Setiap kereta adalah aset penting untuk pemiliknya. Kalau yang masih bujang, kereta dilayan mengalahkan teman wanita. Pasti ada sahaja akan diubahsuai mengikut selera yang mudah bertukar-tukar. Kalau sudah berkahwin pula, dijaga mengalahkan permaisuri. Sanggup habiskan masa di luar dari mendengar celoteh si isteri yang asyik pot pet di rumah. Pulas butang volume paling tinggi, layan hati dan senyum sendiri sebelum serah diri bila balik nanti.
Sepertimana kereta-kereta lain, Axia ini sangat penting untuk pemiliknya yang dikenali sebagai Irfan atau nama sebenarnya Mohd Irfan Haziq Bin Ismail. Berkhidmat dalam sektor swasta dan kini tinggal di Kota Sarang Semut, pemuda yang sudah pun mendirikan rumah tangga ini tidak pernah mengabaikan hobi dan minatnya mengubahsuai kereta. Anda dapat lihat dengan jelas menerusi kereta Axia Advance Auto tahun 2015 yang menghiasi ruang Show Off ini.
Bukan sekadar mengisi masa lapang atau suka-suka, sistem audio yang dipasang pada Axia dan kereta ini sendiri pernah menyertai beberapa aktiviti Show Off dan pertandingan termasuk di Motor Show Hatyai 2019 yang diadakan baru-baru ini. Bagi makluman anda, Irfan turut menggunakan khidmat dari Thailand untuk mengubahsuai Axia ini. Beliau mendapatkan perkhidmatan KJ Modify untuk bodykit dengan rekaan Jepun. Diikuti headlamp dan air suspension 4 valve, custom made oleh ASD Desgin di Petcheburi, Thailand.
Jadi, tidak hairanlah beliau sanggup merakamkan gambar-gambar bersama Axia kesayangannya di Thailand. Gigih sungguh, kan?
Walaupun sebahagian besar modifikasi menggunakan kepakaran dari Thailand, Irfan memilih Faiz Audio untuk membina sistem audio yang dipasang pada Axia ini. Memilih sistem talaan SPL, installer menyediakan dua sistem audio. Satu di bahagian belakang dan satu lagi di bahagian dalam kereta. Baiklah, kita mulakan dengan pemasangan sistem audio di bahagian dalam terlebih dahulu. Kedua-dua sistem audio ini menggunakan satu pemain utama iaitu Eclips dan Irfan boleh memilih sama ada untuk menggunakan sistem di bahagian belakang atau di bahagian dalam kereta.
Bermula dari pemain Eclipse, fail media akan diproses terlebih dahulu sebelum disalurkan dan dipecahkan kepada beberapa bahagian. Installer telah memasang seunit amplifier 4 channel KLA Sound untuk menguasakan barisan speaker. Sebanyak 4 unit mid speaker 6.5” dari KLA Sound telah dipasangkan dan ditanam di perumah khas yang diletakkan di bahagian belakang Axia ini. Menyertai mid speaker ini adalah 2 unit horn tweeter 3” dari jenama yang sama. Menariknya, selain speaker dan tweeter, perumah ini juga menempatkan seunit amplifier monoblock (akan diceritakan kegunaannya sebentar lagi) dan 4 unit monitor.
Seterusnya, pemain Eclipse ini menyalurkan isyarat ke seunit amplifier monoblock Autocraft, yang disimpan bersama barisan speaker. Amplifier ini bertugas untuk menguasakan seunit woofer 12” dari Autocraft yang disimpan dalam sebuah kotak kaca arkilik dan dipasangkan secara terbalik untuk lebih impak. Installer telah menggunakan setiap inci ruang di bahagian letak barang ini. Jadi, agak mustahil untuk menggunakan Axia sebagai kereta harian. Tambahan pula dengan konsep VIP yang terkenal dengan set botol alkohol dan gelas yang diletak di bahagian tempat duduk belakang. Menepati ciri-ciri sebagai kereta yang menyertai segmen Show Off.
Beralih pula kepada sistem audio di bahagian dalam Axia, sebanyak 4 unit mid speaker 6.5” KLA Sound telah dipasang di kesemua panel pintu, depan dan belakang. Kerangka khas dipasang sebagai memberi kesan untuk interior. Dua unit tweeter 2” dari Hurricane di mana setiap satunya dipasang di penjuru dashboard sekali gus melengkapi sistem audio di bahagian dalam Axia ini. Menyentuh sedikit tentang hiasan dalaman Axia yang berkonsepkan VIP Style ini, Irfan bukan sahaja mengekalkan keadaan asalnya malah mencetuskan suasana yang tampil ceria dan kelihatan agak luas. Mungkin disebabkan kerana rona jingga.
Apa yang menariknya, Irfan telah memasangkan lampu-lampu LED di bahagian siling kereta. Pemasangan lampu-lampu LED ini memang tidak membawa sebarang perbezaan di siang hari. Apabila ia dipasang di waktu malam dan gelap, setiap ruang dalam kereta ini disimbahi cahaya yang terang tetapi tidak menyakitkan mata. Lampu-lampu LED ini turut dipasangkan di bahagian panel pintu, sekali gus menambah keceriaan dan cantik dipandang mata dalam masa yang sama berjaya mencuri perhatian para pengunjung yang datang memenuhi tapak acara.
Di bahagian luar pula, Irfan menukar rim asal degan Wwork Schwert SW2 dan menggunakan nat rim 326 Power Japan 2018. Power tak?