Bagi sesetengah kaki-kaki I.C.E, soal untuk modifikasi hal lain tidak penting. Dari enjin, prestasi mahupun exterior dan interior. Semua itu bukanlah kepentingan utama. Apa yang penting, kepuasan menikmati I.C.E ke tahap yang paling maksima. Disebabkan itu, ada antara kereta I.C.E kurang diberi perhatian dari sudut lain menyebabkan kenderaan tersebut kelihatan tidak seimbang. Tak guna juga kalau I.C.E power tapi kereta tak boleh gerak! Jawabnya nanti, terpaksalah blaster seorang diri. Tak gempaklah blaster seorang diri, betul tak?
Namun begitu, bukan semua punyai citarasa yang sama. Ada juga yang tidak akan berpuas hati kalau I.C.E sahaja yang menonjol. Malah golongan ini punyai daya kreativiti yang jauh lebih tinggi. Modifikasi yang dilakukan pula bukan sekadar suka-suka tetapi membawa tema tertentu. Secara tidak langsung membuatkan sesiapa saja yang memandang akan mengingati kehebatan audio yang dipikul oleh kereta tersebut. “Kereta Ghost Rider tu memang gempak habislah bunyinya!”
Ya. Ia bukan setakat berjaya menarik perhatian orang ramai, malah mampu membuatkan orang terus bercerita tentang kehebatan kereta tersebut. Pastinya keadaan yang sama berlaku ke atas kereta milik Murali. Pemilik Wira yang dikenali dengan Ghost Rider. Ke mana sahaja Ghost Rider ini pergi, orang ramai sudah mengecam pemilik dan juga dentuman yang dihasilkan.
Ghost Rider menyaluti tubuh Wira maroon ini memberikan impak yang cukup mengujakan. Amat bersesuaian menjadi penyeri ruangan show off Kar HiFi. Murali pula kelihatan tenang dan tidak lokek berkongsi kehebatan modifikasi yang dilakukan ke atas kereta Ghost Rider bersama para pengikut Kar HiFi.

Kalau dilihat dari sudut luar, siapa sangka isi dalamnya bukanlah seganas tema di luar? Di luar, tubuh Wira ini dimandikan dengan tema Ghost Rider. Ruang dalamnya pula dihiasi dengan gaya V.I.P. Lebih menarik lagi pada bahagian belakang, perumah jentera I.C.E yang dibina melalui costum made. Cantik dan kemas sekali. Nak jumpa habuk pun susah. Bersih. Baki ruang yang tertinggal juga masih luas dan boleh menempatkan barang-barang. Bijak. Memang satu gabungan yang unik dan bijak.
Namun itu semua tidak menjamin I.C.E yang dibawa sehebat watak filem Ghost Rider yang dipilih sebagai tema kereta Wira ini. Bagi mengesahkan tahap kehebatan yang dimiliki Murali, sepertimana biasa marilah bersama-sama majalah Kar HiFi membedah siasat segala isi yang terkandung dalam kereta Wira ini.
Tumpuan paling utama haruslah jatuh kepada pemain utama yang dipilih sebagai nadi kepada sistem I.C.E Ghost Rider ini. Murali telah memilih jenama Sony. Di sini dapat dilihat dengan jelas bahawa pilihan beliau yang melanggari normaliti kerana kebiasaannya kaki-kaki I.C.E lebih cenderung menggunakan Pioneer. Harus diingatkan produk dibawah naungan jenama Sony juga tidak kurang hebatnya berbanding Pioneer. Semuanya terserah kepada pilihan masing-masing.
Isyarat yang dihasilkan oleh pemain utama Sony tadi kemudiannya akan diproses pula oleh elektronik crossover Z-X1 jenama Zeuz yang bertugas untuk memotong frekuensi. Seterusnya, Murali menggunakan 2 biji woofer berdiameter 10” dari Black General bagi menghasilkan bunyi bass seperti yang diinginkannya. Seperti yang dikatakan oleh ramai penggemar I.C.E, bass yang dihasilkan oleh woofer Black General adalah yang terbaik untuk sistem SPL.
2 biji woofer tersebut telah disemadikan di dalam perumah custom made gaya V.I.P berwarna krim di bahagian belakang kereta. Kedua-dua woofer ini turut ditemani oleh jentera I.C.E yang lain termasuklah 4 biji mid bass 6” Black General dan 2 biji horn tweeter.
Sebagai sumber bekalan tenaga, Murali telah menggunakan dua buah unit amplifier 2 channel Different Audio untuk dua biji woofer tadi. Setiap satu unit amplifier ini bertanggungjawab memacu sebiji woofer. Manakala sebuah unit amplifier 2 channel Rock Power Audio U.S.A model Shark B747 digunakan untuk memberikan tenaga kepada kesemua mid bass dan 4 biji tweeter. Pasti anda keliru kerana hanya dapat melihat 2 biji tweeter di bahagian belakang. Ini kerana, dua biji lagi tweeter jenis dome tweeter telah dipasang di bahagian dalam kereta bagi memastikan keseimbangan bunyi yang dihasilkan.
Secara keseluruhannya, padanan dan gabungan jentera I.C.E dan modifikasi lainnya telah memberi keseimbangan yang tepat pada Wira Ghost Rider ini. Secara kasarnya ianya kelihatan seperti tiada masalah kerana yang lebih tahu tentunya pemilik kereta ini sendiri. Mungkin di masa hadapan Murali perlu membuat beberapa lagi modifikasi bagi menaik tarafkan I.C.E nya supaya mendapat bunyi yang lebih mantap.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 8






















