Penyalinan sesebuah kereta bukanlah satu fenomena yang baru merasuk pecinta kereta. Kehangatan demam menyalin model-model kereta lain ini sudah bermula sejak bertahun dulu. Bukannya tidak mampu beli model asal tapi mereka lebih cenderung melakukan modifikasi untuk kepuasan. Seperti juga yang dapat dilihat pada generasi hari ini, rata-ratanya tersampuk demam menyalin model Evo 10. Benar, ianya sesuatu yang biasa. Namun kereta ini agak luarbiasa kerana pemiliknya OTAI!
Mula berjinak-jinak dalam dunia kereta pada tahun 1985 dengan kereta pertama miliknya yang juga merupakan model kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga. Bermula saat itu, saudara Azli tidak menoleh dan terus tekun melakukan transformasi ke atas kereta miliknya. Sebelum memiliki kereta Wira 1.6 yang telah melalui proses penyalinan lengkap Evo 10 ini, beliau pernah melakukan modifikasi ke atas sepuluh buah keretanya yang terdahulu.
Menurut beliau, kegilaannya terhadap modifikasi kereta berlaku secara berperingkat-peringkat seiring dengan perkembangan yang melanda dunia kereta. Pada awalnya, beliau dan rakan-rakan lebih cenderung melakukan modifikasi terhadap enjin. Kemudian ianya berubah kepada modifikasi kereta sehinggalah yang terbaru, I.C.E.
Pada usianya melebihi 4 dekan, beliau merasakan semuanya seakan baru bermula. Keterbukaan dan penerimaan masyarakat diikuti pelbagai penganjuran menambahkan lagi semangat jiwa mudanya. Amat berbeza keadaannya dengan 20-30 tahun lalu. Malah, aksesori-aksesori yang ada di pasaran jauh lebih bagus dari sudut kualiti dan harganya. Lebih bertuah lagi si isteri yang pada awalnya irihati melihat kecintaan si suami, telah bertukar angin. Kini menjadi pakar serta banyak memberi idea-idea baru dalam mempercantikkan kereta Wira Evo 10 ini.
Wira Evo 10 ini tersenarai dalam Top 2 seluruh Johor dan sentiasa menggerunkan pihak lawan. Sehebat binaan bodykit yang menyembunyikan tubuh sebenarnya, ia turut memikul sistem I.C.E yang tidak kurang hebatnya. Azli bijak merancang sistem yang perlu ada di dalamnya. Satu sistem yang mempunyai dua kegunaan. Ya! Sekiranya beliau mahukan bunyi yang lebih bertenaga, maka sistem SPL akan dipilih. Namun, jika beliau mahukan bunyi yang agak minor, maka pilihan beliau adalah sistem tambahan yang sengaja dibina dan terdiri daripada beberapa aksesori I.C.E. sahaja.
Bagi memulakan senarai jentera audio yang dipikul oleh Wira Evo 10 ini dan tidak mahu mengelirukan para pembaca, saya memilih sistem talaan SPL terlebih dahulu. Diketuai oleh head unit pemain CD dari jenama Sony CDX – M7810, model ini mampu membaca pelbagai format fail media serta boleh ditala mengikut citarasa pengguna pada bila-bila masa. Didatangkan dengan papan papar yang menarik. Isyarat yang dihasilkan oleh head unit ini akan diproses oleh dua buah pre-amp sebelum sampai kepada amplifier, pre-amp Epsilon EP-450 dan Caliber CPE-20i.
Isyarat yang telah diproses tadi akan dihantar kepada lima unit amplifier bagi diperbesarkan isyaratnya sebelum menerukan perjalanan aliran isyarat kepada kesemua unit speaker. Bagi memacu 6 unit woofer 12” Caliber, sebanyak 3 unit amplifier monoblock 1700.D telah digunakan di mana setiap satunya memacu 2 unit woofer. Sementara itu, bagi tujuan untuk memacu 6 buah mid bass 6” Caliber dan 4 unit tweeter Caliber, 2 unit amplifier 4 channel Caliber 8040 digunakan. Bagi memastikan kelancaran sewaktu sistem ini menghentam pula, Azli telah menggunakan kapasitor Caliber 2.0.
Jentera I.C.E ini telah disusun cantik di dalam enclosure costume made yang beralaskan warna putih. Pasti sukar untuk memastikan kebersihan sentiasa terjamin. Tiada satu kesan kotoran yang ada di atasnya. Sudah tentulah bersih kerana Azli amat cerewet dan sentiasa mahukan kereta kesayangannya ini sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Beralih pula kepada sistem tambahan yang sengaja diwujudkan khas untuk bunyi yang lebih minor atau sederhana. Perangkat yang mengetuai jentera I.C.E ini pula dipertanggungjawabkan kepada head unit Sony MEX – DV800, berkemampuan memainkan DVD. Isyarat yang dihasilkan dari head unit ini akan dipancarkan pula kepada pre-amp karaoke AV Quart AQ 1000KO. Pada bila-bila masa dan ketika, capai saja pembesar suara dan menyanyi. Seronok bukan?
Tidak berhenti di situ, senarai diteruskan pula dengan barisan speaker tambahan 2 unit mid bass 6” dari Epsilon dan 2 unit mid bass 3” yang dipacu oleh seunit amplifier 4 channel Caliber 8040. Jika dilihat pada kehebatan kereta ini, pastinya suasana dunia I.C.E lebih meriah jika saudara Azli dapat menyertai sama pertandingan-pertandingan besar yang diadakan luar dari Johor. Mungkin saudara Azli mempunyai alasannya sendiri. Apa-apa pun, Wira Evo 10 ini memang mantap!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 12