X-Generation; Winner Within

X-Generation; Winner Within

Bagi mempersiapkan sebuah jentera yang boleh menambat perhatian serta menang di halwa telinga umum yang mendengar, banyak perkara perlu dipertimbangkan. Paling utama, talaan apakah yang mahu dibina dan siapakah yang harus memikul tanggungjawab untuk menyiapkan jentera tersebut? Diikuti pula dengan perkara yang wajib diperhalusi; adakah produk aksesori yang dipilih untuk membangunkan sistem audio ini benar-benar tepat dan serasi dengan talaan yang ingin dibangunkan?

Sepertimana yang dapat dilihat pada kereta Honda Civic berwarna jingga ini, tidak melampau sekiranya ada yang menganggap ia hanyalah sebuah kereta sedan yang biasa ditemui di atas jalanraya. Namun, tahukah anda Civic ini pernah merangkul kemenangan di tempat ketiga EMMA Malaysia Final beberapa tahun lalu?

Walaupun ia kelihatan membosankan tetapi layangan warna jingga ini sedikit sebanyak menampilkan unsur keseronokan. Apa yang menyeronokan tersembunyi di sebalik kereta sedan ini? Perlukan sebarang klu? Bayangan awalnya sudah dapat dibaca menerusi pelekat “Mosconi” yang terdapat pada sisi Civic ini.

Apabila eksplorasi dimulakan, unsur keseronokan tadi sedikit demi sedikit memperlihatkan wajahnya. Sistem audio Civic ini dibangunkan dari dua jenama yang memang cukup terkenal kerana kualiti dan ketelitian penghasilannya. Mosconi Gladen dan Audio System. Bagi memberikan sokongan terhadap dua jenama tadi, seunit pemain Pioneer AVH-P5350BT dan ianya dibantu pula oleh seunit lagi pemain yang juga dari jenama sama, Pioneer DEX-P99RS.

Bagi memastikan data yang telah dibaca oleh kedua pemain yang sememangnya terkenal dengan reputasinya yang cemerlang, installer untuk Civic ini iaitu X-Generation telah menggunakan 3 unit amplifier Mosconi siri Gladen. Siri amplifier buatan Itali ini seringkali mengangkat sistem dianggotainya menjadi juara atau sekurang-kurangnya, mendapat tempat dalam setiap pertandingan. Begitu juga dengan sistem Civic ini, amplifier ini memainkan peranan yang amat besar. Ketiga-tiga unit amplifier yang digunakan pula terdiri dari amplifier One 120.4, One 120.2 dan One 240.2.

Ketiga-tiga amplifier ini bertugas untuk memacu barisan speaker mengikut frekuensi yang telah ditetapkan. Amplifier 120.4 ditugaskan untuk memacu 2 unit tweeter Audio System HX165 Phase MKII yang dilekapkan di kedua-dua belah A pillar. Bersama tweeter ini pula, dilekapkan seunit mid range 4” Audio System HX100 Phase yang turut dikuasakan amplifier sama.

Kemudiannya, diselaraskan pada staging yang tepat agar bunyi dihasilkan bersepadu pula dengan mid 6” Audio System HX165 Phase MKII. Mid ini pula mendapat kuasa dari amplifier berasingan, amplifier One 120.2. Bahagian terakhir untuk sistem audio Civic ini pula adalah seunit woofer 10” Audio System MX10plus dikuasakan amplifier One 240.2. Dilekapkan di bahagian tepi, ia memberikan bunyi yang padu dan bertebaran di ruang legar di ruangan ini. Dalam masa sama meninggalkan ruang yang cukup luas. Secara tidak langsung Civic yang memenangi pertandingan EMMA ini tetap boleh digunakan untuk kegunaan harian.

Namun, apa yang lebih menarik adalah susunan kesemua amplifier yang diletakkan dalam perumah khas dan dilindungi pula oleh kaca arkilik disimbahi cahaya jingga. Menarik? Indah sekali, sepadan dengan bunyi yang dihasilkan.

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 48