Kalau diperhatikan, sistem audio yang dibina di Sabah pasti membawa konsep yang menarik sebagai tema kereta yang menjadi demo. Bukan setakat untuk kereta demo, malah ia turut terpalit kepada pencinta audio kereta di sana. Pernah dulu kereta dibina dengan menggunakan tema M7, MTV dan yang terbaru (keluaran edisi lalu) Friday Night Fever, kini menyusul pula satu lagi konsep yang tidak kurang menariknya, Yakuza.
Bila Yakuza menjadi sebutan, pasti sudah tergambar dengan jelas secara visual tentang hero komik Jepun di minda pembaca. Dan kepada anda yang mungkin tidak begitu mengenali Yakuza, ia sebenarnya merupakan satu organisasi jenayah transnasional di Jepun. Pengaruhnya bukan sahaja termaktub di negara matahari terbit itu malah menular ke serata dunia khususnya di Asia.
Jadi, apa pula kena mengena dengan konsep ini dengan kereta audio yang mengisi ruangan Show Off kali ini? Kalau Yakuza dikenali kerana sindiket jenayah terkenal itu, berlainan pula dengan kereta Kancil yang datang dari Sabah ini. Namun ada satu persamaan yang sukar dinafikan, kedua-duanya menjadi perhatian ramai. Ya, kereta kancil dengan kelengkapan dari jenama JW Audio berserta talaan SPL ini memang menjadi tumpuan, bukan sahaja kerana penampilan tetapi juga kualiti audio yang dikeluarkannya.
Dimulakan dengan pemain utama dari Pioneer (mungkin menjadi pilihan wajib untuk sesetengah pencinta audio), model DEH-1050E ini memulakan dengan pembacaan data dari sumber audio. Seterusnya, dihantar serta dibahagikan kepada 3 unit amplifier yang memikul tanggungjawab masing-masing untuk memacu barisan speaker. Sama ada barisan woofer dan juga speaker komponen.
Laluan pertama adalah sistem audio yang dipasangkan di bahagian kokpit depan, diwakili 2 unit speaker komponen dari JW Audio. Laluan ini dipacu oleh seunit amplifier 2 channel JW Audio (harap jangan keliru dengan satu lagi jenama yang hampir serupa, JL Audio) yang berkongsi kuasa pula dengan 2 unit bullet tweeter JW Audio yang dipasangkan di perumah khas di bahagian bonet belakang. Beranjak sedikit di bahagian tempat duduk belakang, 2 unit speaker komponen berserta 2 unit tweeter digunakan untuk audio keseluruhan bahagian dalam kereta.
Kemudiannya, diikuti pula oleh stesen terakhir yang paling mantap, bahagian bonet. Seunit amplifier 4 channel JW Audio digunakan untuk memacu 4 unit speaker komponen JW Audio yang dipasang kemas di sisi bonet. Bagi melengkapi sistem audio SPL ini, dua unit woofer 12” JW Audio dipasangkan dan dipacu pula oleh seunit amplifier monoblock juga dari JW Audio. Selain aksesori audio untuk membina sistem audio SPL ini, installer juga telah memasang beberapa aksesori untuk kepuasan hiburan visual. Beberapa unit monitor telah dipasangkan di bahagian bonet juga di bahagian dalam kereta.
Keseluruhannya, adakah ia menepati tema Yakuza? Dengan pelekat Yakuza serta pemilihan warna merah, sedikit sebanyak menaikkan semangat keperwiraan pada Kancil ini dan apabila ianya bersatu dengan paduan bunyi sistem SPL, ah, mengancam!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 51























