Tidak seperti kebanyakan penggila audio kereta lain, pemilik Kancil ini iaitu Selvum Subramaniam telah memilih talaan SQ pada keretanya. Sistem talaan SQ ini amat sesuai dengan penggemar muzik berjiwa halus kerana dengan SQ, bunyi yang dihasilkan mampu mewujudkan suasana tenang. Kehebatan bunyinya pula tidak diukur melalui bilangan woofer mahupun speaker yang digunakan mahupun sekuat mana dentuman bass. Sebaliknya, kemampuan menghasilkan bunyi setiap instrumen secara terperinci yang mirip dan hampir menyamai kehalusan dan kemerduan sesuatu bunyi secara realitinya.
Kebanyakan penggemar SQ lebih mengutamakan modifikasi dan menambahtarafkan sistem audio. Modifikasi lain jatuh ke tempat kedua atau mungkin perkara paling terakhir yang bermain dalam fikiran mahupun dari segi persediaan bajet. Keghairahan memodifikasi kereta sama ada prestasi, exterior mahupun interior bukanlah perkara utama kerana keutamaan diberikan secara mutlak kepada keselesaan yang diperoleh dari sistem audio sekaligus memberi erti sebenar menikmati keindahan lagu-lagu yang dimainkan. Itu jugalah kelebihan yang ada pada setiap SQ, dapat mengekalkan keaslian pada struktur kereta.
Namun begitu, tidak pula bermakna kereta Kancil ini langsung tidak menerima sebarang proses modifikasi. Bezanya dengan kenderaan lain, modifikasi yang dilakukan adalah amat minor dan ringkas. Ringkas tetapi tetap menarik dan dalam masa yang sama memberi keselesaan. Itu yang penting, bukan? Lihat saja interior yang dilakukan, tak ubah seperti gaya VIP yang klasik dan eksklusif. Sebaik duduk di dalam, tiada siapa yang merasakan sedang berada dalam kereta Kancil. Ternyata Selvam memang bijak memilih tema untuk kereta Kancilnya ini. Tampak kemas dengan salutan putih, Selvum tampil berani dengan hiasan ala-ala VIP.
Ruang hadapan Kancil yang kecil menjadi lebih luas. Tahniah atas pemilihan warna putih, sekaligus menyelamatkan keadaan. Tambah menarik apabila pandangan singgah di bahagian depan kereta. Dua unit yang memenuhi bahagian tengah yang telah disusun rapi dan kemas. Pemain CD yang bertindak sebagai HU jenama Alpine CSE-9874E telah diletak bertingkat bersama pemain DVD tambahan dari jenama For You. Sudah pasti kedua-dua pemain ini memberikan peluang kepada Selvam untuk membuat pilihan mengikut keadaan. Terpulang sama ada untuk menikmati muzik ataupun menonton secara visual.
Apabila diperhatikan secara teliti pada isi dalam kereta Kancil ini, Selvum seakan meletakkan satu garis panduan dalam memilih jenama bagi mengisi keperluan sistem audio miliknya. Satu jenama yang menjadi pilihan tegar beliau adalah Rockford Fosgate. Seperti biasa, jenama ini memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Malah kualitinya bukanlah sesuatu yang perlu diperdebatkan.
Berbalik kepada sistem audio pada Kancil ini, Selvum telah menggunakan 2 unit amplifier 2 channel Rockford Fosgate bagi menerima isyarat yang disalurkan dari pemain utama. Kebiasaannya isyarat yang disalurkan bermasalah sekiranya amplifier yang digunakan tidak mampu menerima mahupun memperkuatkan lagi isyarat tersebut. Apabila masalah berlaku di medan amplifier, maka secara tidak langsung ia mengganggu pula kualiti bunyi yang bakal dihasilkan oleh woofer dan speaker. Bagi mengelakkan keadaan serupa berlaku, adalah penting untuk memilih amplifier yang berkualiti dan bukan sekadar melihat kepada kuasa watt semata-mata.
Seunit amplifier 2 channel yang digunakan dalam sistem audio kereta Kancil ini khas untuk memacu 3 biji mid bass 6” Rockford Fosgate dan satu unit lagi khas untuk memacu sebiji woofer 12” Rockford Fosgate. Penggunaan amplifier 2 channel bagi memacu woofer ini dilihat lebih efektif berbanding monoblock kerana ianya lebih menumpukan suara vokal dengan lebih jelas dan terperinci. Hal ini amat bersesuaian dengan sistem talaan SQ yang sememangnya lebih mengutamakan penjelasan suara dari dentuman bass semata-mata. Dan untuk menambahkan lagi kemeriahan dalam keretanya, Selvum telah memasang monitor 8” TFT.
Dengan muatan sistem audio SQ yang gempak ini, Selvum berjaya menjuarai pertandingan yang disertainya. Mungkin di satu hari nanti, kereta Kancil yang comel ini bakal memenangi kejuaraan besar seperti MACE pula. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu, betul tak?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 6