Bagi menghangatkan lagi penganjuran Malaysia 4×4 Mega Jamboree 2019 yang berlangsung dari 22 hingga 22 Disember lalu, pihak penganjur telah menjemput dan memberi penghargaan kepada Sound Drift Pendang menganjurkan segmen khas untuk autoshow.
Bertempat di Taman Jubli Emas, segmen Autoshow yang dikelolakan oleh Sound Drift Pendang ini diadakan pada 20 Disember yang dimulakan dari pukul 3.00 petang dan berlanjutan sehingga pukul 11.00 malam. Kesudian pihak penganjur Malaysia 4×4 Mega Jamboree menyediakan segmen khas untuk autoshow ini dilihat sebagai keputusan tepat apabila menyaksikan sambutan cukup memberangsangkan dari para peserta rata-ratanya para pencinta dunia modifikasi kereta.
Sebanyak 10 kategori telah dipertandingkan dan melibatkan penyertaan sebanyak 40 buah jentera 4X4 mengambil bahagian. Manakala kategori-kategori yang dipertandingkan pula adalah Best Lowered, Best Carbon, Best Colour, Best Wheel, Best High, Best Engine Bay, Best Detailing Wiring, Best Print Sticker, Best Cutting Sticker dan Best Of The Best.
Pelbagai ragam peserta dan keunikan kereta yang dimodifikasi sekali gus menceriakan lagi tapak acara dengan kilauan lampu berwarna-warni. Namun, hanya kereta yang terbaik sahaja dipilih sebagai pemenang oleh barisan juri. Kemeriahan segmen Autoshow ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang. Kepada yang kurang bernasib baik, jangan berputus asa dan cuba lagi di masa akan datang untuk pertandingan yang lain pula.
Disediakan oleh : Azhar Taib (Pak Art)