TX3 Classic And Powerful

Tidak dapat disangkal lagi, Ford TX3 adalah kereta yang tidak semua akan pilih untuk memuatkan sistem audio. Tetapi dalam dunia yang lebih luas dengan kereta-kereta yang seringkali dilihat seperti Myvi, Saga dan Satria, Ford dengan rekaan liftback ini adalah calon yang amat sesuai dijadikan sebuah kereta demo SPL. Ia berkenaan ruang dan dengan usia kereta ini sendiri, ia sebuah mesin yang murah dan mampu membawa anda kemana sahaja tanpa sebarang masalah dengan kos yang murah.

Kereta ini milik Kedai aksesori JM di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, salah satu pengedar sistem audio jenama Kole Audio. Ia bukanlah jenama asing kerana jika anda biasa dengan SPL, Kole Audio ada sebuah Unser yang telah memecahkan rekod dB tempatan dalam pertandingan SPL anjuran MACE beberapa lepas. Boleh tahan kecoh juga industri audio pada masa tu. Tapi sekarang, kita melihat sebuah mesin yang lebih sederhana. Tidak sampai 140 dB, tetapi cukup untuk memberi ruang kepada bahan bacaan yang menarik untuk dikongsi bersama.

Saya agak tertarik dengan gaya kereta ini dipersembahkan. Ia sebuah kereta berusia lebih 20 tahun yang dipulihkan supaya tidak segan dibawa di pameran dan ke pertandingan audio. Kerja pembaikan yang dilakukan pada kereta ini bukanlah sedikit kerana jika anda letak dalam petak pertandingan Autoshow sekalipun tidaklah kekok sangat.

Pemain utama yang digunakan, pemain 2-din dari Sony dengan fungsi main-balik Dvd berskrin sesentuh. Dua unit pre-amp Kole Audio QX1-50EQ menjadi alat sokongan kedua memproses bunyi yang dikeluarkan pemain tersebut. Kedua-dua pre-amp ini mengagihkan bunyi mid dan bass yang dibahagikan sama rata mengikut teknik staging hadapan dan juga belakang.

Gugusan utama dari gema bunyi nada rendah datangnya dari 6 unit woofer 12” Kole Audio. Dalam keadaan sebuah kereta sedan atau hatchback yang normal, 6 unit woofer adalah mustahil untuk dimuatkan, tapi bagi konfigurasi sebuah TX3 liftback, hanya sedikit kreativiti diperlukan. Woofer ini disusun rapat dengan menutup terus bahagian kerusi belakang. Kesemuanya dikuasakan oleh 3 unit amplifier monoblock Kole Audio.

Jika ketika membaca artikel ini anda rasa pening-pening lalat, ia bukan salah anda atau artikel ini sebaliknya memang pemasangan sistem speaker ini yang agak rumit dengan pelbagai stesen speaker. Jadi, penghayatan yang mendalam diperlukan. Penghayatan bukan sahaja diperlukan untuk menikmati audio yang dihasilkan ya. Ia amat penting untuk menyemak dan mengetahui perjalanan arus bunyi yang bergerak dalam sistem anda. Supaya mudah mengaplikasikan pemasangan yang sama pada sistem audio anda kelak.

Untuk mid pula, bahagian but kereta ini menampung 6 unit mid dan 6 unit tweeter. Konfigurasi dibuat dengan memasangkan 4 unit speaker komponen terlebih dahulu di bahagian boot lid dengan perumah khas. Unit komponen Kole Audio QA-6100C ini bertindak sebagai mid utama yang mengekstrak frekuensi tengah dengan ketara jika didengari dengan teliti. Disebabkan jarak yang agak jauh bila pintu dibuka, bunyi muzik agak terganggu akibat jajaran masa yang berbeza. Pihak JM menyelesaikannya dengan memasangkan dua lagi mid dan 2 unit tweeter di bahagian boot berdekatan dengan himpunan woofer itu tadi. Kesemua unit mid dan tweeter ini mendapat bekalan kuasa daripada amplifier 4 channel Kole Audio QB4-4400.

Mid kedua letaknya di bahagian dalam kabin. Pembahagiannya dibuat secara pemasangan terus melibatkan panel pintu hadapan dan juga panel pintu belakang. Kedua-duanya menggunakan pasangan set komponen Kole Audio QA-6100C yang agak sederhana bila digandingkan dengan amplifier 2 channel Kole Audio QD2-602. Pemasangan pada panel pintu ini juga boleh dipuji bila warna trademark Kole iaitu kuning digunakan sebagai latarbelakang perumahnya.

Walaupun bilangan speaker yang digunapakai di bahagian but agak banyak, ia kelihatan kemas bila pemasangan dilakukan dengan serius dengan mengambilkira aspek estetikanya. Setengah installer suka-suka pasang tanpa dapat jangka apa rupanya setelah siap tadi. Dalam mengambilkira sebuah kereta audio yang kemas, pemasangan haruslah selari dengan kualiti bunyi. TX3 ini masih lagi ada ruang rata di bahagian but yang dicoretkan dengan warna kuning serta susunan perkakasan yang teratur.

Oh ya, saya tidak berapa berkenan dengan bulu-bulu kuning itu. Bulu-bulu ini bukan lagi satu konsep interior yang bijak tetapi selain itu kereta ini sudah cukup bagus. Cuma itu sahaja yang sedikit mengganggu. Selebihnya, kereta ini memang head turner dengan seluruh badannya dibalut dengan pelekat gentian karbon!

* Artikel ini disiarkan dalam majalah Kar HiFi edisi 33