Mungkin kegilaan terhadap audio kereta satu perkara sia-sia dan buang masa serta duit. Tambah pula dalam keadaan sekarang, di mana negara sedang cuba bangkit untuk memulihkan keadaan ekonomi secara seluruhnya. Inilah tanggapan tipikal golongan yang tidak memahami atau mungkin tidak ingin tahu tentang rasa kecintaan. Eh, tak tahukah kalau dah cinta, papa kedana sekalipun tidak dihiraukan lagi?

Sebagaimana pengumpul botol Coca Cola atau patung-patung ‘superhero’ yang sanggup berbelanja sejumlah harga semata-mata untuk memuaskan hati serta melengkapkan koleksi. Begitu juga pencinta audio. Kalau hobi penyimpan botol dan patung boleh difahami, kenapa bukan pencinta audio? Lagipun setiap kali pencinta audio mengeluarkan duit untuk pembelian produk, bukankah ia menjana ekonomi?

Memang tidak dinafikan, ada pencinta audio sanggup berbelanja hampir beratus ribu, satu nilai yang tidak masuk akal semata-mata untuk memenuhi selera masing-masing. Mereka bukan sahaja tidak kisah mengeluarkan duit malah sanggup berkelana untuk mencari bunyi yang secocok dengan jiwa. Yang penting kesanggupan untuk mengorbankan duit dan juga keadaan asal kereta selain bereksperimentasi menggabungkan aksesori audio dari pelbagai jenama. Pemburuan yang tiada penghujung.

Honda City ini adalah contoh eksperimentasi yang berjaya tampil dengan bunyi dinamik. Ditemui di Shah Alam baru-baru ini, temujanji diadakan agak lewat sedikit sebanyak memberikan cabaran dari sudut pencahayaan. Apa-apapun jurukamera tetap berjaya mengatasinya. Nah, cantik bukan City ini. Tidak perlu berteka teki kerana seperti lazimnya, kereta yang kelihatan sangat biasa ini pasti memikul sistem audio talaan SQ. Ha, betullah tu!

Bagi mendapatkan hasil bunyi yang sangat halus dan enak di telinga, pemilik City ini berbelanja sakan untuk mengabadikan sistem SQ terbaik. Lihat sahaja dari jenama dan aksesori yang digunakan. Baik dari pemain utama hinggalah tweeter, semuanya dari jenama tip top. Tip top dari segi duit. Menggunakan pemain utama dari Alpine INE-Z928E dengan ciri-ciri navigasi serta memainkan pelbagai format media, ianya dicemerlangkan pula pemproses audio Alpine PXA-H800. Pemproses ini diumpamakan sebagai pelengkap. Penggunaannya memastikan isyarat dibaca tadi diproses supaya menjadi lebih jelas.

Setelah diproses PXA-H800, isyarat dihantar dan dibahagi pula kepada laluan yang diwakili 3 unit amplifier berbeza kapasiti tetapi kesemuanya dari jenama sama; Mosconi. Jenama buatan Itali ini sangat unggul dalam menghasilkan amplifier bermutu dan harganya bukanlah calang-calang. Ketiga-tiga unit yang digunapakai adalah amplifier 2 channel A Class, AS300.2 dan seunit amplifier 4 channel AS200.4. Ketaksuban terhadap kesempurnaan pada bunyi dapat dilihat menerusi penggunaan amplifier ini yang mana hampir setiap satunya digunakan untuk menguasakan speaker yang berlainan.

Bukan setakat barisan amplifier dipilih dari kelas premium, barisan speaker yang mengalunkan suara untuk sistem audio ini juga datang dari satu lagi jenama yang tidak kurang hebatnya, Micro Precision hasil penemuan Thomas Hoffmann anak jati Jerman. Ia bukan satu jenama yang mudah ditemui kerana mutunya bukanlah murah. Penghasilannya sangat rumit. Dihasilkan dari bahan-bahan fosil terdiri daripada kulit-kulit kerang yang dipasang menerusi kerja tangan. Jadi, tidak hairanlah ianya tergolong dalam jenama eksklusif.

Bagi mendapatkan kualiti bunyi yang ideal, sistem audio City ini dipadankan dengan sistem SQ talaan 3 hala. 3 jenis speaker digunakan dan staging yang tepat agar bunyi yang sampai ke telinga adalah sempurna. 2 unit mid bass 6” Micro Precision 7.16 MKII dikuasakan amplifier 4 channel AS200.4 dipasangkan pada kedua-dua belah panel pintu. Manakala speaker widerange Micro Precision 5.8 yang juga dikuasakan amplifer 4 channel tadi, dipasangkan bersama tweeter Micro Precision 7.28 MKII di pillar A. Berbeza dengan mid bass dan widerange, 2 unit tweeter ini dipacukan pula amplifier 2 channel A Class.

Kurang sempurna jika sistem 3 hala ini tidak diseimbangi bunyi bass dari woofer. Oleh itu, seunit woofer 12” Audio System HX12 Phase dipacukan amplifier 2 channel AS300.2 telah ditanam di bahagian bonet belakang menggantikan tempat asal tayar simpanan. Keadaan bonet belakang juga sangat kemas dan tersusun dan masih mempunyai baki ruang yang agak besar.
Terbayang-bayang memandu kereta ini di lebuhraya Pahang. Ah, pasti indah ditemankan bunyi alam dan dayang-dayang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 45



























