Sepanjang penerbitan majalah Kar Hifi, belum ada lagi kereta Volvo yang dimodifikasi penuh dengan sistem ICE lengkap diketengahkan. Apabila diberi peluang membuat liputan tentang sebuah kereta Volvo yang dilengkapi dengan bukan sahaja satu tetapi dua sistem audio, krew kami tidak membuang banyak masa dan terus ke lokasi penggambaran.
Terima kasih kepada cuaca yang sangat baik sekaligus membantu sesi penggambaran berjalan dengan lancar. Bercakap tentang Volvo, ia merupakan salah satu kereta idaman peribadi sejak zaman kanak-kanak lagi. Mungkin disebabkan, ia kelihatan gah di jalanan. Tambah pula, apabila melihat rakan pulang dari sekolah dijemput ibu bapa dengan kereta Volvo sambil melambai-lambaikan tangan. Wah, pastinya selesa!
Masih jelas lagi ketika itu di awal tahun 90-an, model jenis inilah yang seringkali melintas di hadapan mata dan tampil menggoda. Bezanya hari ini, ia tidak lagi gah seperti dahulu kerana persaingan kelahiran generasi baru dari Volvo dan juga pengeluar kereta lain. Apa yang boleh dikatakan, kereta ini telah dijaga dengan sangat baik dan berjaya mengekalkan keasliannya.
Mempertaruhkan dua sistem audio, jelas sekali ia dibina untuk tujuan pertandingan. Pertandingan yang bermaksud, untuk menang. Bukan sekadar meramaikan jumlah bilangan peserta. Disebabkan itu juga, installernya Ottima merangka dan memilih talaan SQ dan ESQL. Mungkin kelihatan mudah dibaca tetapi untuk membinanya, perancangan awal diperlukan supaya hasilnya tidak lari dan menepati kehendak.
Pasti ramai sudah jelas tentang sistem talaan SQ, tapi kurang faham dengan sistem ESQL. Sistem talaan ini merupakan kategori khusus yang disediakan dalam pertandingan EMMA. Jadi, anda faham sekarang kenapa kereta Volvo ini dibina untuk pertandingan?
Jika sistem talaan SQ menjurus dan memberatkan kepada kualiti bunyi yang mana setiap butiran muzik dimainkan dengan sempurna. Sistem ESQL pula adalah memberikan penambahan dari sudut volum bunyi. Ibarat anda menonton orkestra yang mana bunyinya dinikmati secara menyeluruh dan kuat tanpa sempadan.
Sistem audio Volvo ini didahulukan dengan sistem SQ 3-hala, diketuai seunit pemain utama Alpine 800 Series IVA-D800 yang didatangkan bersama pemproses PXA-H800. Segala data dibaca dan proses penambahbaikkan dilakukan di pemproses PXA-H800. Siri ini sangat sinonim dengan pencinta audio khususnya peminat SQ.
Seperti dikatakan tadi, bahagian kokpit ini khusus untuk SQ 3-hala. Bagi melengkapkan sistem talaan ini, set speaker komponen 3-way German Maestro MLine MS-654010 dipilih. Seunit mid 4” dan seunit tweeter dipasangkan di kedua-dua belah pillar A, dipegang perumah kostum buatan tangan. Dikuasakan seunit amplifier 4 channel German Maestro Five Series AB-4.85.10. Seunit mid dipasangkan pula di panel pintu yang mana turut dikuasakan seunit lagi amplifier dari model sama.
Benar, tiada penambahan aksesori lain dan sudut interior dikekalkan. Cuma ada sesuatu yang tampil berbeza di bahagian tempat duduk penumpang dan diselindungi kehadiran sebuah cermin. Ia adalah seunit woofer German Maestro SW10009, dipacukan seunit amplifier monoblock German Maestro Five Series D1.1000.10. Sekaligus melengkapkan satu sistem audio SQ.
Beralih pula kepada sistem audio kedua. Untuk mendapatkan sistem talaan ESQL, sistem audio SQ tadi dikekalkan dan ditambahkan beberapa lagi aksesori audio lain bagi mewujudkan bunyi yang lebih kuat tetapi tetap harmoni. Menggunakan pemain utama Alpine tadi, laluannya kini dibahagikan kepada 3 unit amplifier baru. Sistem ini pula ditempatkan di ruang belakang dan bahagian bonet.
Menggunakan 3 unit amplifier; 2 unit amplifier monoblock German Maestro Five Series D1.1000.10, masing-masing memacukan seunit woofer 12” German Maestro Five Series 5W12 yang diletakan di perumah kostum arkilik dan mengapit seunit pemproses Alpine PXA-H800. Manakala seunit amplifier 4 channel German Maestro Five Series AB-4.85.10 digunakan untuk memacu set speaker komponen 2-way German Maestro 2-way German Maestro Status Line SV-6509. Berbekalkan 2 set sistem audio ini, Ottima pernah muncul naib juara di kejohanan EMMA. Ini baru sedikit, bayangkan kalau sistem ESQL ini diperkemas, tidak mustahil Volvo lagenda ini muncul sebagai juara pula! Siapa tahu?
* Artikel ini disiarkan dalam majalah KarHifi edisi 38