Bukan sekadar cara untuk mengekspresikan diri, kecenderungan melakukan modifikasi dapat melatih dan mewujudkan selera yang tinggi di kalangan pencinta audio untuk mendapatkan sebuah sistem audio berkualiti. Lebih-lebih lagi, kalau lebih banyak menghabiskan masa berada di atas jalan raya atas urusan kerja. Sistem audio dengan kualiti yang sedap telinga mendengar, sedikit sebanyak dapat membantu keadaan terutamanya bila tersangkut dalam jalan yang sesak. Betul tak?

Seperti kebanyakan pencinta audio yang lain, pemilik Mitsubishi Pajero Sport ini juga amat meminati modifikasi audio. Selain memenuhi seleranya yang tinggi, tujuan beliau membina sistem audio adalah untuk menyertai pertandingan berprestij. Bermodalkan wing karbon, body kit dan wide body untuk menampung Mitsubishi Pajero Sport ini, beliau turut menambah sistem air suspension sebagai ‘memperhebatkan’ lagi penampilan jentera ini.

Kesungguhan beliau menyertai pertandingan audio menerusi kategori SQL ini telah diterjemahkan oleh saudara Ricky. Beberapa jenama yang boleh dipercayai telah dipilih oleh Ricky, tidak mahu menghampakan si pemilik yang berkobar-kobar untuk memenangi pertandingan. Kalau dilihat dari sudut belakang Pajero ini, Ricky telah menggunakan set speaker dari FA II dan Seas Excel yang menjadi senjata utama dalam mereproduksi frekuensi pertengahan dan tinggi.

Jika diperhatikan, sejumlah power amplifier Abyss dan Rockford Fosgate telah digunakan yang dipasangkan di bahagian letak barang. Bukan sekadar menjadi produk sokongan dalam sistem audio ini, Ricky memanfaatkan produk terbaik dalam industri audio ini sebagai sebahagian kosmetik. Lebih menarik lagi, karbon kevlar serta fiber yang halus digunakan untuk menyaluti bahagian ini.

Bagi memeriahkan lagi Pajero ini, pemiliknya telah memasang seunit monitor LCD Sony Bavaria bersama sebuah Sony Play Station 3 dan juga X-Box 360 sebagai hiburan. Nilai ‘tonal balance’ serta persembahan yang senada dengan pilihan lagu turut menjadi nilai tambah untuk mengumpul mata dalam sesebuah pertandingan. Di akhirnya, bukan sistem audio semata-mata yang dinilai tetapi persembahan secara keseluruhannya. Apa pendapat anda? Setuju atau tidak?






















