Viva Sound Drift

Memiliki dan mengusahakan sebuah restoran bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan tumpuan yang lebih demi memastikan kelancaran serta layanan yang diberikan kepada para pelanggan harus sentiasa bagus. Kalau tidak, pasti ada sahaja isu yang akan ditularkan oleh mereka yang tidak berpuas hati. Silap haribulan boleh menggugat kelangsungan perniagaan dan peluang begini amat dinanti-nantikan para pesaing yang ada menyimpan hasrat dengki juga iri hati. Namun begitu, ia tidak menjadi alasan atau halangan kepada Mohd Ismadi B Ismail untuk kekal aktif dengan aktiviti permotoran khususnya modifikasi kereta dan bermain audio.

Pemilik dan pengusaha Coffee Racer Cafe yang lebih mesra dikenali sebagai Achik ini tidak menunjukkan sebarang tanda untuk memperlahankan penglibatannya dalam kegiatan permotoran. Bagi menzahirkan kecintaannya, Achik sanggup mengeluarkan belanja mencecah ribuan ringgit untuk membina sistem audio dan memodifikasi keseluruhan kereta Viva miliknya. Pada Viva keluaran tahun 2014 ini, Achik merealisasikan impiannya yang mampu beri kepuasan mutlak. Mula bergiat aktif ketika berusia 22 tahun, Achik yang sudah pun berusia 30 tahun ini menggunakan kereta Viva ini hanya untuk aktiviti pemotoran. Beliau menggunakan sebuah kereta lain sebagai kegunaan harian.

Selain kereta kompak lain seperti Myvi, Viva juga agak fleksibel dan mampu memuatkan sebuah sistem audio yang cemerlang. Dipadankan pula dengan kerja-kerja modifikasi yang dijalankan secara menyeluruh, Viva ini tetap berjaya mencuri perhatian di mana-mana sahaja. Bagi menyerlahkan unsur agresif dan lasak, Achik telah menghantar keretanya ke Sound Drift sekali gus membantu beliau mengubah penampilan asal kereta kompak ini. Mungkin kelihatan agak meriah dengan pelbagai pelekat yang menghiasi bahagian luar tetapi pelekat Sound Drift kelihatan gah serta menjadi tumpuan yang menjadikan ia sebagai salah satu langkah bijak untuk mempromosi pusat pemasangan ini.

Jika di bahagian luar kelihatan agak meriah, berbeza pula keadaannya di bahagian dalam. Lebih kemas dengan penggantian rupa yang menarik, bertemakan futuristik diselaraskan bersama padanan warna hitam, merah, putih dan merah. Selain itu, beliau telah memasang Defi meter timer Apax, menggantikan stereng ala-ala Formula1 yang boleh dicabutkan, pelapik lantai kaki kostum, siling juga digantikan dengan buatan kustom yang sangat menarik. Ini diikuti pula dengan pemasangan beberapa aksesori audio yang dipasangkan di panel pintu.

Beralih pula kepada sistem audio Viva ini yang dimulakan di bahagian kabin hadapan. Bagi mendapatkan kualiti bunyi yang bagus, pemilihan pemain utama adalah penting. Namun begitu, tidak bermakna semua sistem audio perlu menggunakan satu jenama sahaja. Lain orang, lain citarasa. Bagi sistem audio Viva ini, Sound Drift telah menggantikan stok pemain utama yang datang dari kilang dengan pemain 2-din dari MB Audio. Bagi mendapatkan isyarat dan kualiti yang lebih mantap setelah diproses di pemain utama tadi, dua unit pre-amp 7 band telah digunakan. Kemudian, isyarat ini disalurkan pula kepada seunit amplifier 4 channel dan seunit amplifier monoblock.

Seunit amplifier 4 channel Suiko digunakan untuk menguasakan sejumlah 8 unit mid bass 6” King Audio dan 6 unit tweeter juga dari jenama King Audio. 4 unit mid bass dan 4 unit tweeter dipasang di bahagian dalam, manakala baki 4 unit mid bass dan 2 unit tweeter ditanamkan dalam perumah yang ditempah khas dan dipasangkan di bahagian belakang kereta. Manakala seunit amplifier monoblock jenama DZ yang menguasakan dua unit woofer 12” jenama Stellar yang dipasangkan dalam sebuah perumah arkilik secara terbalik bagi mendapatkan bunyi bass yang lebih mantap. Bagaimana hasil akhir sistem audio ini? Kalau nak tahu, apa kata singgah ke Coffee Race Cafe. Barangkali ada rezeki anda mendengar sistem audio Viva ini dan beramah mesra dengan Achik. Tentu seronok, kan?