Pernah dengar adik-beradik Wright? Mustahil tak pernah. Nama adik-beradik Wright (Wright Brothers) tercatat dalam sejarah sebagai pencipta kapal terbang pertama yang berjaya di dunia. Di Malaysia sendiri, gabungan adik-beradik yang dulunya dikenali sebagai kumpulan pemuzik, KRU. Kini tampil dengan empayar yang dibina dalam industri hiburan tanah air. Apa yang membuatkan gabungan ini berada satu tahap lebih tinggi? Minat, kerjasama, kesefahaman, toleransi dan yang paling penting, kasih sayang.
Air dicincang tidak akan putus, melainkan pihak SYABAS yang putuskan bekalan air. Jangan marah, itu sekadar candaan sampingan. Maklumlah orang Malaysia kalau tak diselitkan sedikit humor mahu pecah kepala otak dibuatnya. Tambahan pula nak membaca teks yang panjang lebar sebegini. Perlu ada sedikit regangan. Tak adalah bosan membacanya. Betul tak?


Saya cukup teruja untuk menyelesaikan tugasan tentang dua kereta yang mendarat di halaman ini dengan cantik sekali. Selain kehebatan sistem ICE Waja dan Myvi ini, gabungan dua beradik Naresh dan Suresh turut berjaya menambat perhatian meja editor. Berkongsi minat yang sama dan sentiasa menyokong minat masing-masing. Anda cemburu? Memang patut pun. Bukan semua orang bertuah mempunyai hubungan adik beradik serapat ini.
Cuba teka siapa abang dan yang mana satu adik? Tak ada hadiah pun kalau dapat jawab. Naresh si abang dan si adik pula, tentulah Suresh. Kedua-dua mereka tak ubah seperti pasangan kembar tak seiras. Kembar? Perangai mereka hampir serupa, cuma bezanya dari sudut fizikal. Kedua-duanya ramah dan tidak lokek berkongsi pengalaman. Bagi seorang wartawan seperti saya, sikap beginilah yang amat disukai. Tak berat mulut. Banyaklah perkara yang mahu ditanya. Untunglah, mereka pun sudi melayan segala persoalan.

Bila ditanya pada abang, sistem ICE siapa paling bagus? Satu saja jawabnya. Soalan sama diajukan kepada Suresh, dan seperti yang dijangka, jawapan yang serupa diberikan.
“Dua-dua sama bagus. Sistem dia bagus, sistem saya pun bagus sebab dua-dua dari installer yang sama,” lebih kurang begitulah ayat diluahkan dua beradik ini. Aduh, memang terserlah keakraban mereka. Mungkin jarak perbezaan umur antara mereka hanya setahun membuatkan kedua-duanya terlalu akrab. Malah, nama kedua-duanya mustahil dipisahkan dalam dunia ICE terutamanya di kalangan pecinta ICE di Melaka.

Siapa tidak kenal Naresh dan Suresh di Melaka? Rata-ratanya gerun dan kagum dengan sistem ICE yang dipikul kereta Waja dan Myvi milik mereka. Namun begitu, untuk sampai ke tahap ini pelbagai pengalaman terpaksa ditempuhi setiap kaki ICE termasuklah Naresh. Pernah di satu ketika, setelah selesai membuat pemasangan ICE, Naresh ke Taming Sari iaitu tempat riadah kegemaran kaki-kaki ICE Melaka di hujung minggu. Sayangnya, sistem ICE yang dianggap mampu memberi tamparan, telah ‘menampar’ Naresh sendiri. Bunyi yang dikeluarkan tidak seperti diharapkan. Naresh terpaksa pulang kerana malu dan kecewa dengan sistem sebegitu.
Kekecewaan Naresh tidak lama apabila dia bertemu dengan kelab kereta yang kemudian disertainya, Waja Club. Sepertimana kelab-kelab lain, Waja Club turut mempunyai panel ICE dan beberapa panel untuk keperluan kereta yang lain. Di sinilah Naresh diperkenalkan dengan Duyong Flaming Auto & Audio Services yang dinaungi Cash Lim. Semenjak saat itu, Naresh tidak henti mendedikasikan kehebatan dan apa juga penghargaan diterima untuk sistem ICE Waja miliknya kepada Cash Lim.

“Cash Lim betulkan pewayaran sistem ICE yang sama (dipakaikan oleh installer terdahulu) dan menyuruh saya kembali ke Taming Sari. Sebaik saja lagu dipasang kaki-kaki ICE yang pernah suruh saya balik dulu, terus memuji. Maknanya, untuk dapatkan sistem ICE yang bagus bukan kerana jenama semata-mata tetapi juga memerlukan kepakaran installer seperti Cash Lim,” ujar Naresh bersungguh-sungguh.
“Cash Lim memang pakar dalam pemasangan ICE. Bukan itu saja, dia juga ajar cara untuk ‘tangkap’ bunyi,” jelas Suresh pula, menyokong abangnya Naresh.
Menurut Suresh lagi, sebelum diperkenalkan kepada Cash Lim oleh abangnya, dia telah menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk membina sebuah sistem ICE. Baginya, duit tidak menjadi masalah tetapi yang membuatkan dia terkilan, hasil yang diperolehi tidak sehebat mana. Duit yang dilaburkan dirasakan terbakar dengan sia-sia. Disebabkan itulah juga dia percaya, jenama bagus adalah bonus dan kepakaran adalah faktor paling penting dalam pemasangan sistem ICE. Ya, itu pendapat seorang kaki ICE yang pernah mengalami pengalaman buruk. Mungkin anda ada pengalaman dan pendapat yang berlainan?

