Sukar untuk diperbetulkan persepsi yang telah tertanam sekian lama. Apabila berbicara tentang dua jenis talaan SPL dan SQ, terdapat satu corak yang dibentuk oleh para pecinta I.C.E sendiri. Kebanyakan ‘penganut’ talaan SPL ini terdiri dari kaum Melayu. Manakala kaum cina pula merupakan golongan pelopor yang memonopoli jenis talaan SQ. Tidak! Bukan saya pandai-pandai membahagikan kedua-dua kaum ini, tetapi ini kenyataannya. Kalau tak percaya, selak semula setiap halaman edisi majalah Kar HiFi terdahulu. Pasti anda akan bersetuju!
Disebabkan itulah, saat mengetahui ‘mesin’ yang mengangkat talaan SQ ini adalah milik kepada seorang pemuda Melayu, terpegun juga dibuatnya. Jarang sekali orang melayu minat talaan SQ, berbeza benar dengan Zack atau nama sebenarnya Mohd Nor Zaini Mohd Nor. Kecintaan terhadap sistem audio dizahirkan pula ke atas kereta Vios kesayangannya
Bercerita tentang talaan pilihannya ini, beliau mengakui yang reaksi serupa turut diterima setiap kali bertemu dengan pecinta I.C.E yang lain. Rata-ratanya terkejut. Tambahan pula, majoriti kawan-kawannya lebih cenderung memilih talaan SPL berbanding SQ. Beliau pernah mencuba talaan SPL, malangnya tidak bertahan lama. Talaan SPL hanya bertahan selama 2 bulan di dalam keretanya.
Jikalau dilihat dari luarnya pun, tiada modifikasi ekstrem dilakukan. Yang ada hanyalah sticker kelab dianggotai beliau, Vios’07 Club. Kenapa tidak lakukan modifikasi ekstrem terhadap Vios ini? Bila diajukan soalan ini kepadanya, Zack senyum dan mengatakan, beliau lebih selesa dengan penampilan yang ringkas, kemas tetapi dalam masa sama menarik.
Beralih pula kepada sejarah beliau terlibat dalam dunia I.C.E, ia disebabkan minatnya terhadap muzik. Bermula dengan mendengar muzik di set home theatre, lama-kelamaan ia melarat pula ke dalam kereta. Benar! Tanpa dorongan sesiapa, Zack mula membuat penelitian sendiri, dan membuat pemasangan I.C.E dari yang asas sehinggalah yang dapat dilihat hari ini. Beliau memang cermat dan bijak dalam memilih aksesori I.C.E yang sentiasa tepat.
Mungkin disebabkan Zack turut terlibat dalam dunia I.C.E. Selain menjalankan bisnes keluarga, Zack melakukan bisnes audio menerusi internet. Melalui cara ini beliau mengkaji kelebihan dan kelemahan sesuatu produk. Beliau turut membuat panggilan terus kepada pengedar dan bertanya pelbagai soalan sebelum membeli sesuatu produk. Beliau tidak akan membeli sesuatu produk tanpa mengetahui prestasi sebenar. Ini untuk mengelak perasaan tidak puas hati dan juga pembaziran di kemudian hari!
Di awal-awal penglibatannya dalam dunia audio, Zack tidak terus menyertai pertandingan. Sebaliknya beliau mula serius menyertai pertandingan I.C.E setelah berjinak-jinak terlebih dahulu serta mendalami ilmu audio selepas dua tahun. Pertandingan yang disertainya pula bukan calang-calang. Antara yang pernah disertai beliau termasuklah pertandingan anjuran MASCA, MACE dan juga EMMA. Di setiap pertandingan ini pula, beliau tidak pulang dengan tangan kosong dan sentiasa mendapat kemenangan.
Sepertimana set talaan SQ yang lain, set yang terdapat dalam kereta Vios ini juga terdiri dari beberapa aksesori audio sahaja. Kalau dilihat pada ruang tempat letak barang, di mana turut menempatkan set I.C.E kereta ini, masih ada ruang yang luas. Salah satu kelebihan talaan SQ, menjimatkan ruang dan dalam masa yang sama mencapai tahap kepuasan setiap pendengarnya. Bermula dari pemain utama yang dipasang di bahagian hadapan, Zack memilih jenama Pioneer P80RS2. Menurut Zack, pemain utama ini amat sesuai sebagai permulaan.
Bertolak dari stesen pemain utama yang memproses isyarat, kemudianya ia akan dipancarkan pula kepada dua unit amplifier. Seunit amplifier 2 channel Pegasus PG1152HL digunakan untuk memacu 1 unit woofer 12” Pegasus PG30P2. Manakala seunit lagi amplifier merupakan amplifier 4 channel Audison SRX4. Amplifier ini bertugas untuk memacu 2 unit speaker German Maestro SV 6509 dan juga 2 unit tweeter yang juga dari jenama yang sama. Apabila kesemua anggota ini bergabung, maka terhasillah bunyi yang amat menyenangkan dan mendamaikan.
Menurut Zack, bunyi yang dihasilkan sistem I.C.E nya sukar dijelaskan dalam kata-kata. Setiap perincian bunyi yang terdapat dalam setiap lagu yang dimainkan dapat didengari dan dihayati dengan jelas. Ada kalanya, beliau sanggup lari daripada kerja dan meluangkan sedikit masa mendengar lagu dalam kereta ini. Malah, kalau sesuatu perjalanan itu terlalu singkat, beliau sengaja menggunakan jalan yang sesak, semata-mata nak bertemankan lagu-lagu yang dimainkan sistem I.C.E nya.
Mungkin ramai yang tidak tahu atau pun salah faham kerana menganggap SQ hanya sesuai untuk memainkan lagu-lagu jazz dan juga audiophile. Sebenarnya, semua jenis lagu masih boleh dimainkan. Kalau nak dengar R&B, Pop Rock atau nak ‘jamming’ sakan dengan SQ ini pun boleh! Cuma terpulang kepada pendengar itu sendiri sama ada untuk mendengar atau menghayati.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 14