Jenama Rockford Fosgate amat terkenal bagi penggemar audio yang mahukan bunyi berkualiti tinggi di mana setiap inci bunyi dihasilkan daripada muzik ingin didengar pemiliknya. Aksesori audio buatan Amerika Syarikat ini hadir dengan harga yang agak premium tetapi bagi mereka yang sanggup berbelanja besar untuk sistem audio, harga bukanlah satu isu yang besar, yang penting ialah kepuasan diri.
Proton Wira berwarna biru muda ini amat unik bukan saja dari segi sistem audionya, tetapi juga bodykit yang digunakan. Menggunakan Toyota Chaser sebagai sumber inspirasi, keseluruhan bumper depan dan gril Wira ditukar dengan aksesori bodykit rekaan custom, bersama-sama arca roda lebar yang menempatkan rim-rim 18” jenis deep dish offset rendah.
Tarikan kepada rekaan bodykit Wira ni membawa orang kepada sistem audio yang direka untuk Sound Quality Level atau SQL. Mementingkan kualiti bunyi berbanding kuasa, pemilik Wira ini memilih hampir secara eksklusif produk daripada Rockford Fosgate untuk mencapai impiannya.
Proton Wira mempunyai ruang yang agak luas untuk projek audio yang baik, memandangkan ia mempunyai rekabentuk badan sedan dengan ruang but dan ruang dalaman yang luas. Ruang yang luas memudahkan tuner audio untuk mendapat titik staging yang terbaik bagi si pendengar dan mereka juga boleh bertindak liar bagi menghasilkan perumah custom untuk speaker-speaker yang bakal digunakan.
Seperti mana-mana sistem audio, tak kiralah sistem audio cap ayam ataupun jenis high end, kesemuanya pasti bermula dengan pemilihan unit utama atau head unit yang akan memain semula muzik atau video daripada pelbagai format audio atau video yang berbeza. Wira ini menggunakan unit utama Pioneer AVH-X4650 jenis 2-din yang mampu memain semula pelbagai jenis format audio dan video. Unit ini turut mempunyai skrin binadalam 6” dengan resolusi tinggi dengan jack output untuk lebih daripada satu monitor tambahan dan untuk projek audio Wira ini, sebanyak 8 unit monitor 4” telah disambung dan diletak di bahagian but belakang.
Rekaan audio ini agak unik oleh kerana dari unit utama tadi, ia tidak disambung kepada apa-apa equalizer mahupun pemproses bunyi digital seperti yang lazim dijumpai pada sistem audio seumpama ini. Unit utama tadi disambung terus kepada amplifier Rockford Fosgate R600 yang mempunyai 5 channel. Amplifier ini merupakan satu-satunya amplifier yang digunakan bagi keseluruhan sistem ini di mana amplifier mempunyai keupayaan unik bagi memecah frekuensi di dalam bentuk stereo untuk 4 saluran dan 1 saluran lagi untuk frekuensi mono semata-mata.
Dengan amplifier jenis ini, frekuensi stereo disalurkan kepada empat unit speaker Rockford Fosgate P1675 yang diletak pada dua tempat berbeza di dalam kereta ni. Set jenis komponen ini datang lengkap dengan tweeter, seunit crossover dan mid bass 6.5” yang mampu memain semula frekuensi tinggi dan sederhana dengan cemerlang. Untuk nikmat pendengaran sang pemandu, set komponen pertama dipasang pada ruang speaker pada pintu depan.
Satu set lagi dipasang pada ruang but belakang pada perumah custom yang dibina pada deck lid kereta. Perumah juga menempatkan kelapan-lapan monitor yang ditulis awal tadi. Ruang but belakang menempatkan perumah custom penuh yang diperbuat daripada bahan kayu, gentian kaca dan persplex serta dibalut PVC bermotif bunga dan emas.
Walaupun perumah custom di but belakang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 4 unit woofer, pemilik hanya menggunakan seunit woofer untuk sistem audionya. Untuk sistem jenis SQL, sebenarnya tak perlu pun pakai woofer banyak-banyak sebab kadang-kala, satu pun dah cukup. Woofer yang digunakan ialah dari model Rockford Fosgate P1S412 berdiameter 12” yang ditanam di lantai perumah custom tadi. Amplifier 5 saluran pula diletak di dalam perumah khas yang dilindung bahan persplex.
Woofer 12” tadi dikuasakan amplifier yang digunakan bagi memacu kesemua speaker kereta ini, dengan satu saluran mono dari amplifier tadi digunakan bagi menghentam woofer itu. Anda mesti tertanya-tanya, apa yang terselindung di sebalik persplex paling besar pada perumah custom? Tidak ada speaker atau woofer di situ, tapi sebaliknya sistem pemampat udara untuk sistem gantungan air suspension yang digunakan Proton Wira ini!
Sistem audio Wira ni mungkin agak ringkas dari segi komponen yang digunakan, tetapi dari segi hasil akhirnya, sistem audio ni mampu menghasilkan bunyi yang cukup jelas dengan dentuman bunyi bass yang baik.