Seawal 9.00 pagi, kawasan tempat letak kereta C di bangunan AEON Mall Nilai mula dipenuhi kereta yang menyertai acara Auto Fest Kings Lubricants 2019 yang diadakan pada 5 Oktober lalu. Acara anjuran minyak pelincir Kings Lubricants dengan kerjasama Group Event BKGK ini mendapat sambutan yang cukup luar biasa bukan sahaja dari para pencinta dunia permotoran malah para penduduk kawasan sekitar serta yang berhampiran.
Pelbagai aktiviti disediakan oleh penganjur sepanjang berlangsungnya acara yang dimulakan dari pukul 10.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 10.00 malam ini. Antara aktiviti yang berjaya menarik perhatian adalah Car Club/ Community Supporter, Auto Show, Audio Show dan Limbo Stance. Selain itu, para peserta dan pengunjung berpeluang menyaksikan penampilan khas Kings Best Of The Best, Bruce Lee.
Bagi menyemarakkan lagi penganjuran Auto Fest Kings Lubricants ini, pihak penganjur turut menyediakan beberapa aktiviti sampingan seperti aktiviti Zumba oleh Ladies Fitness Studio dan juga cabutan bertuah. Bukan itu sahaja, para pengunjung dan peserta turut dihiburkan dengan persembahan Tasha Buskers. Tiga anak muda ini berjaya menghiburkan para hadirin dengan persembahan yang cukup memukau dengan pilihan lagu-lagu menarik.
Kehebatan jentera dan sistem audio yang memasuki pelbagai kategori yang disediakan tidak menghampakan. Para pengunjung yang mengunjungi acara ini mengambil peluang melihat lebih dekat jentera yang telah dimodifikasi dengan cukup unik. Lebih-lebih lagi kategori split fire di mana para peserta mempersembahkan aksi-aksi yang mendebarkan. Selain itu, para pengunjung juga terhibur melihat gelagat peserta-peserta limbo stance.
Tahniah diucapkan kepada para pemenang terutamanya untuk kategori Best Gathering Car Club/Community Supporter Kings Lubricants yang berjaya membawa pulang hadiah setinggi 7 kaki. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada para pemenang Like, Share & Win yang diadakan di laman sosial Facebook. Kehangatan dan kemeriahan penganjuran Auto Fest Kings Lubricants ini sekali gus mewarnai lagi dunia modifikasi dan permotoran di Malaysia. Diharapkan acara yang sama terus diadakan pada masa akan datang.