Kalau ditenung lama-lama muka komputer, boleh retak urat biji mata. Tambah pula kalau terpaksa berhadapan dengan tugasan yang sukar ditemukan titik permulaan. Puas berdiri, duduk, terlentang, idea tetap tak mari! Namun, tugasan yang diterima kali ini agak berbeza. Saat pertama kali pandangan mata tertumpah pada tubuh kereta ini, terasa diri seakan terbuai dek jampi serapah. “Binatang apa yang dia tunggang?” teringat pula punch line dari arwah Ibrahim Pendek.
Seumur hidup saya yang masih muda ini, tidak pernah sekalipun sebiji kereta gagal dikenalpasti? Barangkali belum cukup ilmu di dada. Dengan perasaan yang bercampur malu-malu segan, soalan itu diajukan juga kepada pemilik kereta yang menyeramkan ini, saudara Kenny hanya ketawa. Sekali lagi soalan sama diajukan, barulah beliau memberi jawapan. Ianya sebuah kereta wagon keluaran Datsun. Mendengar jawapan itu, termakan gelak sendiri dibuatnya. Melihatkan modifikasi yang telah dilakukan ke atas kereta ini, pasti bukan saya seorang sahaja yang gagal mengenalpasti model sebenar kereta ini!
Sejak lebih 20 tahun lepas, saudara Kenny menjadi pemilik dan mendedikasikan separuh masanya melakukan modifikasi ke atas Wagon ‘berhantu’ ini. Hampir setiap autoshow dan audioshow, kereta Wagon yang saya gelarkan sebagai Haunted Wagon ini sering menjadi tarikan ramai. Bermula dari tanduk yang diletakkan di bahagian hadapan sehinggalah arang-arang yang diletakkan di bahagian belakang kereta. Semuanya mempunyai signifikasi tersendiri, bukan sekadar penghias semata-mata. Inilah hasil yang diperoleh dari seseorang yang kreatif seperti saudara Kenny.
Jujurnya, apabila bertemu dengan orang-orang lama memang jauh lebih seronok. Pelbagai kisah menarik dikongsi, malah tanpa sedar dalam sibuk berbual pasti ada tips-tips sampingan yang diberi. Seperti saudara Kenny sendiri yang telah lama dalam dunia kereta dan I.C.E. Antara yang paling seronok didengar apabila beliau tidak bergantung harap semata-mata kepada installer. Beliau lebih suka menala sistem audionya sendiri. Sistem I.C.E yang dipikul Wagon ini pula boleh berfungsi untuk dua talaan, SPL dan juga SQ.
Menurut pengalaman beliau, bukan semua installer jujur. Disebabkan itu, setiap kali selepas menghantar kereta kesayangannya ini ke installer, perkara wajib yang dilakukan beliau ialah menangkap gambar. Ini bagi memudahkan untuk beliau menala semula sistem I.C.E pada bila-bila masa tanpa perlu merujuk kepada installer sepanjang masa. Cara ini juga dapat mengelakkan pembaziran masa dan yang paling penting dapat menjimatkan wang! Beliau turut mengamalkan cara ini setiap kali menjelang pertandingan. Hebat bukan?
Jika diperhatikan, saudara Kenny banyak menggunakan jenama ICE Stereo sebagai memperkasakan sistem I.C.E Haunted Wagon ini. Bagi menghidupkan barisan speaker yang memenuhi ruang belakang, saudara Kenny memilih pemain utama yang mampu menyerlahkan kehebatan yang mampu dihasilkan oleh kesemua jentera I.C.E nya. Bagi memikul tanggungjawab itu, pemain utama jenama Panasonic CQ-DF 903W menjadi pilihan. Di sini data-data yang dibaca oleh pemain ini akan diproses dan isyarat yang terhasil akan dipancarkan.
Bagi menyambut isyarat yang dipancarkan oleh pemain utama tadi, sebuah pre-amp telah digunakan. Pre-amp yang digunakan adalah dari jenama ICE Stereo PA-15168 dengan 7 band parametrik equalizer. Melalui pre-amp ini, saudara Kenny dapat membuat pengubahsuaian mengikut kesesuaian yang diinginkan beliau. Maklumlah, selera telinga bukannya konsisten sepanjang masa, jadi di sinilah tempat beliau mengubah sama ada menambah atau mengurangkan bunyi bass.
Seterusnya, isyarat yang diproses pre-amp ini akan disalurkan pula kepada 3 unit amplifier bagi diperbesarkan isyarat sebelum memacu sejumlah speaker dan woofer yang sedia menghantui pada bila-bila masa. Bagi tujuan itu, saudara Kenny menggunakan 3 unit amplifier dari jenama yang berbeza. 1 unit amplifier 2 channel jenama Audio Specialist AS-200 telah digunakan untuk memacu 2 unit mid bass 6” ICE Stereo dan 2 unit dome tweeter yang juga dari jenama yang sama.
Berikutnya pula, saudara Kenny telah mendahulukan penggunaan crossover elektronik bagi memotong frekuensi yang tidak diperlukan sebelum ianya dialirkan kepada 1 unit amplifier 4 channel jenama Stellar. Crossover yang digunakan ini ialah dari jenama Alpine 3656. Sepertimana yang disebut tadi, ianya akan memotong frekuensi yang tidak berkenaan dan mengalirkan jumlah yang diperlukan oleh amplifier untuk memacu 6 unit mid bass 6” dan 4 unit dome tweeter. Kedua-duanya dari jenama ICE Stereo!
Bagi melengkapkan kitaran sistem I.C.E miliknya, seunit amplifier monoblock Agako telah digunakan untuk memacu 2 unit woofer 12” Matrix. Kemeriahan penuh berhantu kereta ini ditambah lagi dengan satu set tambahan I.C.E yang terdiri daripada pemain DVD Debezt DDX-7055 disambungkan pula kepada 2 skrin LCD 15” dan 8”. Apabila diajukan soalan sama ada beliau ingin menambah lagi aksesori audio dalam keretanya, “orang dah marah!”
Mungkin benar kata-kata beliau. Kalau nampak sahaja kelibat beliau dan kereta berhantunya ini di mana-mana pertandingan, pasti menjanjikan kekalahan kepada pihak lawan. Jika diukur sudut interior tiada siapa dapat menandingi kreativiti dan kebijaksanaan beliau. Akuarium nipis digunakan untuk menyembunyikan jentera I.C.E nya yang terdiri dari amplifier dan crossover, malah kewujudan arang pula untuk menyerap bau ekzos yang kurang menyenangkan. Bijak bukan?