Masih ingat Unser dengan catatan 152.8dB? Sewaktu mencatatkan rekod tersebut, tiada siapa dapat menerimanya kerana tidak yakin bahawa ada sistem audio mampu mencatatkan frekuensi pada 152.8dB. Tetapi itulah yang dibuktikan Kole Audio. Kali ini, satu lagi rekod dicipta. Berjaya mengatasi rekod terdahulu dengan catatan 155dB. Jauh meninggalkan rekod Unser tetapi masih menggunakan jenama yang sama, Kole Audio!

Rekod dicatatkan sebuah Kenari dipenuhi kelengkapan jenama Kole Audio ini ditemukan dalam pertandingan audio yang dianjurkan julung kalinya di bandaraya Kuching, Sarawak. Pertandingan audio memang jarang diadakan di sini dan apabila dianjurkan pula, pemenangnya berjaya memecahkan rekod yang dicipta di semenanjung. Mungkin agak melampau tetapi sistem ICE yang dipertandingkan jauh lebih maju dan berani berbanding yang terdapat di semenanjung.

Maaf, kenyataan tadi bukan bermaksud melagakan peminat ICE semenanjung mahupun Sabah atau Sarawak, sebaliknya provokasi menaikkan mutu ICE Malaysia secara keseluruhan. Apabila satu standard berjaya dicapai, bukan sahaja pertandingan peringkat tempatan diperhebatkan malah layak menganjurkan pertandingan bertaraf antarabangsa. Dalam masa sama, menarik para pelabur asing ke Malaysia. Bukankah itu satu petanda bagus?

Jenama sahaja tidak menjamin apa-apa jika tiada perancangan bijak serta keberanian ingin mencuba dari pemilik dan pemasang sistem ICE. Kerjasama ini penting bagi melahirkan sesuatu yang luarbiasa. Luarbiasa itu tercipta menerusi semangat nekad seluruh pasukan Kole Audio yang mempertaruhkan sistem ICE dipikul Kenari ini untuk dipertandingkan. Bertunjangkan Kole Audio secara keseluruhan, hanya pemain utama digunakan dari jenama lain, Pioneer DEH-3450UB.

Scara relevannya, kapasiti yang dapat ditanggung sebuah Kenari adalah sangat terhad. Namun, Kenari yang berjaya mencipta sejarah ini memikul sejumlah 8 unit woofer 12”. Seunit woofer dianggarkan mencecah berat 10 kg. Kiralah sendiri berapa berat keseluruhan dipikul Kenari ini! Ditempatkan di perumah yang dibina khusus di bahagian belakang, barisan woofer ini dikuasakan 4 unit amplifier monoblock Kole Audio.

Menemani woofer adalah gugusan mid bass 6” Kole Audio sebanyak 12 unit, dipacukan seunit amplifier 2 channel Kole Audio. 6 unit mid bass ditempatkan di pintu bonet dengan susun atur yang sangat menarik seumpama sisik ikan dan diselitkan 2 unit tweeter. Baki 6 unit mid bass dibahagi dua untuk diposisikan di bahagian sisi belakang kereta. Bagi mengimbangi bunyi bass, 4 unit tweeter ditempatkan di bahagian atas, melengkapi staging yang sempurna. Semua tweeter dipacukan seunit amplifier 4 channel Kole Audio.

Hasil bunyi yang dapat didengari pada pertandingan tempoh hari ini dibantu oleh beberapa aksesori audio tambahan lain, antaranya 3 unit pre-amp dan seunit crossover Kole Audio. Memang benar, kesemua aksesori audio dihimpunkan di bahagian belakang. Disebabkan ianya dibina untuk tujuan pertandingan, maka jelaslah kenapa ianya diposisikan sebegitu. Ya! Berdentum-dentum bumi kenyalang!
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 36




























