Ketika ditugaskan membuat liputan salah sebuah penganjuran program yang melibatkan modifikasi audio dan kereta di bahagian utara, saya fikirkan ia satu rutin tugasan biasa. Merakam momen penting sepanjang program berlangsung, menemubual beberapa pengunjung dan peserta, memantau segala aktiviti yang disediakan serta mencatat perkara-perkara yang wajib ada untuk menyiapkan artikel sebelum dihantar atas meja editor yang cerewet tahap dewa!
Sebaik tiba di tapak acara, terkesima sekejap dibuatnya apabila melihat barisan kereta yang menyertai program ini. Sudah agak lama pertandingan melibatkan modifikasi audio dan kereta seperti ini tidak disertai kereta-kereta yang mampu membuatkan para pengunjung berhenti dan menghargai keunikan hasil kreativiti para peserta yang mengambil bahagian. Lebih membanggakan lagi, ramai wajah-wajah baru yang mewakili generasi muda sekaligus menyemarakkan lagi dunia modifikasi tempatan.
Salah seorang yang sempat ditemubual dan sudi meluangkan masa berkongsi kisah tentang kereta kesayangannya adalah pemilik Gen2 dengan pelekat bertema Hatsune Miku ini. Jika anda masih ingat atau mengikuti rapat setiap keluaran majalah Kar HiFi, pasti ingat tentang sebuah kereta dengan tema yang sama. Kalau dulu pemilik keretanya lelaki, kali ini pemiliknya seorang gadis yang memilih penyanyi watak anime Jepun pertama disuarakan aplikasi pensintesis binaan Crypton Future Media.
Jujur diakui, saya tertipu di awalnya kerana menyangka pemilik kereta ini seorang lelaki. Apa tidaknya, kereta Hatsune Miku yang sudah diterbitkan dahulu saya fikirkan dimiliki seorang gadis tetapi milik seorang jejaka yang sangat meminati anime. Jadi, saya kira yang ini pun milik jejaka k-pop tapi saya salah lagi. Peminat tegar Hatsune Miku, Shahida Binti Rosli mendedikasikan Gen2 ini khusus untuk penyanyi anime kesayangannya.
Berasal dari Taiping dan kini menetap di Kamunting, gadis berusia 28 tahun ini bertugas di Tesco Taiping. Sentiasa sibuk dengan tugasan, Shahida tetap mempunyai masa untuk bermain audio dan memodifikasi Gen2 kesayangannya. Bagi makluman anda, Shahida mula melibatkan diri dan aktif dalam dunia modifikasi sejak tahun 2013.
Seperti yang sudah diketahui, Hatsune Miku ini adalam watak penyanyi anime. Jadi sistem audio yang melengkapi Gen2 ini sekurang-kurangnya harus seiring dengan imej tersebut. Baik dari sudut penyampaian (penampilan) serta kualiti bunyi yang dihasilkan.Bagi tujuan itu, Shahida memilih Hua Auto Electrical & Accessories untuk membina sebuah sistem audio yang menggunakan beberapa jenama audio yang memang popular di kalangan peminat audio tempatan.
Bermula dengan pemain utama dari jenama yang tidak perlu dipersoalkan lagi reputasinya, Pioneer. Kebelakangan ini, Pioneer menerima saingan agak sengit dari beberapa jenama lain yang menjadi pilihan pencinta audio. Selepas fail media diproses, isyarat yang dihasilkan dihantar pula kepada dua unit pre-amp 7 band Exspider. Oh ya, sebelum itu, sistem audio ini dilengkapi sebahagian besarnya oleh jenama Exspider.
Seterusnya, isyarat dipancarkan pula kepada barisan amplifier menerusi 3 unit amplifier yang terdiri dari 2 unit amplifier 4 channel dan 1 unit amplifier monoblock. Ketiga-tiga unit amplifier ini juga dari jenama Exspider. Sistem audio yang dipasangkan pada Gen2 ini ditumpukan di bahagian belakang. Sebanyak 4 unit mid speaker Exspider dan 2 unit horn tweeter The Punch dipasangkan dalam sebuah perumah khas yang diletakkan di bahagian belakang. Perumah ini pula dilapik dengan warna putih dan merah jambu (pink). Comel sangat.
Melengkapi sistem audio Gen2 ini, sebanyak 2 unit woofer jenis PA dari Exspider telah dipasangkan yang berkongsi perumah dengan barisan speaker dan tweeter tadi. Bagi bunyi tambahan dengan frekuensi tinggi, 2 unit tweeter SQ di mana setiap satunya dipasangkan di kedua-dua sudut pillar A.
Sudah enam tahun Shahida melibatkan diri dalam modifikasi kereta dan anda boleh lihat hasilnya ke atas Gen2 ini. Jika di luar tema Hatsune Miku sudah menarik perhatian anda, di bahagian dalam pula tidak mempunyai satu tema yang tetap tetapi apa yang pasti, di mana-mana sahaja ada Hatsune Miku mini. Oh ya, tidak lupa juga pemasangan Sunroof membuatkan Gen2 ini lebih unik.