Saya akan berterus terang. Saya lebih suka keadaan bersih dan ringkas kereta Civic ini berbanding sebuah Kelisa dengan lampu lip lap, bulu-bulu, spoiler gantung dan ekzos keluar api. Saya tak teragak-agak memilih kereta ini kerana DNA nya yang menunjukkan sebuah kereta Jepun tulen yang tidak dilihat pada pasca produk moden hari ini. Pertama kali dalam 3 tahun ini saya dibenarkan menulis kereta yang seiring dengan minat saya. Dalam dunia ini kita tak akan dapat semua yang kita nak, tapi saya dapatnya sekarang.
Kereta ini boleh dikatakan menjadi muka wajib dalam majalah-majalah tempatan. Penghias litar lumba, sasaran buruan peminat JDM dan juga trend-trend baru seperti Hellaflush dan USDM. Realiti dari jenis kereta kegilaan masyarakat Asia-Amerika USA ini menular ke seluruh dunia. Namun resminya masih serupa. Pemiliknya jauh berbeza dari mereka yang mempelopor dalam bidang berkaitan Autoshow.
Kami berjaya menemui kereta demo oleh syarikat ETON, berpengkalan di Artistic Auto Sound yang terletak di sebuah pusat komersial di Pudu. Mulanya, saya sangka kereta ini hanyalah tipikal JDM, namun sebaik membuka ruang but belakangnya tersergam indah kemasan komponen audio yang dipasangkan. Tapi, ia masih lagi mengekalkan ciri keaslian sebuah Civic EK9.
Panel pemuka tengah kereta ini terlebih dahulu digantikan dengan konsol spesifikasi facelift yang mana membenarkan pemain bersaiz 2-din dipasangkan. Pihak Artistic Auto Sound memasangkan pemain DVD berskrin Alpine model IVA-W520E sebagai penggerak utamanya. Sebagai modul untuk pembinaan SQ dalaman, pemotongan frekuensi, jajaran masa, pembentangan gelombang bunyi menjadi sandaran utama lantas pemproses Alpine PXA-H800 (atau biasanya memang disebut H800 sahaja) dipasangkan.
Pemproses jangkauan tinggi ini membahagikan laluan frekuensi kepada sub, low/mid dan tinggi. Jajaran mid dan tinggi disambungkan pada seunit amplifier 4 channel Eton MA-100.4 yang merupakan gandingan utama dalam memastikan keluaran bunyi vokal dapat beraksi cemerlang. Unit pembesar suara Focal dari set Utopia BE –Kit 6 dipadankan di bahagian hadapan. Set komponen ini terdiri daripada 2 unit mid bass 6” yang dipasangkan pada panel pintu dan seunit tweeter yang diubahsuai dengan panel di bahagian pillar A hadapan.
Posisi pemasangan tweeter ini dianjakkan 10cm lebih jauh dari posisi yang lazimnya dibuat. Menurut Artistic Auto Sound, penyesuaian telah dibuat beberapa kali bagi mencari posisi yang sesuai kerana ia bergantung sepenuhnya pada kombinasi yang dipilih. Setelah mencuba dengan beberapa setting, akhirnya lokasi yang terakhir dipilih untuk menempatkan tweeter tersebut supaya dapat mengekstrak bunyi paling optimum dengan kedudukan pemandu dan penumpang hadapan.
Cerita yang berbeza di bahagian but di mana ia jauh lebih menarik dari kehadiran sepasang kerusi merah Recaro SR3 dalam kabin. Warna biru dipilih sebagai dasar pantulan cahaya yang menempatkan lapisan arkilik yang menutup kebanyakan peralatan. Dua unit kapasitor 2.0 farad digantung pada kedua-dua sisi yang memberi ilusi terapung, sambil menonjolkan gugusan kabel berprestasi tinggi dan kotak fius. Di bahagian lantai ialah seunit woofer JL Audio 12” JLW6 yang mendapat bekalan kuasa daripada amplifier monoblock Eton MA-750.1. Difahamkan, ini adalah amplifier flagship buatan Eton untuk kelas D monoblok.
Kombinasi audio seringkas ini berjaya mengalihkan perhatian ramai orang (termasuk saya) bahawa bermain dengan muzik sebenarnya boleh jadi lebih seronok jika diasaskan dari sebuah kereta berprestasi tinggi. Dari kilang, kereta ini ada 200 kuasa kuda, beratnya cuma 1 tan dan bila digabungkan dengan set audio menerusi penalaan yang bagus, bunyi deruman VTEC boleh diselang selikan dengan muzik yang enak. Setakat ini, inilah pilihan paling best!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 43


























