Yang Pelik Itu Selalunya Unik

Modifikasi kereta dengan tema pelik selalunya datang dari Malaysia Timur. Keberanian dan kreativiti pencinta ICE dari Sabah dan Sarawak memang tidak dapat dinafikan. Tidak kiralah jentera digunakan hanya sebuah Kancil. Yang penting keberanian mengolah dan modifikasi! Ini dapat dilihat dengan jelas pada Kancil saduran warna lembut merah jambu yang diserasikan pula bersama kulit kuda belang sebagai kemasan interior!

Kegilaan pemilik Kancil ini bukan terhad kepada penggabungan warna dan tema, ia berlarutan hingga set sistem ICE. Dengan kekuatan 2 unit woofer 12” yang ditanam di bahagian bonet, sekaligus menimbus ruang letak barang. Ditambah pula gugusan speaker yang disematkan dalam perumah khas dibuat secara kustom. 6 unit mid bass Ameron AM614 disusun seakan kubah dan 2 unit tweeter juga dari Ameron. Menarik? Belum cukup lagi.

Lazimnya, pemilik kereta kompak menumpukan bunyi di bahagian belakang. Berbeza dengan kereta ini. Dibangunkan dengan sistem ICE secara keseluruhannya. Set sistem ICE di bahagian dalam dibahagikan kepada dua. Bahagian kokpit dan bahagian tengah. 2 unit speaker komponen dari Sony XS-HT130SN dan 2 unit tweeter dipasangkan di kedua-dua panel pintu hadapan. Manakala, di bahagian tengah pula dipasangkan di panel pintu belakang dengan 2 unit speaker Sony XS-HA1727.

Bagi menguasakan barisan speaker tadi, sejumlah 2 unit pre-amp dan 4 unit amplifier digunakan. 2 unit pre-amp
CPE 5005 dari Caliber dipilih untuk meneruskan kecemerlangan yang dibaca menerusi pemain utama Sony. Seunit amplifier monoblock Ameron BP1-500 digunakan untuk memacu 2 unit woofer 12”. Seunit amplifier 2 channel Ameron AMA298 pula dipilih untuk menguasakan barisan di bahagian dalam dan 2 unit amplifier 4 channel Ameron AMA496 bertugas memacu barisan mid bass dan tweeter di bahagian bonet.

Mungkin tiada siapa yang dapat menjangka set sistem ICE yang terdapat pada kereta Kancil ini kerana dari zahirnya ia kelihatan seperti sebuah lagi kereta Kancil dengan modifikasi ICE biasa. Namun, apabila berada di dalamnya, barulah anda dapat menilai kemampuan sebenarnya. Hmm. Memang benar. Jangan sesekali menilai sesuatu hanya dari rupa!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 40