Kebanyakan artikel dipaparkan berkisar tentang sistem audio yang dibina untuk tujuan demo ataupun untuk pertandingan. Hakikatnya, ramai peminat sistem audio yang membina sistem untuk hanya satu tujuan – kepuasan diri sendiri. Golongan ini tak kisah apa orang lain nak kata pasal sistem audio yang dibina sebab yang menjadi hakim dan jurinya ialah pemiliknya sendiri. Yang penting, tuan punya badan (ataupun telinga) berpuas hati dengan bunyi yang dihasilkan.
Berbekalkan sebuah Perodua Myvi, pemiliknya lebih aktif menyertai pertandingan autoshow berbanding pertandingan audio, walaupun sistem audio yang digunakan boleh dikatakan mirip spesifikasi pertandingan. Pemilik Myvi ini mahukan sistem audio dua dalam satu, iaitu untuk didengar secara peribadi dan juga untuk diperdengarkan kepada orang ramai.
Oleh disebabkan itu, Myvi ini menggunakan dua unit utama yang berbeza. Pada papan pemukanya, pemilik memasang seunit pemain DVD Pioneer jenis 2-din (berkembar) bertujuan untuk main semula video digital dan juga untuk mengalunkan muzik semasa kereta bergerak. Dua unit pembesar suara jenis komponen dari The Punch dipasang pada panel pintu bersama-sama dua unit tweeter yang dipasang pada tiang-A kereta ni.
Selain daripada monitor bina-dalam pemain DVD Pioneer tadi, pemilik turut memasang tiga unit monitor TFT 4” pada bahagian papan pemuka sebelah penumpang depan. Seunit amplifier 1200 watt PMPO dari The Punch dengan empat saluran kemudiannya digunakan bagi memberikan kuasa kepada pembesar suara tadi dan talaan frekuensi bunyi diberikan kepada seunit parametrik equalizer dengan 7 saluran buatan The Punch.
Setelah berpuas hati dengan sistem bunyi untuk dalaman kereta, pemilik Myvi ini kemudiannya beralih kepada sistem bunyi untuk untuk dicanangkan di luar kereta. Seperti yang sudah diketahui, but Myvi tidaklah besar, jadi pembesar suara yang boleh dipasang pun agak terhad. Memandangkan tempat duduk belakang tak rela dikorbankan untuk meletak woofer, pemilik menghadkan ruang pembesar suara pada bahagian but belakangnya saja.
Dengan membina perumah custom, Myvi ini berjaya dipasangkan dengan dua unit woofer 12” dari The Punch TP-124D. Selain daripada woofer berkenaan, kereta ini menampilkan dua unit mid bass The Punch Battle Series dan dua unit mid bass The Punch Attack Series yang masing-masing bersaiz 6.5”. Kemudiannya, dua unit horn tweeter The Punch turut dipasang bagi melengkapkan set pembesar suara yang mencakupi kesemua frekuensi rendah, sederhana dan tinggi.
Bagi menyalur kuasa secukupnya kepada semua pembesar-pembesar suara tadi, seunit amplifier The Punch 4 saluran dipasangkan untuk memberi kuasa kepada mid bass dan tweeter tadi. Manakala untuk woofer pula, seunit amplifier monoblock The Punch dengan kuasa 2000 watt PMPO digunakan. Seunit kapasitor 1 farad dari Helix turut dipasang bagi mengimbangi kuasa elektrik yang disalurkan dari amplifier kepada semua pembesar suara di bahagian dalam kereta.
Paling menarik ialah untuk set pembesar suara dan woofer di bahagian but kereta yang dikawal seunit pemain utama dari Pioneer Mixtraxx dengan keupayaan main semula CD dan MP3. Seunit lagi parametric equalizer 7 saluran buatan The Punch dipasang semata-mata untuk disambung kepada unit utama ini kepada amplifier yang digunakan untuk bahagian but Myvi. Senang cerita, Myvi ini sebenarnya mempunyai dua sistem audio yang berbeza di dalam satu kereta!
Dari segi penampilan, Myvi dicatkan dengan warna hijau dan digayakan dengan rekaan pelekat jenama baju terkenal Paul Smith. Sebuah penyejuk pelincir kotak gear dari Aerospeed kemudiannya dipasang dan enjin standard 1.3 liter dibebaskan sedikit kuasanya dengan pemadanan penapis udara K&N dan sistem ekzos buatan custom. Rim OEM Mini 17” kemudiannya dipasang bagi menaikkan lagi seri Myvi ini.
Bagi sudut interior pula, tempat duduk depan diganti dengan tempat duduk SSCUS Euro dan panel seperti bumbung serta kulit pintu dibalut dengan fabrik berwarna merah yang memberikan kontras kepada tempat duduk yang berwarna hitam. Fabrik ini dipadankan kepada kesemua perumah custom woofer di but belakang. Selain itu, Myvi ini diberi sentuhan lampu LED dari Fabulouz LED Hotspot yang memberikan nyalaan lampu LED ala-filem Tron di waktu malam.
Biarpun sistem audio Myvi bukan direka untuk pertandingan audio, tetapi yang penting, pemiliknya menyukai apa yang didengar dan dilihat. Bagi sesetengah orang, itu lebih penting daripada trofi kemenangan.