-65PA, 2 unit amplifier 4 channel Autotek MM400.4 digunakan yang mana setiap satunya memacu 4 unit speaker. Manakala 6 unit tweeter yang dipasangkan berselang-seli dengan kedudukan mid tadi, dipacu 2 unit amplifier 2 channel Autotek MM200.2 yang setiap satunya memacu 3 unit horn tweeter SS-50T.

Sekarang tiba di bahagian terakhir atau lebih tepat lagi, penutup kepada sistem audio Kancil biru ini. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, sejumlah 6 unit woofer 12”Autotek BT12D4 digunakan. Ruang yang agak terhad membuatkan susunan konvensional telah dipraktikan installer. Tetapi, masih mampu menghasilkan dentuman bass yang optima. Kesemua woofer ini dikuasakan oleh 3 unit amplifier monoblock Autotek 4000.1. Bagi memastikan keberterusan kuasa tanpa mengalami sebarang gangguan, sebanyak 3 unit kapasitor digital dbLink CAP450DV digunakan yang mana setiap satunya diperkuatkan dengan jalinan 1.5 farad.

Bukan sahaja menarik kerana sistem audionya, malah interior Kancil ini juga boleh dibanggakan. Saya terkesima apabila melihat interior yang kemas. Cuma ada sedikit kekeliruan, apa tema sebenar yang ingin disampaikan? Apa-apa pun, bunyi yang dihasilkan mampu buat orang toleh berkali-kali.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 37




























