
Percaya atau tidak, kereta Honda Jazz telah mengubah industri automotif hingga menjadi tanda aras kereta kompak yang berjaya memecah kebuntuan saiz dan pakej keselamatan yang bersepadu. Saiz kereta dalam segmen B selalunya menghadkan ruang dalaman yang selesa. Jika berjaya menjadikan ruang kaki lebih besar, masalah seterusnya ialah but yang terhad. Kebijaksanaan Jazz (atau Fit) ini terletak pada rekaletak bangku, tangki bahanapi dan juga posisi enjin kecilnya yang unik. Hasilnya, sebuah kereta kecil kelas B yang menandingi kebanyakan kereta dalam segmentasi yang lebih tinggi darinya.
Kejayaan kereta ini juga mengubah halatuju Honda dalam menghasilkan model berikutnya. Jauh dari apa yang pernah kita fikirkan, Honda telah berjaya memikat anak muda untuk memiliki kereta yang direka untuk urban. Sekali pandang, kereta ini kelihatan feminin tetapi di Malaysia, Jazz menjadi sangat popular di kalangan anak muda yang sukakan modifikasi.
Kereta ini juga mendapat perhatian bagi kaki audio. Kami menemui sebuah Jazz yang diubahsuai dengan penempatan sejumlah peralatan agak banyak. Ditemui di Klang berhampiran kawasan desa, kereta ini menerima penalaan yang menyeluruh di salah sebuah lokasi ‘rahsia’ peminat audio SPL. Namun begitu, kereta ini bukanlah binaan SPL, sebaliknya sebuah sistem SQ tiga hala yang dibina dari produk jenama Target Audio dan Coral.
Bagi mendapatkan situasi penalaan yang betul, pihak pemasang telah memilih pemain audio Pioneer dari siri DEX, DEX-P99RS. Pemain high-end untuk versi ‘single deck’ ini memang terkenal kerana reputasinya yang sangat disegani. Saya kira mungkin separuh dari industri SQ sedunia pastinya tertumpu pada model flagship Pioneer ini. Seperti biasa, pemain yang hebat sudah tentu memudahkan konfigurasi dilakukan.
Seterusnya, 4 unit amplifier ditugaskan untuk mengasingkan keempat-empat frekuensi bunyi yang terhasil. Keempat-empat amplifier yang bertugas memacu sistem audio SQ 3 hala dalam Jazz ini merupakan amplifier 2 channel Target Audio TA120.2. Cerita lainnya mengenai amplifier ini ialah ia dikumpulkan dalam pemasangan kekayu perak pada but belakang. Gaya olskul (oldschool – otai) begini lebih ringkas tanpa perlu menggunakan efek yang ekstrem. Adakalanya, konsep ini lebih sesuai berbanding hiasan yang agak melampau dan kelihatan serabut. Setuju dengan pendapat saya?
Amplifier ini bertugas untuk menguasakan mid range Target Audio TFK-70 dan juga tweeter Target Audio. Gandingan ini dipasangkan di kedua-dua bahagian pillar A depan dalam perumah khusus yang berjaya memenuhi ruang yang ditinggalkan oleh jurutera dalaman Honda ini. Pemasangan yang ringkas menjadikan speaker ini kelihatan seperti ianya sememangnya di situ. Saya beranggapan pembinanya mahukan penampilan semudah mungkin lantas tidak mengubah terlalu banyak rekaan dalaman asal kereta kecil ini.
Walaupun tidak asli, pemotongan pada panel pintu Jazz untuk memuatkan mid bass Target Audio TDK-165 tidak dapat dielakkan kerana rekabentuk pintu yang menghadkan pemasangan kebanyakan speaker aftermarket. Dengan sedikit idea, pemasangan set mid Target Audio ini berjaya dengan sebuah penghadang khas dibina untuk mengelakkan ‘kecederaan’ kerana kedudukannya yang begitu hampir dengan lokasi kick panel kereta.
Seunit woofer 12” jenama Coral mengakhiri senarai komponen audio yang digunakan. Turut mendapat kuasa daripada amplifier 2 channel Target Audio TA-120.2, woofer ini dipasangkan betul-betul di atas lantai but belakang bersama dengan kesemua unit amplifier dan seunit power cap 2.0 farad.
Kalau diperhatikan secara halus, kedua-dua jenama yang dipilih untuk membina sistem audio talaan SQ ini datangnya dari satu tempat. Ya, Itali. Apakah mungkin, aksesori audio yang dibina di Itali ini lebih menumpukan kepada sistem SQ? Ini kerana selain Coral dan Target Audio, Itali turut mengeluarkan beberapa lagi jenama lain yang turut sering menjadi pilihan peminat SQ dan gabungan Coral bersama Target Audio ini nyata mampu membuaikan anda dengan kelunakan muziknya.
Baiklah, menyentuh interior yang dikenakan ke atas Jazz ini, secara jujurnya, saya cukup gemar hiasan but begini. Ia menggunakan satu nada warna dengan petak-petak yang dibina bersegi sambil susunannya dibuat mengikut fungsi. Kadangkala ringkas itu lebih mudah. Bukan sahaja meninggalkan kerja-kerja rumit yang memakan masa lama, pemadanan begini adalah jalan selamat bagi sebuah projek yang lebih ‘sleeper’ kata mat salleh. Kalau bukan kerana masalah duit, rasa macam nak hantar kereta saya sekarang juga ke Klang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 41































