VK Rozar The Yellow Civic Pegasus

Bagi peminat-peminat Honda-VTEC, kereta Civic dianggap satu keajaiban yang besar pengaruhnya dalam hidup. Model-model seperti EF, EG dan EK adalah bukti bahawa kejuruteraan enjin generasi B adalah tuah bagi mereka. Walaupun 2 dekad telah berlalu, namun model ini tetap berada dalam statusnya yang tersendiri. Mahal dan masih dengan permintaan yang tinggi.

Model moden seperti FD pula adalah fasa kedua untuk generasi enjin K. Permintaan terhadap enjin dan body FD juga boleh kata sama yang berlaku sebagaimana trio EF/EG/EK. Namun dalam kegilaan orang menyalin enjin, masih ada lagi golongan terpencil yang menggunakan kereta ini sebagai asas modifikasi autoshow. Contoh begini lazimnya ditemui di pameran audio dan autoshow. Bulan lepas kami di pertandingan audio anjuran EMMA di OneCity Mall Subang Jaya. Kereta FD kuning ini menarik perhatian krew kami kerana motif pengubahsuaiannya yang berbeza.

Kereta ini dipamer kerana profil sistem audionya. Dari luar ia nampak macam sebuah Civic standard yang menjalani modifikasi biasa. Warna berganti, rim Vossen dan bodykit Mugen RR. Kemasan lain seperti bonet depan gentian karbon membuatkannya nampak macam model semasa, padahal ada Civic FB yang lebih baru di pasaran. Tahun ini pun Civic baru akan gantikan FB tapi FD ini masih lagi nampak moden rekabentuknya.

Sistem audio kereta ini bermula dengan pemain utama Panasonic dengan fungsi main balik DVD. Ia dipasangkan pada perumah custom kerana sistem asal FD ini adalah dari jenis built-in. Seterusnya pemain ini disambungkan dengan pre-amp Pegasus 7 band. Aplikasi seterusnya? 3 unit amplifier dari jenama Pegasus.

Amplifier yang terlibat ialah amplifier 2 channel, amplifier 4 channel dan amplifier monoblock kelas D. Kesemuanya milik Pegasus dengan spesifikasi khusus untuk memacu setiap permintaan speaker yang dijalankan. Unit pertama ialah amplifier 2 saluran yang memandu dua unit mid bass dan dua unit horn tweeter Pegasus yang bertindak sebagai unit komponen. Memandangkan pemecahan frekuensi bunyi dibuat untuk bahagian kokpit, 2 unit crossover analog membahagikan isyarat dari komponen ini supaya penalaan lebih mudah dilakukan.

Kumpulan seterusnya terletak di bahagian hud belakang. Di bahagian boot lid, empat unit mid bass 6” dan dua unit bullet tweeter Pegasus mendapat bekalan kuasa dari amplifier 4 saluran yang disebutkan tadi. Speaker ini dipasangkan dengan cukup kemas di dalam perumah kayu yang dibalut pelapik PVC merah. Ruangnya juga sekadar memenuhi posisi melengkung pada lid tadi.

Sudut yang lebih kemas tentunya bagi bahagian woofer yang menampilkan dua unit woofer 12” Pegasus. Ia dipasangkan dalam kotak buatan khas dengan kelonsong udara menegak di bahagian tengah. Sepertimana kemasan di bahagian bootlid, kotak woofer ini juga dibalut dengan PVC merah hitam. Amplifer yang memacu sistem kereta ini dipasang menegak di kedua-dua bahagian sisi dan terakhir sekali 4 buah monitor TFT dipasang pada baki ruang yang tinggal.

Sistem ini walaupun nampak kompleks, ia sebenarnya adalah sistem lazim yang kita biasa lihat di kalangan kereta pemanduan harian. Yang nampak banyak tu sebenarnya ialah kemasan dan juga aksesori yang berkaitan. Sistem begini masih kekal popular kerana ia tidak melibatkan pengorbanan ruang dan juga belanja yang besar. Berita baiknya juga, sistem boleh ditingkatkan pada bila-bila masa kerana kabel, RCA dan pendawaian yang dibuat menggunakan peralatan berkualiti tinggi.