Perkara paling sukar dilakukan adalah apabila terpaksa berhadapan dengan sesuatu yang sama berulang kali. Kalau dilihat dari sudut kreativiti; ia dianggap sebagai ‘redundant’ yang jika berterusan akan mencederakan kemampuan otak bahagian kanan yang terinspirasikan menerusi imaginasi dan daya kreatif. Sama juga halnya, apabila minda sudah tidak terdaya mencari material bagi mempercantikkan artikel kali ini yang melibatkan sebuah lagi Honda City!
Jujurnya, tiada masalah melibatkan saya mahupun Honda City. Barangkali, sudah agak kerap meja dilambak dengan modifikasi audio yang dikenakan ke atas kereta model ini. Tapi, itu bukan alasan bijak untuk mengelak dari menyelesaikan tugasan. Honda City ini pula tidak kurang menariknya berbanding kereta-kereta sebelumnya. Dilengkapkan jenama GermanMaestro, Honda City ini mampu mendahului pencabar lain. Kalau bukan hari ini, tidak mustahil untuk masa akan datang. Betul, bukan?
Percayalah, Honda City ini ada keunikan tersendiri yang membuatkan ia tercetak di halaman ini. Halaman ‘hot spot’ dan bukan calang-calang modifikasi terpapar di sini. Memang benar, dari luar sahaja sudah memberikan tanggapan bahawa tiada apa yang mampu menarik perhatian. Tetapi, jangan anggap mudah pada kereta Honda City ini. Di luarnya mungkin kelihatan biasa, tetapi ia merupakan salah satu kereta dengan set sistem audio yang lengkap. Bukan hanya kerana ia dilengkapi jenama GermanMeastro, tetapi ia merupakan gabungan kemahiran installer dalam membina sistem talaan SQ 3-way yang ringkas tetapi tampil cemerlang.
Betapa ringkasnya konsep diketengahkan installer sudah dapat dibaca menerusi interior Honda City ini yang tidak tersentuh pun melainkan beberapa bahagian diubah, ditambah atau diganti untuk menempatkan aksesori audio. Bermula dengan bahagian kokpit, awalnya didatangkan dengan pemain utama 2-din digantikan dengan pemain utama 1-din dari Pioneer; DEX-P99RS. Demi menjayakan kecemerlangan sistem audio yang mana salah satu penyumbangnya adalah perangkat ini.
P99RS sering menjadi pilihan apabila tiba ke sistem talaan SQ kerana kemampuannya menghasilkan bunyi yang mirip kepada instrumen asal dengan kadar distorsi paling minimum. Tidak memerlukan aksesori penambahbaik yang lain kerana P99RS ini sudah cukup. Dari sini, isyarat terus dialirkan kepada 3 unit amplifier dari GermanMaestro.
Sebagaimana jenama audio yang datang dari Jerman, GermanMaestro bukanlah satu jenama yang dilambakkan sesuka hati dan mudah didapati di mana-mana sahaja. Setiap satunya dibina menerusi kerja tangan yang sangat halus dan teliti. Kualitinya seringkali dipantau agar membawa reputasi yang sama di setiap produk keluarannya. Tidak kiralah, sama ada speaker mahupun barisan amplifier. Justeru itu, bagi memberikan definisi audio terbaik, 2 jenis amplifier GermanMaestro digunakan; amplifier 4 channel German Maestro Five Series AB-4.85.10 sebanyak 2 unit dan satu jenis lagi amplifier monoblock GermanMaestro Five Series D1.1000.10.
Kesemua amplifier ditempatkan di bahagian ruang belakang tetapi dalam perumah yang dibina khas. Kelihatan sangat ekslusif tanpa mencederakan keadaan asal dan mengekalkan keluasannya. Apa yang lebih menarik, di sebalik salah satu amplifier ini pula tersembunyi seunit woofer yang ditempatkan dalam perumah gelas arkilik. 2 unit amplifer 4 channel tadi masing-masing menguasakan barisan speaker komponen 3-way GermanMaestro dari MLine MS-654010 yang dipasangkan di bahagian kokpit Honda City.
Seunit dari 2 unit amplifier 4 channel ini ditugaskan untuk memacu 2 unit tweeter dan juga 2 unit mid 4”, yang mana setiap satu darinya pula dipegang perumah khas yang dibina di bahagian A pillar. Manakala seunit lagi amplifier dari Five Series ini digunakan untuk memacu 2 unit speaker komponen yang dilekapkan di panel pintu. Semua kedudukan ini dirangka terlebih awal bagi memastikan kesan bunyi dihasilkan adalah seperti apa yang diinginkan. Ternyata, installer ini berjaya dalam misinya.
Ada baki seunit amplifier monoblock yang digunakan untuk memacu seunit woofer 12” German Maestro dari Five Series 5W12 sekaligus melengkapi sistem audio yang ringkas tetapi memenuhi setiap ciri untuk talaan SQ. Kelebihan sistem audio dibina pada Honda City ini, membolehkan pemilik menggunakannya untuk kegunaan harian dan menyertai pertandinga pada bila-bila masa sahaja. Jika anda masih tidak percaya bahawa tempat belakang Honda City ini dikekalkan dan mempunyai ruang yang sangat luas, lihat sahaja aksi model GermanMaestro yang mampu tersenyum sambil posing maut di dalamnya.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 39