
Demi memuaskan kehendak hatinya, Awaluddin Mansyur berusaha keras dalam memelihara Honda kesayangannya. Bertugas di Honda Precision Parts Manufacturing, beliau sudah sangat akrab dengan bermacam-macam ragam enjin Honda dan ia juga menjadi salah satu faktor yang mendorong beliau menghargai dan menjaga sebaik-baiknya kereta Honda miliknya.
Awalnya, keadaan Honda ini tidak berapa baik dan beliau terpaksa melakukan beberapa pembaikan khususnya pada bahagian mesin dan badannya. Kemudian, kereta hatchback tahun 1992 ini dirapikan dari sudut interior dan sistem audio. Menurutnya, kerja-kerja memodifikasi sistem audio sahaja sudah lebih mahal berbanding harga kereta yang dibelinya.
Sebelum itu, 3 keretanya yang terdahulu turut menjalani modifikasi di installer sama pilihannya. Walaupun agak mahal tetapi beliau berpuas hati. Pada interior di bahagian kabin, keseluruhan bahagian itu telah diganti dan disalut dengan kulit MB Tech. Beliau memilih warna berani, kombinasi hitam dan merah yang tampil agresif dan garang.
Bagi menyempurnakan sistem audio, gabungan 2 jenama telah digunakan iaitu Alpine dan Flux. Beliau sangat yakin dan percaya kualiti yang dibawakan kedua-dua jenama ini. Menurut beliau lagi, Alpine dan Flux menghadirkan rasa muzik jazz yang sebenar, sesuai dengan lagu-lagu kegemarannya. Tidak lupa juga, beliau menggunakan tiga unit amplifier bagi memacu kuasa secukupnya untuk kesemua speaker yang digunakan.
Sambil memainkan lagu dari Wayman Tisdale, Awal mengatakan bunyi gitarnya jelas kedengaran. Kedengaran begitu transparent dan live! Begitulah katanya!




















