Selama tiga hari berturut-turut bermula dari 1 hingga 3 November yang lalu, Malaysia telah menjadi tuan rumah berlangsungnya Venom Fighter Community The 5th Gathering 2019. Bertempat di Dorsett Grand Subang Hotel, program ini dihadiri oleh ahli-ahli Venom Fighter Community dari serata negara Asia termasuk Indonesia, Singapura, China, Thailand, Hong Kong, Vietnam, Jepun dan Malaysia sendiri.
Pelbagai aktiviti telah disediakan sepanjang berlangsungnya program ini di mana para peserta bukan sahaja berpeluang mendapat informasi, malah dapat mempamerkan kehebatan masing-masing menerusi segmen pertandingan. Pada hari pertama, para peserta mengikuti sesi seminar yang dipecahkan kepada beberapa bahagian dan dikendalikan tokoh-tokoh hebat dalam dunia audio.
Sebanyak lima sesi seminar diadakan pada hari pertama program ini; Seminar Venom oleh Filipus, Harten dan Steven, Seminar Bewith oleh Toshi Nakashima, Seminar Diablo Mat oleh Hardi Classic, Seminar Cool ‘N Lite oleh Kim Soon dan Seminar Micro Precision oleh Thomas Hoffman dan Terence Nah.
Program diteruskan pada hari kedua dengan dua aktiviti menarik dan amat dinanti-nantikan oleh para peserta iaitu VTC Audio Contest pada sebelah siangnya. Manakala di sebelah malam pula, program dihangatkan lagi dengan Venom Gala Dinner yang diadakan pula di Holiday Villa. Pada majlis makan malam ini turut berlangsungnya majlis penganugerahan. Pada hari ketiga pula, para peserta berpeluang menyaksikan MotoGP yang kebetulan sedang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.