Sejak lebih tiga dekad yang lepas, Kicker bersama-sama RockfordFosgate serta beberapa jenama besar lain merupakan antara jenama yang berjaya menarik perhatian dan sekaligus melahirkan peminat I.C.E di Malaysia. Semenjak diperkenalkan sekitar awal tahun 90-an sehinggalah ke saat ini, nama Kicker tetap kukuh dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Jika lihat pada kronologi jenama Kicker, ianya telah diasaskan oleh Steve Irby. Bermula hanya sebagai hobi, beliau tekad untuk lebih serius dalam pembangunan sistem audio. Dan pada tahun 1980, terhasillah Kicker yang mana pada hari ini ia merupakan salah satu jenama audio yang terkenal. Bukan sahaja sistem audio kereta, malah ia juga turut dikenali dengan produk untuk sistem audio rumah dan marin.
Oleh kerana namanya bukan lagi sesuatu yang asing, Kicker juga turut dikenali sebagai jenama Hi-end atau dalam perkataan mudahnya, barang mahal! Harga satu-satu produk boleh mencecah puluhan ribu. Hah, jangan terkejut! Tetapi itulah hakikatnya. Semuanya kerana reputasi konsisten yang dipegang oleh Kicker sepanjang penghasilan produk dan setiap siri terbaru keluarannya.
Namun begitu, jenama ini tetap mengeluarkan siri produk mengikut kemampuan para peminatnya dan bukan setakat memberikan pilihan kepada golongan mewah semata-mata. Di akhir nanti apa yang lebih penting adalah kualiti produk tersebut dengan gabungan sentuhan dari tangan para installer membuat talaan. Tanpa gabungan ini apa pun tak jadi, ya bang! Hal ini dapat dilihat pada pemilik kereta Little Monster milik Lan KJ.
Pastinya Lan KJ bukanlah seorang yang baru dalam dunia I.C.E di Malaysia ini. Dengan kelebihan mempunyai bengkel sendiri, beliau berpeluang membuat modifikasi ke atas kereta Kenari biru atau pun lebih megah dengan nama Little Monster. Tatkala melihat kereta jenis kompak ini anda pasti setuju, ianya telah menjalani satu proses modifikasi yang ekstrem. Segala-galanya ekstrem. exterior, prestasi mahupun dan tentu sekali, dari sudut I.C.E.
Mungkin airbrush adalah ‘makanan’ pilihan jiwa Lan. Ini dapat dilihat dengan jelas hampir setiap ruang, dan permukaan keretanya disimbahi seni airbrush. Malah, Lan sendiri ada mengatakan beliau sudah enam kali melakukan airbrush terhadap Little Monster ini yang hampir menelan belanja sebanyak RM 80,000! Amboi, berhabis betul cik abang ni ya! Itu baru airbrush, yang lain-lain itu berapa pula kosnya ya?
I.C.E yang dipikul oleh Little Monster ini juga tidak kurang hebatnya. Lihat saja pada majoriti produk yang digunakan untuk menggerunkan pihak lawan, Kicker. Mesti ‘kick’ habis di medan tempur! Tapi, jenama saja tak mencukupi kerana gabungan setiap pemasangan jentera I.C.E yang digunakan juga perlu mampu menghasilkan bunyi yang hebat. Taklah orang kata, indah rupa dari bunyi. Tak begitu?
Tiba pula masa untuk menggodek isi I.C.E yang disendatkan oleh Lan ke dalam Little Monster ini. Kalau lihat pada bahagian belakangnya sahaja, pasti anda dapat membayangkan dentuman bass dengan kapasiti 4 biji sub woofer 12” jenama Kicker ini. Diikuti pula dengan iringan 4 biji mid bass 6” Mohawk dan diimbangi pula oleh 2 biji tweeter dari jenama yang sama. Pasti gempak! Tunggu dulu, ia masih belum mencukupi.
Sebelum mengadili I.C.E Little Monster ini, wajib dijenguk pula pada sumber utama yang memancarkan isyarat. Ya, jantung setiap I.C.E. Lan telah memilih 2 head unit bagi memikul amanah dan sekaligus menjadi kepala kepada sistem I.C.E Little Monster ini. Dua head unit tersebut adalah KW-XC650 dan DEH-P777. Masing-masing dari dua jenama otai iaitu JVC dan Pioneer Carrozzeria. Sepertimana biasa, Lan juga tidak ketinggalan mengikut suara majoriti dengan memilih jenama Pioneer. Dan jenama JVC tidak harus dipandang sepi kerana ia juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.
Isyarat yang dipancarkan menerusi kedua-dua head unit tadi akan dihantar kepada elektronik crossover BM Boschmann dengan akurasi pasif yang tinggi sebelum dihantar pula kepada amplifier. Lan KJ telah menggunakan hanya 2 unit amplifier bagi memacu kesemua speaker dan juga subwoofer.
Amplifier 4 channel Mohawk MS-400.4 digunakan untuk memacu 4 biji mid bass 6” yang ditempatkan di bahagian belakang termasuklah 2 biji mid bass” di bahagian dalam kereta. Amplifier yang sama juga turut digunakan untuk memacu 2 biji tweeter. Fuh, cukupkah tenaga untuk memacu kesemua sekali tanpa menggunakan kapasitor atau bateri? Bagi memacu baki 4 biji woofer 12” Kicker Comp, Lan KJ menggunakan sebuah unit amplifier monoblock M-2000.1 dari jenama Mohawk.
Agak hairan juga apabila melihat bekalan kuasa sistem I.C.E yang ada pada Little Monster ini, mampukah ianya bertahan tanpa bantuan dan bekalan dari bateri tambahan mahupun kapasitor? Apa-apa pun, jawapannya hanya ada pada Lan KJ.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 10