
Sepertimana yang pernah dinyatakan, Thailand umpama syurga pecinta ICE. Secara jujurnya, itulah pendapat peribadi saya untuk dikongsi bersama. Tidak melampau kalau dikatakan di rantau Asia, Thailand menduduki tangga teratas dalam kemajuan sistem ICE nya. Ini dapat dibuktikan dengan kehebatan dibawakan setiap sistem ICE yang membanjiri kawasan pertandingan yang dianjurkan. Sama ada di Thailand sendiri, mahupun diadakan di negara lain di mana kaki-kaki ICE dari Thailand sudi turun dan memeriahkan tapak pertandingan.
Pengamal dan kaki-kaki ICE Thailand memang layak untuk dicemburui. Apa tidaknya? Salah satu installer negara ini berjaya menarik perhatian ramai, bukan sekadar untuk peminatnya di Thailand, tetapi juga negara jiran, termasuklah Malaysia. Installer yang dimaksudkan, UDC Car Audio. Bertempat di Nonthaburi, UDC tampil dengan sentuhan klasik dan hebat. Memperlihatkan kemahirannya yang bukanlah calang-calang, malah cemerlang dan sentiasa megah di mana-mana pertandingan disertai.
Kalau cakap lebih, semua orang pun boleh. Siapa nak percaya kalau tidak ada bukti? Dunia sekarang sudah tak main cakap-cakap atas angin. Bagi membuktikan ia bukanlah sekadar omongan dan bohongan semata-mata, Kar HiFi tampilkan Volkswagen ini, salah satu kereta dengan pemasangan sistem ICE hebat di Thailand. Itulah yang menjadi kegemaran krew Kar HiFi, kalau pergi mana-mana pasti tak putih mata. Ada sahaja buah tangan yang dibawa untuk dikongsi bersama pembaca tercinta.
Kalau nak tahu, sewaktu pertama kali bertemu kereta ini, saya geleng kepala. Alamak, kalau setakat kereta Volkswagen macam ini, di Malaysia pun berlambak! Ya, agak kecewa juga, mengembara jauh-jauh sudahnya disuruh buat artikel tentang satu lagi kereta Volkswagen Beetle standard? Aduh. Tapi, sebaik sahaja pemiliknya membuka pintu bonet, tak tahu nak sembunyi ke mana muka ini? Nasib baik komen dalam hati, kalau ada orang dengar, malu dibuatnya! Pengajarannya, jangan menilai tanpa melihat isi dalam kereta. Anda faham?
Kalau anda menyoal, apa yang menariknya Beetle ini? Saya pula akan balas, apa yang tidak menarik pada Beetle ini?
Lihat bagaimana sistem ICE ini disusun rapi dan bersemadi indah di ruang bonet. Barisan amplifier yang terdiri daripada 4 unit kesemuanya, disemadikan setiap satunya dengan bijak dalam perumah khas. Memang benar, untuk menempatkan kesemua barisan amplifier, Beetle ini terpaksa mengorbankan bahagian tempat duduk belakang, tetapi ianya berbaloi. Seperti yang saya katakan di awal tadi, kalau dari luar memang tidak menjangka bahawa kereta ini memikul sistem ICE. Tunggu dulu, ini baru sikit. Masih ada banyak yang bakal menyusul.
Sepertimana sistem ICE lain, kereta ini juga diketuai oleh kapten yang berpusat di tengah-tengah kokpit depan. Pemain utama yang dipertanggungjawabkan untuk mengepalai sistem ini adalah dari Alpine model DVI-9990. Pemain ini direka khas untuk membaca data dan memancarkan isyarat. Untuk itu, bagi menyempurnakan tugasnya, pemain ini harus dikombinasikan dengan pemproses isyarat digital Alpine PXI-H990. Dan itulah yang dilakukan UDC. Isyarat yang dipancarkan kepada pemproses ini kemudiannya diagihkan pula kepada 4 laluan.
4 laluan yang dimaksudkan ialah, 4 amplifier dari Kamaz. Kepada sesiapa yang masih terpinga-pinga dan tidak mengenali jenama ini, ia merupakan jenama audio yang berasal dari Jerman. Seangkatan dengan Blaupunkt, German Maestro dan banyak lagi. Antara produk keluarannya yang digemari pasaran audio termasuklah barisan amplifier tiub yang mana dihasilkan untuk mencapai prestasi maksimum dengan bunyi yang lebih jelas serta menghidupkan bunyi kepada muzik.
Bagi sistem ICE Beetle ini, bukan amplifier tiub digunakan sebaliknya amplifier The Masterpiece 2.300. 3 unit amplifier Kamaz ini ditugaskan memacu 2 unit speaker untuk setiap mid bass, mid range dan tweeter. Speaker yang digunakan untuk menghidupkan sistem ICE ini terdiri daripada 2 set speaker komponen 3 hala; 2 unit tweeter Kamaz Scan Monitor, 2 unit mid range Kamaz Scan Monitor dan 2 unit mid bass Kamaz Scan Monitor. Manakala baki seunit lagi amplifier, bertugas memacu seunit woofer 12” Xetec.
Kalau diperhatikan setiap inci kereta Beetle yang dipaparkan dalam halaman ini, pasti anda tertanya-tanya, di mana duduknya woofer 12” Xetec. Hmm. Bukankah sudah dikatakan awal tadi, Beetle ini memang disusun rapi dengan dikenakan sentuhan klasik. Saya pun mencari pada mulanya dan dek kerana kelihatan tak ubah seperti pencuri di reban ayam, maka saya diberitahu pemiliknya bahawa woofer ini telah ditempatkan di kawasan yang tersembunyi. Amboi, misteri sungguh. Di mana agaknya kawasan misteri yang dimaksudkan?
Apa-apa pun, di mana juga woofer itu disembunyikan, yang penting, bunyi dihasilkan memang terbaik. Tak rugi rasanya menghabiskan masa berjam-jam membelek kereta ini. Tapi, momen yang paling menyeronokan bila dapat duduk di kusyen empuk sambil telinga dihidangkan dengan lagu membuai kalbu. Nasib baik tak tertidur, kalau tak dah tentu bos gelar saya … Mat Curi Tulang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 24








































