Proses transformasi kenderaan bagi menempatkan sistem ICE lengkap bukanlah satu kerja semudah membuat ais kacang. Masalah pemasangan boleh datang dari kenderaan yang dipilih. Ia satu cabaran yang menguji daya kreativiti dan ketajaman deria dengar installer itu sendiri bagi mewujudkan bunyi seperti diingini. Tidak kiralah apa juga tujuan ia dipasang, sama ada untuk pertandingan atau sekadar kepuasan halwa telinga. Yang penting, ia perlu tepat!
Lazimnya, kereta sedan menjadi kegemaran installer untuk modifikasi. Kadar keluasannya sangat ideal untuk capaian bunyi optima. Kereta kompak pula menjadi pilihan kebanyakan pecinta ICE yang lebih cenderung kepada dentuman bass, tapi dalam masa yang sama membataskan daya kreativiti installer kerana ruang agak terhad. Manakala, kenderaan MPV memerlukan kemahiran installer beradaptasi dengan ruang yang amat luas seperti Odyssey keluaran Honda ini.

Bersesuaian dengan namanya (pengembaraan), Odyssey ini merupakan minivan 5 pintu yang boleh memuatkan 7-8 orang penumpang dalam satu-satu masa. Masalah yang timbul di sini adalah untuk memastikan ‘staging’ yang tepat agar bunyi dihasilkan meliputi seluruh keluasan Odyssey ini. Perkataan ‘mungkin’ atau ‘mustahil’ tidak pernah wujud dalam kamus installer yang bagus apatah lagi apabila Odyssey ini pernah menjulang kemenangan dalam pertandingan EMMA Asia.
Kemenangan ini adalah bukti bahawa saiz bukanlah penghalang utama dan pemilihan peralatan yang tepat amat penting. Peralatan yang dimaksudkan merujuk kepada jenama yang digunakan dan sekaligus membantu Odyssey muncul sebagai sang juara. Mosconi. Jenama ‘hi-end’ dari Itali ini merupakan hasil buatan tangan yang sangat kemas dan terperinci. Digabungkan pula dengan Audio System, maka terbentuklah satu sistem ICE yang ideal dan sempurna.

Memulakan pengembaraan bunyi dalam sistem audio Odyssey ini, Pioneer telah dipilih untuk menjadi peneraju utama. Pemain utama siri DEX, P99 ini seringkali menjadi pilihan kerana mempunyai ciri-ciri kelebihan. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan untuk turut serta dalam melengkapi sistem audio ini. Membaca segala data dari pelbagai format media dan tidak bermasalah untuk mendengar lagu dari iPod /iPhone dan kualiti bunyi tetap sama dengan asal. Hebat bukan?
Dari sini pula, data-data yang diproses ditranformasi menjadi isyarat dan dipancarkan kepada dua laluan utama yang dianggotai 2 unit amplifier Mosconi siri Gladen; amplifier 2 channel AS200.2 dan amplifier 4 channel AS200.4. Laluan pertama dimulakan dengan amplifier 2 channel yang memacu seunit woofer 10” dari Audio System, HX10SQ. Dibina khusus untuk sistem talaan SQ dan seperti yang dikatakan tadi, pemilihan perkakasan yang tepat amat penting. Memandangkan sistem audio Odyssey ini adalah SQ, (nampak jelas kerana tiadanya modifikasi eksterior mahupun interior yang ekstrem) pemilihan woofer Audio System ini sangat bijak.

Tipikalnya, woofer seringkali diletakan di bahagian but belakang kereta. Sama ada ditanam di bahagian tempat letak tayar simpanan atau disemadikan di dinding atau dipasangkan secara konvensional iaitu memasang di dalam perumah custom made. Ya, pemasangan woofer untuk Odyssey in sangat berbeza. Cuba cari, boleh anda jumpa seunit woofer di mana-mana bahagian kereta. Tak jumpa, bukan?
Awalnya, saya pun gagal mengesan woofer. Tetapi apabila pemain utama dihidupkan, bukan sukar untuk mengecam suara bass yang dihasilkan. Bagi memastikan ‘staging’ yang tepat, installer telah memasang woofer di bahagian kaki penumpang di bahagian hadapan. Ia gagal dikesan kerana disembunyikan sepenuhnya oleh perumah custom made. Satu lagi teknik pemasangan yang cerdik.

Bergerak pula kepada laluan kedua yang dikepalai seunit amplifier 4 channel Mosconi AS200.4. Di bahagian ini, sejumlah 6 unit speaker telah digunakan dari set speaker komponen 3-way yang terdiri daripada 2 unit speaker komponen 6” Audio System HX 165 Phase MKII, 2 speaker 4” Audio System HX 130 Phase dan 2 unit tweeter juga dari jenama sama. Sebelum isyarat dari amplifier disalurkan kepada barisan speaker ini, terlebih dulu ia melepasi seunit crossover pasif. Kesemua 6 unit speaker ini ditempatkan di kabin hadapan yang mana seunit tweeter dan seunit speaker 4” dipasangkan berkembar di kedua-dua bahagian A pillar. 2 unit speaker komponen 6” pula masing-masing diletakkan di bahagian panel pintu.
Perpaduan bunyi yang dihasilkan speaker 3 way ini sekaligus memperingatkan kepada sistem audio teater di rumah. Sangat mantap dan memenuhi segenap ruang kereta. Jadi, tidak hairanlah ia pernah ditabalkan sebagai juara di pertandingan anjuran EMMA Asia.

Jujurnya, tiada apa perlu dibanggakan dengan eksterior mahupun interior Odyssey ini. Yang membezakannya dengan kereta Odyssey lain hanyalah aksesori tambahan iaitu rak pemegang basikal di bahagian atap dengan catatan Thule di badannya. Sudut interior pula, cukup sekadar kerangka yang dipakaikan ke atas speaker komponen di kedua-dua panel pintu yang memantulkan warna biru. Manakala di bahagian belakang, akrilik digunakan sebagai perumah untuk amplifier dan dimandikan cahaya merah.
Seperti lazimnya, kereta talaan SQ mengutamakan kualiti bunyi dan badannya dibiarkan tanpa sebarang modifikasi ekstrem untuk mengekalkan nilai estetik. Anda setuju?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Roadstar edisi 31
















