Kalau anda jenis yang suka membuat carian di Google, pasti biasa dengan pelbagai ‘meme’ yang menjadi bahan ketawa. Namun begitu, ada masanya ‘meme’ nakal dan lucu ini datang dari ragam dan gelagat manusia dalam kehidupan harian. Tentu anda pernah berjumpa dengan ‘meme’ yang mengatakan, lelaki tetap dengan permainan video tidak kira sudah dewasa atau tua sekalipun. Salah satu contoh kebenaran ‘meme’ tersebut dapat dilihat pada pemilik Wira ini, saudara Rosfizalisham B. Zakariya.
Berasal dari daerah Sik di Kedah, Rosfizalisham yang kini bertugas di Jabatan Pertanian Negeri Kedah mula melibatkan diri dan aktif dalam persada dunia audio kereta sekitar tahun 2010. Pada tahun 2016, beliau menjadi lebih serius dan menyertai aktiviti autoshow pula. Apa kena mengena ‘meme’ di awal-awal tadi dengan beliau? Mungkin menerusi mata kasar, anda tidak dapat melihat keseluruhan aksesori yang terdapat pada kereta Wira yang tampil hebat dengan pelekat bertema galaksi sentuhan Funky Power Car Accessories yang beroperasi di Sungai Petani ini. Namun, kepada peminat autoshow khususnya di sekitar Kedah dan Pulau Pinang pasti tahu yang Wira ini turut dipasangkan bersama PS2 Sony. Menarik bukan?
Bagi memberikan kepuasan bermain PS2, saudara Rosfizalisham telah memadankannya dengan seunit tv LED berukuran 32” dan dipasangkan dalam perumah khas yang mana asalnya merupakan tempat duduk belakang. Bukan itu sahaja, interior yang diubah suai cukup unik dan menarik. Sepadan dengan talaan bunyi SPL. Dentuman bass yang padu pastinya membuatkan permainan lebih mengujakan, betul tak? Tapi tak boleh selalu. Marah pula jiran tetangga. Kehebatan kerja modifikasi ini jelas menunjukkan betapa seriusnya Rosfizalisham yang mustahil untuk berhenti dalam waktu terdekat.
Kalau diamati, sistem audio yang dipasangkan pada kereta Wira ini tidak begitu rumit dan boleh dikategorikan sebagai ringkas. Rosfizalisham menyerahkan kereta Wira miliknya dan memberikan tanggungjawab kepada Zone Car Accessories yang terletak di Gurun untuk membina sistem audio seperti diidamkan. Sistem audio Wira ini dimulakan di bahagian kabin, dengan seunit pemain multimedia HK Audio yang dipasang bagi menggantikan pemain utama asal. Bagi mendapatkan isyarat yang lebih cemerlang, dua unit pre-amp telah digunakan. Kedua-dua unit ini pula membentuk satu laluan baru.
Laluan pertama didahulukan dengan seunit pre-amp 7 band yang menghantarkan isyarat ke seunit amplifier 4 channel Zero Bass untuk menguasakan barisan speaker yang terdiri 4 unit mid bass dan 2 unit dome tweeter. Kesemua speaker ini dipasangkan pada sebuah perumah yang dilekapkan pada bootlid. Ini diikuti dengan laluan kedua pula yang dimulakan dengan seunit pre-amp 4 channel juga dari Zero Bass dan isyarat yang telah dipertingkatkan kualitinya dihantar ke seunit amplifier monoblock yang menguasakan 2 unit woofer Zero Bass.
Kedua-dua unit woofer ini disimpan dalam sebuah perumah yang dibina bahagian tempat letak barang dan masih ada ruang yang luas. Ruang ini digunakan untuk menyimpan beberapa perkakas audio lain termasuk amplifier, kapasitor dan crossover. Secara keseluruhannya, Wira milik Rosfizalisham yang saya gelar sebagai Wira Intergalactic ini menepati kriteria sebuah kereta untuk dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan Autoshow pada bila-bila masa. Bukan sahaja bergaya, ia cukup kemas dan cemerlang untuk sebuah kereta autoshow.
* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi 103