TEAC? Jujurnya saya baru tahu saja jenama ini ada menghasilkan produk audio untuk kenderaan. Seperti yang biasa kita lihat di pasaraya dan kedai perkakasan elektrik, TEAC lazimnya ditemui dalam bentuk sistem audio rumah seperti pemain DVD, pembesar suara, ‘home theater’ dan juga sistem HI-Fi. Memang seronok bekerja dalam industri ini kerana anda sering bertemu dengan benda tak dijangka setiap hari. Harap-harap tak jumpa sistem ICE nanti dengan jenama Mamy Poko atau Nescafe pula.

Di kala produk audio ini telah begitu banyak di pasaran, kita sebagai pengguna pastinya susah untuk memilih. Lebih banyak pilihan bermakna kita akan jadi lebih susah untuk menentukan sistem mana yang sesuai. Mengharapkan maklumat dari penjual sahaja tidak memadai dan seperti yang sering saya nasihatkan, dengar sendiri dari kereta demo yang mereka ada atau mungkin dari kalangan kawan-kawan yang telah mencubanya.

Di daerah Banting, pemainan audio ini bukanlah asing di kalangan anak-anak muda tempatan. Bermacam ragam dan gaya yang kami temui. Walaupun perjalanan singkat dan tidak dirancang, kami berjaya membawa pulang 3 buah kereta yang boleh dikategorikan ‘glamour’ di sana dan Saga ini adalah salah satu daripadanya.

Sistem yang dibina pada Saga BLM ini dimulakan dengan pemain 2-din Dvd berskrin sesentuh jenama TEAC; TE-261 sendiri. Sekali lagi, ini kali pertama saya melihatnya secara realiti. Ketika cuba menekan suis-suis pemain ini untuk mencari paparan visual, nampaknya tidak susah. Kualiti gambar yang dipaparkan juga tidak mengecewakan. Saya kira, pemain begini merupakan unit ‘entry level’ bagi mereka yang berbajet rendah. Dengan pakej begini, ia tentunya pembelian yang tidak menghampakan.

Isyarat dari pemain ini singgah ke seunit pre-amp Stellar 7 saluran yang bertindak sebagai pemangkin talaan bunyi yang dihasilkan kemudian. Saya tidak pasti aspek keluaran kuasa TEAC ini tetapi jika teknik menyimpangkan isyarat penala kepada equalizer luaran adalah jalan yang paling mudah dan menjimatkan. Ini bermaksud pemain utama sekadar menjadi pembaca media sahaja sementara tugas menapis frekuensi bunyi diserahkan sepenuhnya kepada equalizer tadi.

Dari unit Stellar SD-7PX ini pendawaian diteruskan ke dua unit amplifier 4 channel TEAC TE-A504 dan seunit amplifier monoblok Kicker. Amplifier 4 channel tadi kemudiannya menukar isyarat kuasa kepada bunyi yang dihasilkan oleh sistem yang tertumpu di bahagian belakang but. Ia terdiri daripada 2 unit mid TEAC TE-CS6, 2 unit speaker coaxial TEAC TE-S62 dan 2 unit horn tweeter TEAC. Perletakannya dibuat pada bahagian penutup but dengan perumah khas yang diperbuat daripada sekeping papan nipis yang dilekapkan di atas gubahan gentian kaca. Sebagai hiasan tambahan, unit perumah tersebut dikemaskan dengan pelekat vinyl merah bercorak garis hitam.

Seunit lagi amplifier monoblok dari iaitu Kicker KX1200.1 bertanggungjawab mengekstrak bunyi untuk 2 unit woofer TEAC TE-FW12 berdiameter 12” dan seperti yang biasanya dibuat pada 2 unit woofer di bahagian but, ia dipasangkan dalam kekotak custom. Bila ia sebuah kereta yang mahu dilihat cantik, istilah ‘make-up’ tadi diteruskan dengan trim pelekat Bomb dan tema 3D. Susunan amplifier dibuat rapi di kedua-dua sisi but yang menampikan hasil kerja sederhana tetapi memuaskan.

Bahagian dalaman kereta ini tidak banyak bezanya dengan Saga lain yang mana pengubahsuaiannya terhad pada sentuhan yang minimal. Misalnya penggunaan warna putih pada trim konsol dan meter. Jujurnya saya rasa itu sentuhan yang kena dengan corak kereta ini yang dibuat ringkas tanpa mengabaikan fungsinya. Saya sebenarnya rasa ‘semak’ dengan sesetengah kereta yang penuh dengan pelbagai aksesori, lampu-lampu LED yang menyemakkan mata. Tadi baru naik kereta seorang kawan dengan dashboard warna putih. Efek silaunya sampai tak boleh nak cakap bila dipandu di bawah matahari terik!




























