Dibina berasaskan Mitsubishi Galant Eterna generasi ketujuh, Perdana merupakan model kereta sedan bersaiz sederhana dengan empat pintu keluaran Proton (Malaysia) yang dilancarkan pada Januari, 1995. Hasil gabungan kejuruteraan di antara Proton dengan Mitsubishi selepas Proton Saga, Perdana generasi pertama telah menerima tempahan kira-kira 80,000 pada tahun 1994 – 2010. Keluasan dan keselesaan yang bersesuaian untuk golongan atasan, membuatkan Perdana dipilih sebagai kereta rasmi kerajaan bagi kegunaan pegawai atasan termasuk Perdana Menteri.

Namun begitu, Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 11 September 2013 telah memutuskan untuk menggunakan Proton Perdana baru yang dibangunkan berdasarkan platform Honda Accord, menggantikan penggunaan Proton Perdana generasi pertama dan V6 sebagai kereta rasmi kerajaan. Keputusan ini diambil ekoran pengeluaran Perdana yang dihentikan sejak 2010 dan model sedia ada pula telah melepasi jangka hayat sesebuah model kenderaan yang dijangka hanya bertahan antara 5 hingga 10 tahun. Benarkah begitu?

Sebelum meneruskan segmen dengan sebuah kereta Perdana yang telah menjalani proses modifikasi penuh ini, teringat pula saya kepada Perdana yang pernah dimiliki ayah satu ketika dulu. Tak berani untuk saya sentuh, maklumlah kesayangan hati si ayah. Apa yang masih jelas diingatan sampai hari ini adalah kerja penyelenggaraan yang rumit. Banyak perbelanjaan terpaksa ditanggung dan hampir setiap hari saya dengar ayah mengeluh. Mungkin tidak kena dengan cara penjagaan? Apabila melihat Perdana merah yang menerima sentuhan kreatif KJ Modify ini, satu soalan sahaja yang berlegar di minda. Bagaimana?

Bukan sahaja dari sudut penampilan yang dikenakan VIP Style, malah sistem audio juga bukan calang-calang. Teknik pemasangan mengikut kemahiran tenaga KJ Modify yang beroperasi di Hat Yai di Thailand, membuatkan sistem audio ini agak berbeza tetapi cukup mantap. Lihat sahaja pada setiap panel pintu yang dipasangkan speaker. Sekurang-kurangnya, seunit speaker setiap satu. Manakala di bahagian belakang pula, KJ Modify memperkemaskan persembahannya dengan memasang cermin arkilik bagi menutup perumah yang menempatkan barisan woofer dan amplifier.

Tidak dilupakan, diagram sistem audio yang dilakarkan pada cermin arkilik ini secara tidak langsung memperlihatkan tujuan utama sistem audio ini dibina. Ya, bukan sekadar suka-suka tetapi disediakan dengan misi tersendiri. Mewakili KJ Modify untuk pertandingan sama ada yang diadakan di Thailand mahupun di Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan anda, pemilik Perdana ini yang dikenali sebagai Bobriezal atau nama sebenarnya Shahrizal B Zolkeple telah menggegarkan bumi Thailand dengan menyertai beberapa pertandingan yang diadakan di sana baru-baru ini.

Pemergian beliau ke Hat Yai untuk menyertai acara permotoran di sana iaitu Race Thailand 2017 pada 4 hingga 7 Mei lalu dan T-CAN International Sound Competition pada 18 Jun ternyata tidak sia-sia. Beliau muncul juara VIP Car Contest International (Race Thailand 2017) kategori Interior Sound. Manakala untuk T-CAN International Sound Competition, Perdana yang dimodifikasi KJ Modify ini memenangi 3 kategori, S 160, 000 Sedan, S 80,000 Sedan dan S Extreme Sedan. Solekan exterior VIP Style yang dikenakan ke atas Perdana ini diseimbangkan dengan sistem audio yang dibina dengan kelengkapan jenama DB+Max.

Meneliti sistem audio Perdana DB+Max ini yang bermula dengan pemain utama yang dipilih dari jenama Eclipse. Seterusnya, data yang dibaca dan diproses pemain utama tadi dihantar untuk ditapis terlebih dahulu oleh preamp SQL DB+Max sebelum dipecahkan kepada 3 laluan baru. Laluan pertama untuk sistem audio di bahagian dalam kereta, laluan kedua pula untuk sistem audio di bahagian belakang dan laluan ketiga khusus untuk dua unit woofer.

Menariknya tentang sistem audio di bahagian dalam, ia telah dibahagikan kepada dua. Bahagian satu, kabin dan bahagian kedua di tempat penumpang di belakang. Sebanyak 2 unit mid bass 6” DB+Max dan 2 unit tweeter DB+Max ditanamkan pada kedua-dua panel pintu di bahagian kabin. Manakala seunit unit bass 6” DB+Max dan seunit tweeter DB+Max dipasangkan di kedua-dua panel pintu di tempat duduk penumpang di bahagian belakang. Kemasan interior hasil kerja Kunlajin Racing berjaya menambahkan seri dengan pemasangan baldu gabungan rona perang dan merah.

Ini diikuti dengan laluan kedua yang terdiri dari 4 unit mid bass 6” juga dari jenama DB+Max dan 4 unit tweeter DB+Max yang dipasangkan pada perumah khas yang dilekatkan di boot lid Perdana ini. Bagi memacu laluan pertama dan kedua ini, KJ Modify telah menggunakan 2 unit amplifier 4 channel DB+Max. Menutup sistem audio Perdana ini adalah laluan ketiga yang terdiri dari dua unit woofer 12” DB+Max, dipacu seunit amplifier monoblock DB+Max. Ditempatkan dalam sebuah perumah khas, kedua-dua unit woofer ini dipasangkan secara terbalik.

Perdana dan Bobriezal bukan sahaja mencipta kemenangan di Thailand, malah kecemerlangan pasangan ini diteruskan di bumi sendiri. Boleh dikatakan, di mana sahaja acara yang disertai mereka, pasti kemenangan menyusul. Sekarang saya kembali bertanya, bagaimana?





































