Excellent Kick!
Kereta ini diambil gambarnya di Pulau Pinang, gara-gara komputer riba mengalami masalah teknikal di mana lebih separuh dari foto kereta ni hilang begitu sahaja. Hanya nasib yang menemukan foto asal kereta ini di pejabat, di mana saya terlupa pernah memindahkan datanya dalam sebuah pendrive. Memang betul-betul bertuah. Nak harap kami ke Pulau Pinang semula untuk buat penggambaran baru adalah perkara mustahil kerana kereta ini telah pun dirombak sepenuhnya dan tidak lagi berada dalam keadaan sekarang.

Menu bagi kereta-kereta berkonsepkan audio boleh dikatakan hampir serupa sahaja semuanya. Payah untuk mendapatkan sumber bacaan dengan contoh modifikasi yang benar-benar ekstrem jika ianya milik individu. Kalau ada sekalipun, ia pasti datangnya dari peminat tegar audio yang menjadikan kenderaannya sebagai modal ‘cari makan’.
Main di pameran dan masuk pertandingan, kumpul hadiah sebanyak mungkin sama ada ianya piala, wang ringgit, hamper atau apa sahaja. Masyarakat moden hari ini tidak lagi membuat kereta secara membuta-tuli. Jika tiada hasilnya, mereka lebih rela simpan di rumah.

Melainkan ianya sebuah kereta demo kerana setiap premis atau jenama perlukan lebih dari sekadar katalog dan kotak kaca ruang pameran. Kereta demo Prokick dari Penang ni adalah satu dari beberapa contoh yang pernah kami siarkan. Kereta ni pernah menikmati hari indahnya satu ketika dahulu dengan konsep yang unik. Ada akuarium di pintu belakang, silinder dengan gas berisi air di kokpit tengah dan penggunaan lampu LED yang mendahului zamannya.
Walaupun kini sudah tidak dianggap perintis, kereta ini masih sebuah demo car yang mengagumkan. Sistem yang bermula dengan pemain utama JVC KW-AVX736 ini mendapat kombinasi peralatan yang banyak. Dari pemain ini, ia diselaraskan oleh seunit Line Driver yang merupakan sebuah pelaras frekuensi dengan kemampuan voltage tinggi.

Monopoli bahagian belakangnya terdiri daripada empat unit woofer 12” Prokick PK1212 yang dipasangkan dalam kotak khas yang diperbuat daripada papan lapis 10mm. Woofer ini mendapat kuasa daripada seunit (Ya, cuma seunit) amplifier Prokick PK6000DL.
Di sampingnya ialah 6 unit mid bass 6” Prokick PRO-65PA yang diperkuatkan dengan amplifier 4 channel Prokick PK504R. Kesemua pelarasan frekuensi mid bass ini dibuat menerusi seunit pre-amp luaran Prokick AQ100-MS. Barisan mid bass yang banyak ini mampu menghasilkan dentuman bass yang memang berkuasa. Digabungkan pula dengan bass yang datang dari empat unit woofer tadi, memang bergegar bumi, tersampuk hingga ke tulang-temulang gegarannya.

Enam unit tweeter menjadi pelengkap di bahagian kabin tadi. Tweeter jenis horn ini disusun dengan empat di bahagian atas menghadap luar dan dua unit lagi di bahagian sisi menghala satu sama lain. Kuasa yang diperolehi ialah dari amplifier 4 channel Prokick PK504R sementara penalanya datang dari seunit pre-amp MKQ-7C.
Mid bass tambahan di dalam kabin kereta dipasang pada lokasi strategik. Setiap panel pintu mendapat 2 unit mid bass yang dilekapkan dalam perumah gentian kaca. Bukan sahaja unit yang menjadi ukuran tetapi penalaan yang tepat juga sangat kritikal memandangkan jumlah speaker yang digunakan agak banyak. Pre-amp EQS-9 dipertanggungjawapkan untuk tujuan itu manakala aspek kuasa diselesaikan sekali lagi oleh amplifier 4 channel Prokick PK504R.

Kereta ini bukan sahaja memiliki speaker yang banyak malah pengubahsuaian keseluruhan menjadikannya sempurna sebagai kereta demo untuk perhatian pelanggan. Tidak ada sebuah kereta pun yang pernah saya temui menggunakan limpahan lampu LED sebegini banyak. Ia disesuaikan dengan pelbagai warna dan lokasi dan bila dinyalakan kelihatan begitu meriah sekali.
Penggunaan bodykit buatan custom, pemasangan spoiler dan kehadiran sport rim 15” berbentuk kipas itu menjadi pelengkap pada tema modifikasi kereta ini. Secara keseluruhan, kereta ini berdiri di kalangan antara yang terbaik pernah disiarkan. Ia memakan masa berbulan lamanya untuk disiapkan. Banyak wang dan kemahiran diperlukan untuk mendapat kemasan begini dan tentulah bila ia siap, anda akan tersenyum puas.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 39



































