Audio Solid Preve
Mempunyai sistem audio kenderaan yang hebat adalah impian setiap peminat muzik yang mahu menikmati muzik kegemarannya seperti berada di dalam konsert ‘live’, walaupun sedang bergerak di atas lebuhraya pada kelajuan 110km/j. Percayalah, bukan semua peminat audio yang mahukan bunyi bass yang berdentam-dentum, tapi ramai antara mereka yang hanya mahukan reproduksi bunyi yang terbaik.
Untuk mendapat hasil yang terbaik, pemilihan cesi kenderaan yang sesuai amat penting. Jika peminat SPL menggemari kenderaan yang mempunyai ruang yang luas bagi memuatkan seberapa banyak woofer yang mungkin, geng-geng SQ lazimnya akan memilih kereta saloon yang bersaiz besar. Kereta saloon lazimnya memberi ruang yang secukupnya bagi menempatkan aksesori audio dan di masa yang sama, menyediakan persekitaran yang kedap bunyi yang baik dan masih mempunyai ruang untuk penumpang dan barang-barang. Ya! Kebanyakan peminat sistem SQ masih menggunakan kereta mereka untuk kegunaan harian seperti pergi balik kampung dan membeli-belah di pasaraya.


Proton Preve ialah kereta saloon keluaran Proton yang dihasilkan bagi menyaingi model-model kereta seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis. Dengan saiz yang besar dan harga yang berpatutan, kereta ini ialah sebuah kereta ideal untuk dijadikan platform sistem audio jenis SQL.
Preve yang dipaparkan ini menggunakan pemain utama Alpine IVA-W202 yang mampu memain semula format audio dan video digital. Bagi peminat sistem audio, nama Alpine bukanlah satu nama asing bagi mereka yang mementingkan kualiti. Pemain utama ini mempunyai monitor bersaiz 7” beresolusi tinggi (WVGA) dengan keupayaan untuk disambungkan dengan pemain Apple iPod.

Dari sini, unit utama tadi disambung kepada seunit pemproses bunyi digital Alpine PXA-H800, iaitu seunit pemproses bunyi bertaraf profesional yang menjadi idaman ramai peminat audio yang mahukan reproduksi bunyi yang cemerlang. Pemproses bunyi ini mempunyai keupayaan untuk si penala menala bunyi dengan lebih tepat dan bagi mereka yang mahukan pengalaman bunyi seolah-olah berada di dalam panggung wayang bila DVD dimainkan, pemproses ini mampu memproses bunyi digital dari sistem Dolby Digital dan juga DTS Surround Sound.
Installer sistem ini juga memasang seunit alat kawalan jauh Alpine RUX-C800 yang memungkinkan tuner menala sistem bunyi kereta tanpa perlu menyentuh alat pemproses digital tadi. Dari sini, isyarat bunyi dihantar melalui kabel-kabel RCA kepada tiga unit amplifier. Untuk penghasilan bunyi stereo di dalam kereta, dua unit amplifier Mercury MCR-4200 digunakan.

Amplifier pertama digunakan bagi memacu satu set speaker komponen Mercury MCR-188Z yang hadir dengan dua unit speaker mid bass 6.5”, tweeter jenis silk dome dan crossover. Speaker ini ditanam pada panel pintu kereta Preve ini bagi menggantikan speaker asal manakala tweeternya dipasang di dalam perumah custom pada tiang-A kereta dan ditala bagi mendapat staging bunyi yang terbaik di dalam kereta.
Pada tiang-A yang sama, installer sistem audio Preve ini memasang dua unit speaker jenis mid range dari Mercury Classic yang berdiameter 3”. Speaker mid range ini mendapat kuasa daripada amplifiernya yang tersendiri, iaitu dari model sama yang memacu speaker komponen yang diceritakan awal tadi. Perumah custom juga dibina bagi menempatkan speaker ini dan sekali lagi, ditala untuk staging yang terbaik.

Tidak lengkap sebuah sistem audio tanpa bunyi bass yang mantap. Untuk itu, installer telah memilih seunit woofer 10” Mercury Maxx bagi melengkapkan sistem audio Preve ini. Woofer ini dipasang di dalam perumah custom yang dibina di dalam but belakang kereta yang juga menempatkan set amplifier. Dibina supaya tidak mengganggu ruang mengisi barang, woofer berkenaan diletak di sebelah sisi but bagi memberi ruang yang luas untuk bagasi. Memacu woofer berkenaan ialah seunit amplifier jenis monoblock Mercury MCR-800.1.
Terus terang saya katakan, setup audio seperti ini memerlukan bajet yang agak besar oleh kerana kualiti bunyi amat dititik-beratkan. Tetapi bagi si fanatik, berkorban apa saja…
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 60























