Wira Robot Dunia Adams

“Wow! Ini kereta ke robot?” detik hati saya bila pertama kali melihat kereta ini ketika berada di sesi fotografi yang diadakan di Johor Bahru.

Orang-orang JB memang gila kalau membikin kereta. Kalau tak cukup dengan kereta-kereta menderu laju di litar Pasir Gudang setiap malam minggu, JB juga penuh dengan autoshow yang menampilkan kereta dengan rekaan bodykit agresif dan gila.

Saya telah jumpa bermacam jenis Wira yang dimodifikasi dan apa yang boleh saya katakan, inilah kereta paling gila pernah saya jumpa dari segi pembuatan bodykitnya. Itu juga mengambilkira bahawa kereta ni masih lagi boleh bergerak dan ianya projek paling yang ditaja oleh pengeluar audio SPL yang terkenal, Adams Digital.

Jadi adakah audionya seiring dengan kegilaan kosmetiknya? Dari segi jumlah komponen audionya mungkin tidak, tapi dari sudut hiasan dan idea kreatif yang ditonjolkan, jawapannya, ya. Kesemua kerja-kerja audio yang dilakukan pada kereta ini meliputi nilai estetika melebihi matlamat menghasilkan bunyi yang berdentum-dentam.

Pemain utama yang dipilih ialah model Pioneer siri Pioneer DEH – P80 yang terkenal dengan keupayaan SQ itu. Jika melihat pada konsepnya, ia agak kontras, sebuah kereta yang agresif tetapi sistem bunyi kualiti? Oh tidak. Saya juga tidak percaya pada mulanya, tapi bila hud belakang dibuka, saya cuba faham apakah motif utama pengubahsuaian ini.

Ia adalah berkenaan ruang dan nilai estetik tadi. Kereta dengan but yang terhad ini tidak memungkinkan pemasangan woofer yang banyak jika anda mahu bina ia cantik. Itu satu hakikat yang diterima sejak di peringkat awal pembinaan kereta ini.

Hanya seunit woofer dipasangkan dalam bonet yang dihiasi dengan arca yang agak menakutkan. Woofer Adams Digital 12” siri Jade tersebut dipasangkan dalam perumah khas yang merupakan ‘badan’ makhluk asing dengan kedua belah tangan yang direka kelihatan hidup. Untuk memastikan kuasa woofer ini kelihatan sepadan dengan imejnya, seunit amplifier 2 channel Adams Digital ADM-1000T kelas AB dipasangkan. Aliran kuasa elektrik ini diseimbangkan oleh kapasitor digital Adams 2.0 farad.

Kehadiran amplifier ini berkongsi lokasi dengan amplifier lain yang dipasangkan dengan rekaan makhluk asing tadi. Amplifier kedua ialah seunit amplifier 2 channel Adams Digital Rubi Series 802 yang bertindak sebagai pembekal kuasa untuk tweeter Adams Digital siri Jade jenis dome yang dipasangkan pada kedua pillar hadapan. Sebagai sistem aktif, unit mid bass Jade 6” depan dipasangkan berasingan dengan bekalan kuasa daripada amplifier 2 channel Adams Digital 1000T.

Siap? Ya. Tidak banyak komponen yang digunakan dalam peningkatan audio kereta ini. Tambahan kepada unit audio tadi ialah sistem visual yang diintegrasikan menerusi pemain DVD jenis EVO yang menyalurkan imej kepada monitor 9” yang dilipat pada siling bumbung belakang. Itu sahaja senarai yang ditulis kepada kami.

Apa yang menjadikan kereta ini sangat berbeza sudah tentulah pembikinan bodykit yang sangat keterlaluan bagi sebuah kereta yang pada asalnya hanyalah sebuah Proton Wira Aeroback. Idea yang dicurahkan pada kereta ini mungkin tidak terjangkau pada pemikiran manusia normal. Ia adalah pembikinan semula sebuah kereta projek daripada badan yang kosong menjadi sebuah mesin yang hampir tidak dapat dikenali.

Penggunaan bahan fibreglass yang meluas dapat dilihat hampir di segenap bahagian. Dari bumper hadapan, fender sisi yang dipanjangkan mungkin satu hasta dan juga bahagian belakang yang dominan. Bahagian yang menutupi sisi belakang dan keseluruhan sudut belakang adalah yang paling agresif. Terima kasih kepada spoiler ala Super GT itu. Warnanya pula hitam matt yang sudah tentu kelihatan seperti kenderaan angkasa pada waktu malam. Rim replika BBS 18” padanya kelihatan sangat kecil bila badan kereta dibina sedemikian rupa.

Bahagian dalaman mungkin tidak ekstrem seperti bodykit tanpa pembuatan semula papan pemuka. Namun demikian, modifikasi pada panel pintu, gear gaiter, lelangit bumbung dan pakej di bahagian butnya satu cerita lain.

Pendek kata, kereta ni memang gila yang paling gila!