Percaya atau tidak, setiap kereta punyai keistimewaannya tersendiri. Itu pun harus dilihat pada, bagaimana pemilik itu menjaga kereta. Kalau pemiliknya jenis tag ‘M’, jawabnya macam reban ayamlah keretanya. Tak tahu apa itu tag ‘M’? Malas! Jangan tak tahu, ramai di luar sana yang pakai tag M. Tapi yang pasti para pembaca majalah Kar HiFi tidak tergolong dalam pemilik kereta jenis ini. Semuanya sayang dan kasih pada kereta masing-masing, betul tak?
Begitu jugalah ceritanya dengan Tior Joo Wai, salah seorang pecinta kereta dan semestinya pemuja I.C.E. Kereta Kenari miliknya dianggap bertuah kerana dapat pemilik seperti beliau. Apa tidaknya? Penjagaan rapi, dalam dan luar. Samada dari sudut prestasi mahupun I.C.E. Semuanya tip-top! Cuba serahkan Kenari ini kepada saya selama seminggu. Silap haribulan, Kenari ini ditransformasi kepada kereta ala-ala zaman Tok Kadok. Seram.
Sepertimana yang disebut awal tadi, setiap kereta mempunyai keistimewaan masing-masing, Tidak ketinggalan juga dengan kereta Kenari ini. Mungkin secara luarannya, orang dapat mengagak bahawa kelebihan kereta ini adalah untuk segmen autoshow semata. Salah! Baik betulkan balik tanggapan itu, kerana sebaik saja anda melihat bonet Kenari ini anda pasti geleng kepala. Bass stealer!
Biar macam resmi padi, semakin menunduk semakin berisi. Kenari ini padat dengan woofer dan juga jentera I.C.E lainnya. Luar nampak biasa, dalam cukup luarbiasa. Saat bunyi dialunkan, gempa bumi boleh dibuatnya. Paduan segala speaker bergabung, cukup membuatkan bunyi kereta-kereta lain menikus. Itulah yang dinamakan bass stealer. Pencuri bunyi tanpa mencuri! Yang dicuri hanyalah dentuman bunyi, menenggelamkan bass yang lain.
Enam biji subwoofer! Kalau seunit subwoofer mampu menghasilkan kuasa bunyi maksima pada 1000watts, bayangkan macam mana pula paduan enam biji subwoofer? Itu pun dari jenama Stellar! Diiring pula dengan jentera I.C.E yang lain. Aduh, gempak! Tentu tiada siapa yang mahu digandingkan atau duduk sebelah-menyebelah dengan Kenari ini.

Tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan. Pengorbanan itu juga boleh datangnya dari pelbagai rupa, antaranya duit. Melihatkan I.C.E milik Tior ini, sudah tentu anda pun dapat mengagak jumlah duit yang dibelanjakan bukan dalam seribu dua. Kos pembikinan modifikasi pada keretanya ini telah pun menelan sebanyak RM30,000.00. Pastinya modifikasi yang dapat dilihat hari ini bukan yang terakhir. Masih banyak lagi yang bakal dilakukannya.

Jikalau Tior sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang besar, sudah tentu tiada masalah baginya untuk menukar pemain utama yang sedang digunakannya pada ketika ini. Sebuah pemain Dvd telah dijadikan sebagai pemancar isyarat yang utama. Agak lemah di situ kerana tidak dapat dipastikan sama ada ianya mempunyai ciri-ciri sebuah head unit yang bagus.
Bagi memberi keseimbangan dan mempertingkatkan kualiti isyarat yang dihantar, elektronik crossover telah digunakan. Tior memilih jenama Stellar SD-3.3X bagi menjalankan misi memotong segala frekuensi yang berlebihan agar jumlah yang diperlukan tepat sebelum dipancarkan pula kepada barisan amplifier-amplifier. Menerusi amplifier ini pula, isyarat yang diterima akan diperbesarkan.
4 unit amplifier telah digunakan dan kesemuanya dari jenama Stellar. 2 unit amplifier 4 channel Stellar SD-3502E digunakan bagi memacu horn tweeter dan mid bass 6”. Sebuah unit bertugas untuk memacu 6 unit mid bass 6” SD-6WF2, manakala sebuah lagi digunakan untuk memacu baki 4 buah unit horn tweeter yang juga dari jenama sama, iaitu Stellar. Bagi memacu 2 unit woofer 12” Stellar SD-128NP, 2 unit amplifier monoblock SD-2500DKR digunakan.
Perumah custom made yang direka khas turut memberikan kelebihan kepada kereta Kenari ini. Diperbuat daripada kayu, menjadikan suara yang dihasilkan lebih padu. Dentuman yang dihasilkan adalah penuh dan bukannya kosong. Disebabkan inilah, Kenari ini mampu menjadi bass stealer unggul. Jadi, adakah anda bersedia untuk beradu nasib dengan bass stealer ini, ataupun anda sendiri sudah mempunyai idea untuk mencuri bunyi bass darinya?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 13



















