Lama betul saya tak jumpa kereta begini. Maksudnya, kereta autoshow dengan audio dan bunyi yang bagus. Susah juga nak komen sebab secara jujurnya, kereta autoshow yang biasa kita jumpa, speaker sahaja yang banyak, tapi bunyi memang sedih. Bila kereta ini datang ke lokasi fotografi dengan audionya tidak dipadamkan, saya ingat pemiliknya memang nak membuktikan bahawa dia serius. Bila tengok gugusan piala yang dibawa oleh kenderaan sokongan (oh ya sebuah van sekolah), barulah saya berani tabik!
Ini sebuah kereta seorang hardcore Autoshow yang boleh dilihat di mana-mana tapak pameran dan pertandingan sejak akhir-akhir ini. Pemiliknya, seorang yang baru sahaja menceburkan diri dalam dunia autoshow sejak setahun yang lalu. Dengan rezeki yang bertambah sebagai seorang kontraktor, beliau membeli sebuah Vios untuk dijadikan objek permulaannya. Pada awalnya, kereta ini dibuat sebagai hobi sampingan namun setelah menyedari bahawa pertandingan semakin sengit, beliau akhirnya mengambil keputusan menjadikannya sebuah konsep autoshow sepenuh masa.
Bagaimana mengolah sebuah kereta penumpang biasa menjadi sebuah mesin yang menarik perhatian ramai?
Kuatkan bunyi audionya ke tahap maksima!
Bila bunyi bass padu kedengaran, orang mula rapat dan ingin lebih tahu. Sudah tentu orang akan tertanya-tanya bila melihat bahagian dalamannya yang dibalut PVC putih, rangkaian pengubahsuaian VIP yang ekstensif, begitu juga pelekat badan yang bertemakan America Sound. Ya, America Sound. Apa yang menjadikan kereta ini istimewa?
Keseluruhan sistem kereta ini melibatkan jenama yang satu ini; America Sound. Hanya dua jenama asing yang digunakan; pemain utama 2-din Dvd jenama JVC model KW-AVX746 dan 3 unit pre-amp Coucar. Pemain utama JVC ini mendominasi konsol tengah papan pemuka Vios. Laluan keluar pemain ini dipecahkan kepada 3 saluran utama iaitu 2 unit pre-amp 7 band Coucar EQL7.1 dan 1 unit pre-amp 5 band Coucar EQL5.1, masing-masing mencakupi keluaran kuasa bagi signal yang berbeza.
Saluran pertama adalah untuk unit kumpulan hadapan yang didahulukan seunit pre-amp 7 band dan diperkuatkan seunit amplifier 4 channel CS4.250 America Sound. Unit amplifier ini bertugas membekalkan kuasa kepada set komponen dalaman Ultimate Series US6SQ yang terdiri daripada seunit speaker 6” dipasangkan pada kedua-dua bahagian panel pintu dan seunit tweeter di atas dashboard pada setiap penjuru. Tidak dominan langsung tetapi teruskan pembacaan anda!
Tumpuan sebenar sistem audio kereta ini adalah pada saluran kedua yang dikepalai seunit lagi pre-amp 7 band yang diakhiri sekumpulan speaker di bahagian but belakangnya. Tidak ada sedikitpun ruang yang ditinggalkan. Bootlid dilekapkan dengan 4 unit speaker komponen 6” dan 2 unit tweeter jenis horn. Kesemua unit ini dipasangkan pada perumah khas yang diperbuat dari bahan gentian kaca yang diakhiri dengan warna putih mengikut tema keseluruhan kereta. Pembahagian kuasa pusat dibuat dengan sambungan kepada 2 unit amplifier 2 channel Classic Series CS2.250. Tak cukup dengan itu, pada setiap bahagian bawah speaker ini pula dipasangkan dengan monitor 4.3 inci yang memaparkan imej visual dari pemain Dvd JVC tadi.
Sebanyak 3 unit woofer 12” Ultimate Series US12DM menjadi tunjang utama terhadap keseluruhan sistem audio Toyota Vios ini yang mewakili saluran ketiga dan dimulakan dengan pre-amp terakhir iaitu, pre-amp 5 band. Woofer ini bukan hanya dipasang begitu sahaja tetapi pembuatan kotaknya telah mengambilkira ruang dan juga kesan akhirnya terhadap prestasi woofer secara total. Jika anda biasa melihat sistem audio yang dibina untuk pertandingan SPL lazimnya dibuat dengan sesalur khas untuk memberikan impak terbaik terhadap keluaran woofer tadi. Susunan papan dan lencongan yang dibuat bukanlah hanya untuk kosmetik tetapi ia mampu memberi kesan yang besar terhadap tahap bacaan dari mesin ‘term lab’, justeru meningkatkan jumlah dB secara keseluruhan.
Namun bagi sebuah kereta autoshow, penggunaan papan lencongan tersebut tidak berapa sesuai. Apa yang lebih dititikberatkan ialah corak pemasangan, pendawaian dan punca kuasanya. Woofer pada kereta ini mendapat bekalan daripada seunit amplifier monoblok Ultimate Series US2500.1D iaitu amplifier kelas D paling terkenal dari America Sound. Walaupun mendengar sistem kereta ini hanya untuk beberapa minit (dengan beberapa jenis lagu) saya kira amplifier ini memang mampu memandu woofer tanpa sebarang masalah.
Membina sebuah kereta autoshow yang betul bukanlah satu kerja mudah ketika musim autoshow bak cendawan tumbuh selepas hujan. Persaingannya sengit dan menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik semakin kompetitif. Apa juga natijah akhirnya, pengubahsuaian terhadap sistem audio kenderaan ini adalah hobi yang sihat. Secara tidak langsung, mengelak dari melakukan benda tak berfaedah dan tahukah anda, ia juga menyumbang kepada ekonomi negara?
Syabas audiophile! Ini yang kami mahukan dalam industri!