Jika wang bukanlah satu isu, saya percaya semua orang akan mengambil langkah serupa pada kereta mereka. Ubahsuai dan tingkatkan apa yang perlu. Masalah dengan keadaan ekonomi sekarang, orang terpaksa membahagikan perbelanjaan berdasarkan keperluan. Bagi yang berniaga, mungkin kurang bermasalah tapi bagi yang makan gaji dan belum membeli rumah, ia adalah halangan terbesar kerana harga hartanah sekarang yang tidak masuk akal. Pada satu sudut pula, ramai orang membuat keputusan untuk mengutamakan kehidupan. Maksudnya menikmati hidup tanpa perlu memikirkan sangat hal ehwal masa depan. Mat Salleh kata ‘enjoy life’ dan kereta ini mungkin juga contoh yang tepat.
Menghabiskan sebahagian masa dengan kereta dalam keadaan kesesakan jalanraya membuatkan ramai orang lebih menghargai apa yang mereka ada. Bayangkan terperangkap dalam kesesakan trafik berjam-jam setiap hari, makanya waktu yang dibazirkan itu dimanfaatkan dengan mendengar lagu dengan sistem audio berkualiti.
Kereta ini mendapat satu set sistem hiburan ekstensif melibatkan penambahan komponen audio di dalamnya. Dari luar, ia seperti sebuah kereta Honda City biasa tetapi sebaik but belakang dibuka kelihatan lengkap satu set audio. Lampu LED di badan kereta ini juga tidak kelihatan pada mata kasar dan apabila berhibur dalam kumpulan audio di malam minggu, ia lebih terserlah di sebalik warna kelabu yang membosankan.
Sistem kereta ini bermula dengan pemain asal. Pemiliknya tidak mahu menukar pemuka konsol tengah jenis ‘built in’ ini kerana mahu mengekalkan rupa bentuk aslinya. Pendek kata, ekstrak bunyi dilakukan oleh 2 unit pre-amp 7 band dari NT Power, NT-P777.
Unit ini dipecahkan mengikut laluan khusus keluaran kuasanya. Laluan pertama adalah untuk mid bass dan tweeter sementara satu lagi bertindak mengawal bunyi yang dihasilkan woofer. Kerja-kerja penambahbaikan ini dibuat oleh premis aksesori Top Racing yang terletak di pekan lama Serdang. Kawasan sibuk pekan kecil ini menjadi lebih sibuk apabila kereta-kereta begini diparkir di luar dengan muzik berdentum-dentam dimainkan.
Menghasilkan output bass yang tinggi memerlukan penalaan yang betul dan produk yang tepat. Kole Audio terkenal kerana keluaran kuasa dB yang tinggi seperti yang mereka catatkan dalam pertandingan audio MACE tahun lalu. 2 unit woofer Kole Audio yang sama digunakan bagi projek kereta ini dengan ditebat dalam sebuah kotak kukuh pada but belakang. Memastikan kuasanya cukup untuk terus meletupkan woofer ini ialah seunit amplifier monoblock kelas D dari NT Power.
Selesai dengan aspek ‘low’ band, kini frekuensi tengah dan tingginya pula dijadikan sandaran seterusnya. Memanipulasikan sepenuhnya ruang but belakang, pihak Top Racing telah merekabentuk perumah khusus untuk memuatkan 4 unit mid bass 6” NT Power NT-6.0C dan 2 unit tweeter Kole Audio QD-TW100. Perumah ini dibina menggunakan kayu nipis yang disatukan bersama dan kemasan akhirnya menggunakan lapisan PVC hitam yang kelihatan seragam untuk seluruh bahagian butnya.
Bagi membekalkan kuasa yang cukup, amplifier NT Power digunakan sekali lagi. Kali ini amplifier 2 channel NT-1000.2, sangat stabil dalam memastikan kesemua mid dan tweeter ini tidak mengalami masalah ‘distortion’ pada saat volum dihentam semahunya. Menurut pemilik kereta ini, tujuan asalnya adalah untuk hiburan sendiri. Namun setelah bergaul dengan beberapa kelab audio, aktiviti hujung minggunya kini lebih serius dan kerap mengadakan peragaan dan menyertai pertandingan.
Fokus utama pembinaan semula kereta ini tidak pernah tersasar. Tanpa membuat pembedahan kosmetik pada bodykit dan masih mengekalkan status kesederhanaannya, kereta ini dipasangkan dengan ‘splitter’ buatan custom yang dilekapkan pada bumper depan belakang. Ia kemudiannya diserikan lagi dengan pemasangan lampu LED mengikut rekaan ‘splitter’ tersebut. Perubahannya mungkin kecil tetapi berjaya mengubah bentuk kereta ini pada keadaan seperti dalam foto ini.
Apapun, seperti yang saya jelaskan di awal rencana tadi, konsep pengubahsuaian begini adalah representasi menikmati hidup. Ia mungkin melibatkan duit tetapi itulah realitinya. Jika mahu gembira, anda mesti ada duit bukan?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 40