Riang Di Jalanraya, Bahagia Bersama Keluarga

Umum tahu bahawa kenderaan pelbagai guna MPV Naza Ria ini adalah antara yang paling prolifik dalam sejarah pemasaran kenderaan penumpang tempatan. Pada awalnya, ia dibawa masuk sebagai Kia Carnival, berharga RM170 ribu ringgit dan merupakan satu-satunya pilihan MPV ‘mampu milik’ bersaiz penuh ketika itu. Tanpa saingan (mungkin Renault Espace dan Mercedes Vito), Carnival dilihat mengisi ruang kosong untuk pengguna yang selama ini hanya menggunakan van sebagai opsyen pengangkutan keluarga.

Rekaletak kerusi, sudut pemanduan dan enjin V6 2.5 liter itu adalah pencapaian mutlak untuk pilihan pengangkutan 7 tempat duduk penuh. Sedikit sebanyak, Carnival mendapat sambutan dan tak lama selepas itu, ia diambil alih oleh Naza menerusi pengenalan model Naza Ria. Masih mengekalkan spesifikasi asal (termasuk bumbung suria) tetapi dijual dengan harga yang sangat murah, cuma RM100 ribu yang mana lebih murah dari Kia Optima dan sebuah Perdana V6. Pada ketika ini, Naza Ria memang tiada saingan langsung dan menjadi MPV paling laris dalam segmennya.

Senario kedua ini menjadikan generasi pertama Carnival mengalami kejatuhan harga yang parah. Beberapa tahun kemudian, ia diburukkan lagi dengan reputasi penggunaan petrolnya yang melampau di samping kos penyelenggaraannya tinggi. Akibatnya, kereta ini mampu dimiliki pada harga yang murah untuk pembeli kedua. Untuk generasi pertama, menjualnya bukanlah pilihan yang bagus dan ini adalah contoh generasi pertama Naza Ria yang dipulihkan dalam bentuk yang berbeza.

Pemiliknya menjadikan kereta ini sebahagian dari minat untuk pengangkutan keluarga. Kereta dipulihkan dengan proses transformasi lengkap bahagian dalamannya dengan membalut semula kulit asal yang lusuh. Tona warna 2 skema digunakan menjadikan dalamannya nampak segar. Penebat pintu dan kerusi dibalut semula dan setelah siap proses kedua ialah mengeluarkan kuasa muziknya pula.

Pemain asal digantikan dengan unit Alpine IVA-W250E. Cukup padan dan muat dalam konsol 2-din asal dengan paparan monitor TFT bina-dalam. Dari sini, transformasi bunyi diperhalusi dengan penggunaan pemproses sekunder Alpine HXA-H800. Dikenali sebagai pemproses sekunder yang berkualiti tinggi, pengeluaran bunyi diproses oleh dua unit amplifier Mercury.

Seunit amplifier monoblok Mercury MCR800.1 dipasang untuk memandu woofer 10” Mercury Maxx-10. Dibina untuk tujuan internal SQ semata-mata, penggunaan seunit woofer 10” sudah memadai untuk mengesktrak keluar bunyi bass dari sudut belakang ke bahagian kabin depan. Seterusnya seunit lagi amplifier 4 saluran digunakan untuk memandu keluar bunyi untuk bahagian komponen speaker hadapan.

Speaker mid 6” Mercury MCR-188Z ini dipasangkan pada bahagian panel pintu hadapan yang disokong 2 unit tweeter jenis dome yang ‘ditanam’ di atas penjuru dashboard kereta. Kesemua set ini ditapis 2 unit pre-amp analog dan dikuasakan seunit amplifier 4 saluran Mercury MCR-4200. Secara keseluruhannya, ia tidak berdentum tetapi cukup untuk menghiburkan pemiliknya sekeluarga di hujung minggu dan sewaktu perjalanan jauh.

Jika anda berkeinginan memiliki sebuah MPV bersaiz penuh pada harga yang berpatutan, Naza Ria kini boleh dimiliki pada harga yang sangat murah di pasaran (berbanding membeli sebuah unit baru!). Asalkan enjin dan kotak gearnya masih berfungsi dengan baik ia boleh dijadikan pengangkutan hujung minggu untuk keluarga yang bernilai untuk dibelanjakan.

Untuk menambah lagi kepuasan, pasang sistem audio ringkas begini dan nescaya anda boleh rasa apa yang saya rasakan sekarang. Jangan pandang dari sudut rekabentuk, fikir dari segi praktikalitinya!