Kalau ditanya kereta yang bagaimana saya suka untuk menulis artikelnya, tidak ragu-ragu lagi, inilah jenis keretanya. Cantik, kemas dan sempurna dari segenap aspek. Memang rekabentuk Proton Satria Neo ini membantu penampilannya, ditambah gandingan warna biru dan kuning itu menyerikan kepada gayanya yang tersendiri.
Pertama kali saya temui kereta ini, ketika membuat liputan Mean Machine di bandaraya Melaka. Tapi, ia tidaklah kelihatan selengkapnya seperti ini. Kami bertukar nombor telefon, beberapa minggu kemudiannya saya bertemu kereta ini sekali lagi di premis New Sound Quest, Shah Alam. Bahagian dalamannya dikemaskan lagi. Semuanya kini dengan warna dua tona yang diusahakan oleh Carzone. Kereta ini baru sahaja disiapkan dan bau cat masih lagi menusuk hidung bila kaki menerjah ke ruang kokpit.
Saya difahamkan ini kereta yang dibina berdasarkan 3 komponen utama dengan sistem bunyi berlainan. Pertama, sistem bunyi SPL dalaman, kedua SPL luaran dan ketiga sistem bunyi SQ luaran. Kedengarannya agak kompleks, tapi bagi seorang yang bertauliah untuk mencipta pelbagai jenis sistem yang terbukti di petak pertandingan, orang kuat New Sound Quest iaitu saudara Kenny menjelaskan kepada saya dengan lebih terperinci.
Platform kepada sistem ini dimulakan dengan pemain utama Eclipse CD7000. Terlebih dahulu, penyusunan terhadap laluan dibahagikan kepada mid dengan mengasingkannya untuk bahagian dalaman dan luaran. Bagi memudahkan pemasangan (dan pembaikan sekiranya masalah timbul), pemilihan laluan dibuat berdasarkan dimensi bunyi awal. Pemilihan pertamanya ialah set bunyi 3 hala di depan.
Tweeter Pegasus PG-128, mid bass 3” di bahagian pillar bergandingan dengan mid bass 6” di bahagian panel pintu menjadi tunjang utama kepada sistem SQ dalaman. Unit ini mendapat kuasa daripada amplifier 4 channel Trans TRA-754 yang dipasang berasingan. Speaker mid yang berderet di kedua-dua bahagian panel pintu itu pula mendapat bekalan kuasa yang berbeza. Ia dari amplifier 4 channel Pegasus PG50.4 yang bertindak memandu keseluruhan set komponen Pegasus yang terdiri daripada 4 unit mid bass PG132P dan 4 unit tweeter PG132PT tersebut. Disebabkan saluran ini dikeluarkan dari punca bebas, pre-amp 7 band Pegasus PGP-7 telah dipilih menjadi penyelamat bagi memastikan setiap speaker ini mampu mengalunkan muzik secara harmoni.
Lokasi kerusi belakang kereta ini telah digantikan sepenuhnya dengan perumah amplifier dan juga woofer luar serta dalamnya. Di belakang kerusi pemandu terletaknya 4 unit woofer Pegasus PG1266 yang cukup untuk meluruhkan jantung anda jika valumnya ditarik tinggi. Keempat-empat woofer ini dikuasakan oleh seunit amplifier monoblock PG1300MD. Ketika sistem dalamannya didemokan kepada saya, anda boleh bayangkan bagaimana rasanya ribuan watt dari woofer ini berada hanya beberapa inci dari telinga.
Di bahagian but kereta ini terletaknya himpunan peralatan untuk demo SPL sebenar. Empat unit woofer 12” Pegasus PG1050E2 dipasang jauh dari permukaan daun pintu. Dipasang dalam kekotak kedap khas, woofer ini menghasilkan output yang sebenar bila digandingkan dengan amplifier PGSPL3000. Seperti yang saya sebutkan di awal tulisan ini tadi, sokongan pada trek bunyi luar ini dilengkapkan dengan pemasangan empat unit mid bass PG616 dan 2 unit horn tweeter Pegasus PA130. Jika dalamannya tidak cukup menggegarkan, dentuman luaran kereta ini memang buat saya lebih teruja.
Kereta ini dibina dengan cara yang ekstensif dari sudut kosmetiknya. Penggunaan warna kuning dan biru meliputi seluruh bahagian kereta. Ruang dalamannya sudah tentu menjadi tumpuan dengan balutan semula dari lantai hingga ke siling kereta. Tempat duduknya diganti dan dibalut dengan fabrik senada. Penelitian terhadap tona warna ini melibatkan semua bahagian sehingga ke komponen sekecil suis penghawa dingin. Tidak dinafikan, ia bukan sahaja sesuai tetapi kerjanya sangat kemas.
Mungkin bagi sesetengah pengguna biasa, corak luaran dengan warna ‘berani’ begini agak keterlaluan, tapi jika anda seorang yang berduit dan banyak masa bersama kereta, ia adalah satu cara menghasilkan sesuatu yang kreatif. Jujurnya, saya jarang puji kereta autoshow kerana konsep yang kadang-kadang berserabai. Tapi Neo ni memang lain dari lain. Syabas John!