Hit The Tempo
Perkara penting yang perlu ada untuk menjadi peminat dan pemain audio tegar; kecekalan disamping semangat yang kuat dan tekad! Ia bukan sekadar dunia yang boleh diceburi kerana respon semerta tetapi kekal untuk masa panjang. Kalau sekadar terpengaruh maka ia akan segera hilang. Ia berkenaan jiwa dan emosi. Seumpama makan mengikut selera atau sekadar mencuba. Bukankah ianya dua perkara berbeza?

Selera dan citarasa adalah dua perkara penting dalam membina sesebuah sistem audio. Ada kereta tampil gah dengan dentuman yang berjaya membunuh sistem audio lain tetapi hakikatnya, tiada roh! Lebih memberatkan kekuatan bunyi tanpa mengambil peduli kualiti dan mutu. Bolehlah diibaratkan tin-tin kosong yang berlaga-laga di atas jalanraya. Bukan sahaja sakit ke tulang gegendang telinga, malah menyakitkan hati juga!

Sebuah jentera sistem audio hebat bukan sahaja tentang sistem talaan tetapi mengambil kira beberapa faktor lain. Lebih-lebih lagi susun atur dan paling utama, perkakas audio yang terlibat. Perlu atau tidak penggunaan aksesori audio tambahan seperti pre-amp, adakah posisi perkakas audio diletakkan di kedudukan yang tepat atau sebaliknya? Semuanya sama penting, khususnya untuk pemilik Wira berwarna merah ini yang sangat menitikberatkan keretanya secara keseluruhan.

Memilih Duyong Flaming Auto & Audio Services, installer yang tidak asing lagi di Melaka ini sebagai penyumbang kemenangan kepada sang juara, ternyata pemilik Wira ini sangat serius dalam dunia ICE. Bukan sekadar minat tetapi untuk menang. Menang demi kepuasan, seakan ganjaran dan menandakan segala usaha membuahkan hasil. Tak begitu?

Sukar untuk menidakkan tetapi itulah yang dapat dilihat menerusi mata kasar. Wira ini dilengkapi dengan perkakas audio dari jenama Adams Digital. Ia merupakan jenama yang amat digemari dan menjadi pilihan utama penggemar audio dengan sistem talaan SPL. Gabungan dua nama ini, Duyong dan Adams Digital mampu menggegarkan pentas perlawanan ICE, tidak kira di mana sahaja.

Menggunakan pengalaman yang ada, Wira ini dipersiapkan dengan sistem audio yang membuatkan para pengunjung berhenti dan mengatakan, WOW! Tolak ke tepi tentang soal interior mahupun eksterior, sebaliknya tumpukan kepada sistem audio yang didahulukan pemain utama dari Pioneer, DEH-7250SD. Membaca segala format termasuklah fail dari USB, sebelum dicernakan dan disalurkan kepada anggota sistem audio yang lain. Bagi membantu pemain utama ini, seunit pre-amp 7 band dari Caliber telah digunakan.

Isyarat yang diperkemaskan ini diperhebatkan pula dengan bantuan crossover Bostwick. Lazimnya, crossover tidak diperlukan kerana fungsinya sudah didatangkan dalam amplifier. Namun penggunaannya juga tidak memberikan sebarang masalah, malah memberikan kelebihan dalam sistem audio khususnya untuk Wira ini yang menggunakan amplifier dari model lama Adams Digital. Nampak tak, bagaimana installer menyempurnakan kelompangan yang mungkin berlaku? Inilah yang dikatakan, pengalaman!

Dari crossover ini, isyarat dibahagikan pula kepada dua laluan yang terdiri daripada seunit amplifier 4 channel Adams Digital ADS-80.4 dan seunit amplifier monoblock Adams Digital EXA-2500.1D. Amplifier 4 channel ini memacu 4 unit mid bass 6” Adams Digital dan 2 unit tweeter yang juga dari Adams Digital. 4 unit mid bass dan diikuti dengan 2 unit tweeter ini ditempatkan di bahagian but belakang. Disusun secara teratur untuk memastikan staging bunyi yang dihasilkan adalah tepat. Kenapa hanya 2 tweeter? Ia adalah untuk memberikan frekuensi tinggi dan diseimbangkan dengan kebulatan bunyi bass dari mid dan juga woofer.

Pada bahagian ini dapat dilihat dengan jelas 2 unit woofer Adams Digital EX3000. Memandangkan ianya dibina untuk penyertaan dalam pertandingan, Duyong Flaming turut bertanggungjawab menyediakan sudut interior dan eksterior yang dipadankan dengan sistem audio ini, SPL. Bijak dalam penggunaan ruang, amplifier monoblock yang memacu 2 unit woofer tadi ditanam di tempat letak tayar simpanan serta digarisi beberapa lampu LED. Mungkin, ia tidak memberikan sebarang perbezaan, tetapi Wira ini sangat menyerlah ketika di waktu malam.

Secara jujurnya, ia merupakan sebuah jentera dengan sistem audio yang mempunyai interior dan eksterior minimum. Apa yang penting, ia mencapai tujuan utama pembinaanya. Tepat pada sasarannya. Dibantu dengan limpahan LED, secara tidak langsung membantu Wira menarik perhatian ramai. Tidak hairanlah kalau ianya berjaya membuatkan pemilik kereta lain rasa tergugat!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 36



























