Lama sebelum kebanjiran peralatan audio yang memonopoli pasaran hiburan kenderaan sekarang, kita telah hidup dalam dunia yang serba sederhana. Dari pemain kaset yang canggih dengan penukar cakera padat di dalam hud. 10 tahun berikutnya, media menjadi semakin kompak dan kompleks.
MP3 dijangka mendahului industri tetapi tidak juga bila MPEG, DIVX dan DVD jelas adalah aplikasi yang lebih praktikal. Dari kaset dan penukar cakera padat bertembung dengan praktikalnya DVD, CD dan sebuah USB pendrive yang boleh memuatkan beribu-ribu lagu dan video disimpan dan dimainkan.
Namun tradisi pemain cakera padat tidak pernah terpadam kerana mungkin medianya yang ringkas dan mudah diaplikasi dimana-mana. Sebelum wujudnya kereta Toyota Vios, saya masih ingat membeli sebuah pemain CD ‘cap ayam’ di kedai Brothers pada harga RM300. Pantang langgar lubang sikit terus CD ‘melompat’ sampai hilang suara beberapa kilometer. Itu kisah lebih 10 tahun dahulu.
Kini teknologi semakin canggih dan peralatan dihasilkan secara pukal. Akhirnya kos menjadi rendah dan dipindahkan kepada pengguna dan pada hari ini, bukan sahaja pemain utama tetapi juga speaker dan amplifier. Bila 3 peralatan asas ini dijual pada harga rendah, maka kereta seperti Toyota Vios ini muncul dengan banyaknya.
Pemain utamanya adalah model yang dikeluarkan khusus untuk mounting Vios. Ia adalah rekaan Convex yang semakin mendapat tempat dikalangan peminat audio tempatan berikutan kepelbagaian pilihan serta rekabentuk. Pemain ini muat elok dah kelihatan seperti seunit pemain OEM dalam kereta ini.
Menyambungkan pemain ini ialah dua unit pre-amp digital Kole Audio KSE80-EQ yang bertanggungjawab mengendalikan keseluruhan sistem. Setiap satunya mengawal satu saluran khusus. Cara tradisional ini memang memudahkan kerja-kerja pemotongan frekuensi, pemilihan gelombang serta pengawalan kuasa tanpa perlu bersusah payah mengiranya mengikut diagram yang lebih rumit.
Satu laluan pendawaian ini pergi kepada seunit amplifier monoblock Kole Audio QX3000D. Amplifier ini dipertanggungjawabkan menghentam tiga unit woofer 12” QB-12DD. Anda masih ingat juara MACE SPL Unser kuning yang pernah disiarkan tak lama dahulu? Set-upnya hampir serupa. Amplifier ini yang sering dibanggakan oleh pihak Kole Audio.
Kesatuan bunyi yang dibuat semuanya terletak di bahagian but belakang. Bersama dalam gandingan ini ialah empat unit mid bass Kole Audio QX60-BM yang diubahsuai pemasangannya pada penutup hud. Bersamanya ialah dua unit bullet tweeter yang juga ditempatkan dalam perumah buatan gentian kaca. Warna biru gelap dilayang pada keseluruhan dasar menjadikan ia sedikit ‘bertenaga’. Kesemua barisan speaker ini dikuasakan pula oleh amplifier 4 channel Kole Audio kse-4480.
Ruang but yang telah bersedia dengan 3 unit woofer QB-12DD tadi dikemaskan lagi dengan hiasan airbrush bentuk sains fiksyen dengan watak makhluk asing. Sekali lagi, tema diperkuatkan dengan warna biru dengan rantaian sabung-kilat yang mendasari keseluruhan arca. Dasar yang diperbuat daripada gentian kaca itu juga memudahkannya dibentuk serta memastikan kemasan keseluruhan dapat dihabiskan dengan sempurna.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 69