Berbeza dengan abangnya, Suresh tidak menyertai acara-acara ICE secara aktif tetapi tidak pernah menolak sekiranya didorong kuat oleh Cash Lim. Bukan kerana dia memilih, tetapi pernah terkena dengan sebuah pertandingan yang diadili juri-juri yang tidak sepatutnya. Bukan dia tidak puas hati kecundang di medan tempur, cuma dia tidak setuju dengan kemenangan yang diberikan kepada sistem ICE yang kualitinya jauh lebih rendah dari apa yang dihasilkan sistem ICE Myvinya.
Sebagaimana yang dikatakan tadi, nama Naresh dan Suresh sudah sebati dengan kaki-kaki ICE Melaka. Malah, setiap kali ke medan tempur mahu pun bermain secara suka-suka, mereka seringkali menerima permintaan untuk memainkan lagu-lagu di sistem ICE milik masing-masing. Permintaan sebegitu membuatkan mereka bersemangat dan terus mahu menghiburkan medan tempur. Sayangnya, masalah tetap ada kerana kedua-duanya mengalami kesuntukan masa ekoran tugas yang telah dipertanggungjawabkan.

Rasanya sudah cukup latar belakang Naresh dan Suresh dikongsikan bersama, tiba pula masanya untuk sesi bedah sistem ICE yang ada dalam kedua-dua kereta Waja RDS dan Myvi Adams Digital ini. Dimulakan dengan kereta Waja RDS, beri laluan kepada kereta milik si abang. Diketuai oleh pemain utama dari Pioneer, Cash Lim telah memilih pemain DEH – 3850MPH bagi menggantikan stok standard yang didatangkan bersama Waja ini. Data yang dibaca di stesen ini diterjemahkan menjadi isyarat dan dihantar ke pre-amp 4 band Caliber.
Bermula di stesen pre-amp ini, dua laluan di bentuk. Laluan pertama dialirkan kepada seunit ampilfier 4 channel RDS 80.4. Amplifier 4 channel ini pula akan memperbesarkan isyarat yang dipancarkan pre-amp dan seterusnya diagihkan kepada jentera speaker yang terdiri daripada tweeter dan mid bass 6”. Sebanyak 6 unit speaker digunakan. 2 unit tweeter RDS dan 4 unit lagi mid bass 6” RDS RN-603. Disusun dengan kemas dan bijak, tanpa mencederakan pemandangan serta tanpa berlakunya kesesakan. Pendek kata, sedap mata memandang.

Mungkin secara kasarnya, sukar untuk menemukan 2 unit amplifier kerana ditempatkan di dalam satu bekas kaca yang asalnya tempat tayar ganti. Diletakkan dengan kemas dan menarik. Amplifier kedua pula merupakan seunit amplifier monoblok Ferris. Tugas amplifier ini pula adalah untuk memacu kesemua 4 unit woofer 12” RDS RA-112. 2 unit woofer telah dipasangkan secara terbalik untuk memberikan bunyi yang lebih dinamik. Disamping memberikan bunyi yang dinamik, ia dapat mencorakan satu susunan yang menarik.
Bukan setakat menarik tetapi tampil hebat. Buktinya, beberapa pertandingan sepanjang penglibatannya dalam ICE, membuatkan Naresh mengungguli beberapa pertandingan termasuklah Juara di Autoshow Jasin dan Naib Juara di Autoshow Melaka. Kereta Myvi kepunyaan Suresh juga tidak kurang hebatnya. Banyak kemenangan dicatatkan beliau. Satu impiannya sebelum memperlahankan aktivitinya kerana akan mengakhiri zaman bujang akhir tahun ini, beliau berharap akan menang sebagai juara.

Sepertimana sistem ICE kepunyaan Naresh diketuai pemain utama dari Pioneer, jenama yang sama turut mengepalai sistem ICE Myvi Adams Digital ini DEH – P7750MP. Suresh lebih selesa menggunakan 2 unit woofer. Sama seperti abangnya, Suresh menyerahkan seratus peratus kepercayaan kepada Cash Lim. Jadi, sudah tentu tidak jauh beza kualiti yang dihasilkan. Sama hebat, sama mantap.
Isyarat yang dihasilkan pemain utama Pioneer ini dialirkan kepada seunit pre-amp Adams Digital. Pre-amp ini kemudiannya membentuk dua laluan (seperti sistem ICE Naresh tadi). Laluan pertama khas dialirkan untuk jentera speaker yang kesemuanya berjumlah 6 unit. Jentera speaker ini terdiri dari 2 unit tweeter Adams Digital dan 4 unit mid bass 6” Adams Digital SPK-666P dan dipacukan oleh seunit amplifier 4 channel Adams Digital.

Manakala laluan kedua pula mempunyai beberapa stesen lain sebelum sampai ke jentera woofer yang terdiri dari 2 unit woofer 12” Adams Digital Energy Series EX-3000. Isyarat yang dialirkan pre-amp akan dihantar ke crossover 3 way dan disampaikan pula kepada Line Driver Adams Digital sebelum sampai ke 1 unit amplifier monoblock Adams Digital 2400.1D.
Set sistem ICE Adams Digital yang menguasai kereta Myvi ini merupakan set ketiga milik Suresh. Difahamkan, set ketiga inilah yang banyak memberikan kemenangan demi kemenangan kepada beliau. Hampir ke mana sahaja beliau pergi, pasti ada yang mahu memiliki sistem ICE sepertinya. Hal itu yang membuatkan beliau dan abangnya, Naresh sentiasa berbangga dengan hasil tangan Cash Lim.
Pernah juga diajukan soalan jenama mana paling bagus? Adams Digital atau RDS? Sebaik melihat keakraban Naresh dan Suresh, saya pilih kasih sayang. Boleh?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 25






































