Di awal tahun 1995, Proton telah memperkenalkan kereta model hatchback 3 pintu dan mengulangi kejayaan sebagai pengeluar kereta nasional terulung. Kereta yang diasaskan melalui model keluaran Mitsubishi Mirage Cyborg, Satria tampil bagi memenuhi permintaan penggemar kereta yang mendambakan model sporty.
Satria bukan sahaja dikenali kerana gaya sporty malah prestasinya juga menjadikannya antara kereta model hatchback kegilaan muda-mudi setanding Honda Civic EG yang cukup popular ketika itu. Semenjak diperkenalkan sehingga ke hari ini, Satria telah mengalami banyak perubahan baik dari segi prestasi mahupun rekabentuknya dan antara model Satria yang mempunyai permintaan tinggi adalah Satria GTi. Pada tahun 2006, Proton memperkenalkan generasi kedua iaitu Satria Neo yang lebih sporty dan elegan.
Walaupun Satria berwajah baru, masih ada peminat yang setia dan mencintai model generasi pertama Satria kerana menganggap ianya sebagai tanda permulaan kepada legasi Satria untuk generasi seterusnya. Antara peminat setia model Satria generasi pertama ini adalah Angah, atau nama sebenarnya Zailiniza Bin Zainal Abidin. Pemuda yang baru sahaja berusia 28 tahun ini sanggup menghabiskan masa, tenaga dan membelanjakan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk mencantikkan kereta Satria kesayangannya yang telah dimiliki sejak 3 tahun lalu.
Kerjayanya sebagai seorang guru tidak pernah membataskan beliau untuk terus menghidupkan hobi menghiasi Satria miliknya itu. Sejak awal lagi, beliau telah mula merangka-rangka modifikasi yang perlu dijalankan ke atas Satria 1.5 Edisi Khas keluaran terhad itu. Boleh dikatakan, aktiviti memodifikasikan kereta kesayangan bukan lagi sekadar hobi, malah kepuasan diri yang perlu diisi. Ini boleh dibuktikan apabila melihat perubahan pada kereta ini sama ada dari sudut interior, performance dan sistem audio.
Setakat ini sahaja, pemuda yang menggemari makanan kampung seperti burung puyuh masak lemak cili api dan pajri nenas ini sudahpun membelanjakan wang sebanyak lebih dari sepuluh ribu ringgit Malaysia. Namun, sepertimana yang pernah dikatakan oleh kebanyakkan penggila kereta ekstrem sebelum ini, duit tidak menjadi masalah untuk mendapatkan kepuasan yang maksima. Begitu jugalah yang dipegang oleh Angah dan malah baginya, seseorang itu tidak perlu takut dan malu kerana kalau takut dan malu maka kita takkan berjaya.
Mungkin itulah rahsia di sebalik kejayaan Angah yang seringkali berjaya membawa hadiah kemenangan setiap kali menyertai pertandingan autoshow sama ada untuk hiasan sticker dan juga untuk beberapa kategori yang lain. Juga tidak ketinggalan bahagian yang paling penting iaitu sistem audio kereta ini. Penampilan dan bunyi sistem audio Satria ini mampu memukau sesiapa saja yang mendengar. Ternyata Angah bijak memberi tumpuan yang seimbang dalam kedua-dua aspek modifikasi terhadap kereta Satria yang amat disayanginya.
Angah memberi lagi makna di sebalik nama Satria dengan memperkasakan kehebatan sistem audionya menjadikan kereta ini umpama pahlawan yang membelah jalanraya. Masuk sahaja ruang hadapan kereta Satria ini, sudah tentu perkara pertama yang dapat dilihat adalah pemain unit jenama Pioneer, EEQ Mosfet yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 500watt. Angah memilih untuk menggunakan pre-amp jenama Xplode model XP-10 bagi mengawal kualiti bunyi yang terhasil.
Selain itu, Angah juga telah memasang monitor pemain DVD visor bagi memberikan hiburan sampingan untuk menemani pemanduan yang panjang dan mengelakkan kebosanan ketika kesesakan lalulintas. Bagi mendapatkan bunyi yang mantap dari isyarat yang disampaikan oleh pemain unit, Angah telah menggunakan sejumlah 4 buah mid-bass speaker 6 ½” yang diletakkan di bahagian depan dan belakang kereta yang kesemuanya dari jenama Arizone.
Angah juga telah memilih 2 unit amplifier; amplifier 4 channel Kenbo-345 dan amplifier 4 channel Xiantong JX-850.4 untuk memacu kesemua speaker mid-bass tadi selain memacu dua unit horn tweeter. Manakala satu lagi unit monoblock Xiantong model JX-881 digunakan untuk memacu 2 unit woofer 12”.
Menurut Angah, sebagai peminat ICE setiap aksesori yang digunakan tidak akan selamanya kekal kerana mengikut perkembangan terkini dunia ICE yang sentiasa ada saja produk dan jenama baru yang mampu memenuhi kehendak mereka yang sebenar. Mungkin, selepas akan ada perubahan juga untuk Satria ini di masa akan datang.